PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas dakwaan konon sejuta pekerja perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diberhentikan jika cadangan meningkatkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan dilaksanakan.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor, berkata ugutan dan amaran daripada syarikat adalah satu andaian yang tidak disertakan dengan data.
Katanya, kenyataan itu hanya cuba untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan.
“Penambahan caruman KWSP bukan untuk mengayakan sehingga membolehkan pekerja memiliki rumah dan kereta mewah tetapi sekadar untuk menampung kehidupan hari tua.
“Maka dengan konsep Madani, majikan perlu mempunyai ihsan terhadap pekerja,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Pemangku Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, berkata kos operasi PMKS dijangka melonjak jika kadar caruman KWSP bagi majikan benar-benar dinaikkan sehingga 20%.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai sekitar sejuta PMKS dan majikan ketika ini sedang bergelut menstruktur semula perniagaan masing-masing selepas pandemik Covid-19, serta menyesuaikan perniagaan dengan tekanan ekonomi semasa.
“Jika benar dilaksanakan, ia akan menyebabkan keadaan di mana mungkin setiap satu daripada sejuta PMKS itu terpaksa membuang sekurang-kurangnya seorang pekerja bagi berhadapan kenaikan kos operasi, jadi sejuta juga pekerja bakal menerima tempias,” kata Norsyahrin.
Dalam pada itu, Kamarul berkata, MTUC berharap cadangan kenaikan caruman KWSP berjaya direalisasikan dan perbincangan segera dengan pihak berkepentingan dapat dilakukan.
Beliau berkata, MTUC akan menasihati semua pihak agar tidak memberi gambaran buruk terhadap cadangan itu kerana akhirnya yang mendapat kesan adalah rakyat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Jemaah Menteri dijangka membincangkan cadangan tambahan peratusan KWSP bahagian majikan kepada 20%, berbanding 13% ketika ini.
Cadangan itu didakwa sebagai langkah mengatasi kebimbangan kerajaan apabila 71% pencarum KWSP aktif berusia 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang mencukupi untuk bersara di atas paras kemiskinan negara.
Keadaan ini dikatakan berlaku akibat empat pengeluaran khas KWSP dibenarkan semasa penularan wabak itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.