`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 25, 2023

Gula oh gula

 

Tidak ada hujan tidak ada ribut, tiba-tiba gula pasir putih tiada di pasaran. Pelik kan? Ingatnya ramai yang pentingkan kesihatan dah tak ambil gula. Realitinya tidak. Sehari selepas Aidilfitri, Kelantan dan Terengganu mengadu tiada bekalan gula pasir di pasaran. Di kedai runcit mahupun di pasar raya.

Semacam kesan domino, kekurangan bekalan gula menjangkit pula ke Perlis dan Kedah. Terima kasih kepada kerajaan atas tindakan pantas mengembalikan bekalan gula di empat-empat negeri tersebut.

Apakah punca sebenar berlakunya gangguan bekalan gula di pasaran? Apakah benar penutupan kilang berjadual puncanya? Sedangkan penutupan kilang berjadual sebahagian daripada pengoperasian kilang setiap tahun. Sebelum ini tidak pula ada gangguan gula di pasaran.

Apakah masalah logistik kerena syarikat logistik juga tutup semasa cuti panjang Aidilfitri? Apa pun, pasti ada sebab yang mendasar. Kalau kita sorot kembali, zaman pemerintahan kerajaan terdahulu juga pernah berlaku gangguan bekalan makanan di pasaran.

Pada Mei 2022 berlaku gangguan bekalan ayam. Ayam yang ada kecil-kecil ketika itu. Bila disiasat, ada yang mendakwa itu reaksi daripada penternak bila permohonan tambahan subsidi ditolak kerajaan ketika itu. Masalah itu selesai setelah kerajaan melunaskan dan memudahkan penyaluran subsidi kepada penternak.

Itu ayam! Proses pembesaran ayam mengambil masa antara 32 hingga 40 hari. Bila gangguan telur melanda bermula Oktober 2022 dan menjangkau perubahan kerajaan baharu sehingga hari raya April 2023, barulah kita tahu proses peneluran telur mengambil masa antara 6 hingga 8 bulan. Tiada jalan pintas!

Sebab musababnya serupa. Reaksi penternak bila permohonan tambahan subsidi tidak diluluskan. Ada yang mengurangkan pengeluaran telur gred A, B, dan C dan sebagai alternatif meningkatkan pengeluaran telur gred premium yang tidak dikawal harganya seperti Omega, Silleneum, dan organik.

Yang jelas, tiada peniaga dan pengusaha hendak menanggung kerugian. Daripada terus rugi, baik tutup ladang dan kilang dan mulakan bisnis lain. Apakah gangguan bekalan gula ini bibit-bibit atau “tip of the iceberg” permasalahan yang lebih kronik? Di sinilah kerajaan harus berani dan jujur.

Bagi kita pengguna pula, tidak guna duit banyak tapi tidak membeli kerana tiada bekalan di pasaran. Tidak guna harga ditekan hingga begitu rendah sehingga pengeluar rugi dan akhirnya tidak mengeluarkan produk di pasaran.

Yang paling utama ialah bekalan makanan yang stabil dan bekalan dijamin stabil bila pengeluar berkeupayaan mengeluarkan bekalan tanpa membebankan mereka dengan kerugian.

Justeru, yang diperlukan ialah harga patut (fair price) yang menang-menang antara pengeluar, pembekal, peruncit, dan pengguna. Tidak guna harga murah tetapi bekalan tidak ada atau tidak menentu di pasaran.

Masalah ayam dan telur diselesaikan melalui subsidi dan memperbaiki mekanisma penyaluran subsidi. Berlainan pula dengan gula! Gula bukan barang bersubsidi walaupun gula putih bertapis merupakan barang kawalan di mana harganya dikawal kerajaan.

Kalau dahulu mungkin kerajaan tidak mempunyai “political will” untuk mengurangkan subsidi ayam dan telur kerana pastinya akan menggugat sokongan peti undi. Apakah pendekatan kerajaan baharu dalam menangani barangan yang tidak bersubsidi seperti gula ini?

Tidak susah untuk membuat analisis. Pertama kita lihat penyata kewangan syarikat. Kedua kita melihat harga runcit gula gred yang serupa antara Malaysia dengan negara-negara jiran di Asean.

Kedudukan serta prestasi kewangan syarikat pengeluar gula kurang memberangsangkan. Kedua-dua syarikat mencatatkan kerugian terkumpul bagi tahun kewangan sekitar RM 178 juta setakat tahun 2022. Jika pemegang saham syarikat-syarikat tersebut memutuskan untuk menutup kilang mereka, rakyat terpaksa bergantung kepada gula import yang harganya pasti lebih tinggi.

Kita difahamkan kos terbesar dalam pengeluaran gula ialah harga gula mentah dan harga gas yang merupakan 90% daripada keseluruhan kos. Harga gula mentah meningkat sebanyak 70% dari USD13 sen se pound pada 2021 kepada USD21.00 sen se pound pada 2023. Harga gas pula dikhabarkan naik 205% berbanding tahun 2021 sedangkan harga kawalan hanya naik RM0.01 sejak sepuluh tahun yang lalu.

Jika kita rujuk negara-negara Asean, harga runcit gula pasir Malaysia yang paling rendah dan termurah iaitu RM2.85 sekilo bagi gula kasar dan RM2.95 sekilo bagi gula halus. Harga runcit di Thailand yang menanam sendiri tebu untuk pengeluaran gula RM3.20 sekilo, 35 sen lebih mahal dari Malaysia. Begitu juga negara penanam tebu seperti Filipina dan Indonesia di mana harga runcit gula pasir RM 8.53 sekilo dan RM4.30 sekilo.

Kita boleh bandingkan harga runcit gula dengan negara-negara Asean lain yang serupa dengan Malaysia yang tidak menanam tebu tetapi mengimport gula mentah seperti Vietnam (RM6.20), Singapura (RM6.32), Myanmar (RM6.41), Cambodia (RM5.37), dan Brunei (RM6.32).

Ada bebarap opsyen yang dimiliki kerajaan. Kekalkan harga kawalan tetapi tidak menjamin kestabilan bekalan di pasaran. Naikkan harga kawalan bagi menjamin bekalan yang stabil tetapi mungkin terpaksa menghadapi kemarahan rakyat dan hilang sokongan di peti undi.

Atau tiada kawalan harga di mana harga gula diapungkan seperti dalam sistem ekonomi pasaran bebas di mana pasaran akan membuat pelarasan harga berdasarkan permintaan dan penawaran. Atau kerajaan memperkenalkan strategi hibrid dengan kombinasi harga kawalan dan harga apung bagi gred gula yang pelbagai.

Ads by Kiosked

Dengan itu rakyat mempunyai pilihan berdasarkan citarasa dan kemampuan mereka. Seperti beras, minyak masak, dan lain-lain bahan makanan, saya yakin pengguna kita matang dan mampu membuat pilihan yang terbaik berdasarkan citarasa dan kemampuan mereka.

Apakah keputusan kerajaan? Kita tunggu yang terbaik. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.