`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 18, 2023

Duta asing sambut baik penjelasan dasar 5G negara, kata Fahmi

 

Fahmi Fadzil ketika memberi penjelasan kepada duta asing berhubung penjelasan dan keterbukaan kerajaan berkaitan penyediaan 5G negara. (Gambar Facebook Fahmi Fadzil)

PETALING JAYA: Duta asing menyambut baik penjelasan dan keterbukaan kerajaan perpaduan terhadap dasar 5G negara, menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, reaksi itu ialah lanjutan daripada sesi taklimat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama duta asing mengenai dasar 5G negara, hari ini.

“Saya memaklumkan keputusan kerajaan perpaduan melaksanakan pendekatan dwirangkaian bagi perkhidmatan 5G sebagai usaha mewujudkan persaingan sihat, sekali gus memacu kualiti perkhidmatan telekomunikasi negara.

“Pembangunan rangkaian 5G wajar diterajui semula pihak penyedia perkhidmatan apabila pencapaian liputan 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

“Alhamdulilah, duta-duta menyambut baik penjelasan dan keterbukaan kerajaan perpaduan,” katanya di Facebook.

Pada 3 Mei, Fahmi berkata, kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024.

Katanya dipetik Bernama, peralihan kepada model dwirangkaian itu akan dilaksanakan berpandukan syarat selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.

Terdahulu, Fahmi juga menolak kebimbangan disuarakan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung risiko keselamatan di sebalik dakwaan Huawei dikatakan berminat dalam penyediaan 5G negara.

Katanya, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan semua duta asing yang bimbang dengan perkara itu bagi memberi penjelasan berhubung kedudukan kerajaan.

Pada 2 Mei, Financial Times melaporkan, utusan AS dan EU ke Malaysia menulis kepada kerajaan, pada bulan lalu, susulan langkah kerajaan menyemak semula penganugerahan tender kepada Ericsson untuk mewujudkan rangkaian 5G milikan negara. Surat utusan itu dilihat Financial Times.

Laporan itu menyebut, Huawei, syarikat perkakasan komunikasi dari China yang disenarai hitam Washington, secara aktif melobi untuk diberi peluang membina rangkaian 5G Malaysia. Huawei dan syarikat terkemuka dari Finland, Nokia, gagal mengatasi Ericsson dalam proses tender terbuka. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.