Apa maksud pelawaan ini? Apakah Pakatan Harapan sudah terdesak setelah melihat Gelombang Hijau menjelang PRN tidak lama lagi. PH tidak akan mengaku mereka bimbang dengan pengaruh PAS meraih undi Melayu selepas PKR gagal memainkan peranan itu. Dilaporkan juga PMX berjumpa Nik Abduh dan Nik Omar untuk memujuk Hadi bergabung dengan PH walaupun kedua pihak menafikan tujuan pertemuan itu.
Ini bola tanggung untuk Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor. PH mungkin tak kisah sangat dengan Kelantan dan Terengganu. Kalau dapat kalahkan Perikatan Nasional di Kedah itu satu pencapaian besar. Nampaknya Saifuddin Nasution kena pujuk mat-mat motor di Kedah yang tak berapa pandai dan tiada pendapatan tetap untuk sokong PH. Sebab itu jangan cepat sangat buat andaian. Kecik hati depa.
PH nak tentukan Selangor, Negeri Sembilan, dan khususnya Pulau Pinang tidak terlepas ke tangan PN atau hilang banyak majoriti. Memanglah PH akan terus memerintah di Putrajaya tetapi kemenangan besar pada PRN permulaan yang malap untuk PRU16.
Sepatutnya gabungan Umno, PKR, dan Amanah menjadi lebih gah dalam memancing undi Melayu. Umno selalu mendakwa mereka ada sokongan akar umbi Melayu. Amanah selalu menonjolkan diri sebagai alternatif kepada PAS. Sementara PKR kuat di kawasan bandar yang Melayu bukan majoriti. Lengkap sudah gabungan ini untuk kunci undi Melayu. Maknanya PAS bukanlah saingan yang tidak boleh dikalahkan.
Kit Siang bagi syarat kepada Hadi kalau PAS nak join PH. Yang mengajak DAP bukan PAS, perlu kah ada syarat? Kit Siang mahu Hadi berhenti memburukkan DAP, henti fitnah DAP. Tuan Guru masih boleh mengemudi PAS pada laluan yang selamat dan tidak membiarkan ia tenggelam. Dulu PAS diberi pilihan juga, sama ada berjuang bersama Umno atau Bersatu. PAS memilih Bersatu untuk bergabung dalam PN. Ternyata PAS berada di landasan yang betul.
Setelah bermacam-macam tuduhan dihamburkan kepada PAS, hari ini PH nak berkawan dengan orang PAS kerana undi Melayunya. Kenapa tak kerah “laskar online” Umno, PKR, dan Amanah sinsing baju menerjah pengundi Melayu agar bangkit menyokong PH?
Politik ini pelik. Tiada yang mustahil. Tak payah nak terkejut atau pun hairan. Dahulu kita hanya kenal Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Umno serta BN sebagai parti memerintah. Sekarang kita kena membiasakan diri dengan perubahan-perubahan yang mendadak. Jangan cepat berang; urut dada anda untuk jadi lebih tenang. Cuma parti yang berkuasa jangan lalai dengan kuasa sehingga meminggirkan amanah mentadbir negara secara bersungguh-sungguh. Kena ada sengkangan antara politik dan tanggungjawab sebagai pemerintah. Falsafah sahaja tidak menyelesaikan masalah rakyat marhaen.
PAS tidak mungkin menekan “break” lagi untuk membolehkan orang lain memanupulasikan kemampuannya menarik anak muda kepada parti itu. Parti lebai, kata mereka. Lebai tak pandai memerintah, tetapi kepimpinannya sekarang datang dari latar belakang pendidikan professional. Kalau pun mereka lebai, integriti mereka lebih mantap bukan sekadar memuaskan nafsu politik.
Ramai yang menumpang populariti Sanusi di Kedah walaupun dalam masa sama mengecamnya sebagai ‘kuat kelentong’ dan ‘sembang kari’. Hakikatnya Sanusi melaksanakan banyak perkara dalam masa tiga tahun pemerintahan berbanding pemimpin lain yang memerintah berpuluh tahun. Takkan nak mengaku?
Tetapi kerana kesuntukan pendekatan untuk menang PRN akan datang, kalau kena caranya berkongsi kuasa, Hadi masih boleh dipujuk dengan membawa agenda kerbersamaan Melayu dan Islam dalam menjulang semula imej Malaysia di rantau ini. Kalau ia berjaya direalisasikan, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan menghasilkan pencapaian besar.
PAS dan DAP pernah bergabung sebelum ini untuk menumbangkan Umno dan BN. Kemudian bergabung pula dengan Umno untuk jatuhkan PH. Hari ini sesiapa pun boleh bergabung dengan mana-mana parti untuk dapatkan kuasa. Cuma tidak pasti selama mana ia boleh bertahan.
Kalau melihatkan kepada momentum kempen PAS sekarang, sukar untuk memujuk Hadi menyertai kem PH walaupun ia tidak mustahil. Anwar lebih kenal hati budi pemimpin PAS daripada pemimpin lain, jadi PAS tidak akan rasa kekok untuk berbaik semula jika itu kehendak pemimpinnya. Yang kekoknya bagaimana nak beritahu penyokong-penyokong nya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.