`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 19, 2023

Coldplay tak ‘cold’

 

Kalaulah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nasrudin Hassan pegang jawatan perdana menteri sekarang, pasti konsert Coldplay pada November ini tidak akan diadakan, apatah lagi jika presiden beliau, Hadi Awang, jadi perdana menteri. Begitu juga pemimpin lain. Kerana PAS dilihat punya pendirian anti-konsert artis antarabangsa (ditekankan artis antarabangsa. Ini kita cerita sebentar lagi).

Akan tetapi oleh kerana mereka bukan pemimpin nombor wahid Malaysia dewasa ini, Coldplay akan (jika tidak ada aral melintang) membuat persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Nov ini sebagai sebahagian daripada jelajah dunia mereka. Tiket diberitakan sudah habis dijual dalam masa tiga jam apabila penjualan dibuka Rabu lalu. Harga tiket antara RM228 hingga RM3,088.

Seperti dijangka, saranan Nasrudin supaya konsert itu dibatalkan tidak dituruti. Ketika membuat saranan itu, beliau menyifatkan persembahan Coldplay “tidak membawa kebaikan kepada negara, agama, dan rakyat”. Beliau tidak pula beritahu apa aktiviti yang boleh membawa manfaat kepada negara, agama, dan rakyat.

Bahkan Nasrudin bertanya, “apakah kerajaan bermaksud mahu menyuburkan budaya hedonisme dan ajaran songang ke negara ini”. Ini merujuk Chris Martin, penyanyi utama Coldplay, yang kerap mengibar bendera warna pelangi ketika persembahan menandakan sokongan kumpulannya kepada komuniti LGBTQ.

Coldplay juga pernah mempromosi lagu pro-Palestin berjudul “Freedom for Palestine” yang dihasilkan, kata mereka, “by some of our friends” dalam band One World. Banyak lagi perjuangan yang disokong kumpulan itu di samping menderma 10% keuntungan semua persembahan mereka kepada kebajikan. Coldplay juga menaja dua “watercraft” yang memungut bahan plastik dari sungai yang tercemar sebelum ia sampai ke lautan Malaysia. Tetapi itu semua bukan dalam konteks artikel ini. Artikel ini mengenai PAS dan konsert.

Kenyataan Nasarudin sebenarnya memang dijangka, khususnya apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan Coldplay. Tentulah PAS merasa perlu melakukan sesuatu untuk menentang sesuai dengan imej parti Islami. Selepas kenyataan Nasrudin, ramai pemimpin PAS terutama peringkat Pemuda negeri menyuarakan pendirian anti-Coldplay. Rata-rata mahu konsert kumpulan Inggeris itu ditiadakan.

Malah bekas timbalan ketua Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abdul Rani bercakap mengenai bencana seperti tsunami, banjir, Covid-19, dan tanah runtuh yang “merupakan petunjuk Tuhan yang sepatutnya diinsafi orang Islam”. Beliau mengaitkan bencana yang disebutnya dengan konsert Coldplay.

Imbas kembali ke Ogos 2022. Pemuda PAS melalui ketuanya, Ahmad Fadhil Shaari, mengecam penganjuran konsert. Katanya “penganjuran konsert bertalu-talu adalah kerja gila menjemput kemurkaan Allah.” Fadhil tidak merujuk mana mana konsert secara khusus, tetapi kenyataan beliau dibuat kurang 24 jam selepas penyanyi antarabangsa Billie Eilish mengadakan persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ketika itu penganjuran konsert di ibu negara amat rancak menjelang peralihan ke era endemik Covid-19, dan banyak konsert membabitkan artis luar negara dan tempatan diadakan waktu PAS duduk dalam kerajaan pusat.

Ads by Kiosked

Saya tidak mempertikai langkah PAS membawa elemen agama dan “kemurkaan Allah” dalam bantahan mereka terhadap konsert, namun bagi saya tidak boleh dinafi ada juga elemen politik dalam bantahan yang dibuat PAS.

Lihat kembali kenyataan ketua Pemuda PAS yang disebut tadi. Kenyataan susulan walaupun masih bernada anti-konsert menyentuh hanya persembahan artis antarabangsa. Konsert membabitkan artis tempatan tidak disuarakan. Berbeza masa lalu, lewat 1980-an umpamanya, PAS bantah keras konsert Sudirman dan berdemo di depan Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya tempat konsert dilangsungkan. Malah menurut AJK PAS Pusat, Riduan Mohamad Nor, menerusi penulisan panjang lebar dalam Harakahdaily 13 Mei lalu, Terengganu yang ditadbir PAS bukti ia “bukan Taliban”.

Di Terengganu, katanya, kerajaan PAS mengizinkan “artis dan seniman berpartisipasi dalam pelbagai program hiburan.” Adakah beliau maksudkan konsert? Antara artis yang beliau namakan ialah Ramli Sarip, Yantzen, Zuar XPDC, Ali Terra Rossa, dan ramai lagi. Saya tidak mencadangkan PAS mengambil pendirian anti-artis tempatan, apa lagi mengharamkan persembahan mereka. Saya ucap tahniah kepada PAS yang menyokong artis tempatan. Teruskan pendirian ini.

Cuma jika konsert boleh menjemput kemurkaan Allah, yang ingin saya tahu mengapa ada berlainan pendirian berhubung konsert artis luar dan konsert artis tempatan? Bukankah konsert tetap konsert? Jika bantahan PAS mengambil kira elemen agama tentulah semua konsert mesti dilarang sebab ini soal agama. Tuntutan agama sama rata. Bukan begitu?

Mungkinkah kerana artis tempatan boleh mengundi pada pilihan raya, manakala artis antarabangsa tidak boleh? Ringkasnya PAS memerlukan undi artis tempatan, keluarga mereka dan semua yang berhubung kait dengan konsert artis tempatan. Ini sebabnya dikatakan tadi saya percaya ada elemen politik dalam bantahan PAS terhadap konsert. Waullahualam.

Apa pun saya akhiri artikel ini dengan memetik catatan Azlan Zainal daripada Ilham Centre di Facebook, mengenai konsert Coldplay: “Buat yang bantah, tak dapat pergi dan sebagainya, seperti tajuk lagu Coldplay, kita hanya mampu berkata kepada mereka agar ‘God Put A Smile Upon Your Face’.” - FMT

Ads by Kiosked - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.