`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 8, 2023

Guna bayaran YouTube sedia makanan halal untuk pelajar Islam di AS

 

Huzaifah Baharuddin dan isteri, Samantha Baharuddin simpati apabila tiada makanan halal di kafeteria sekolahnya untuk dimakan pelajar muslim kecuali roti.

PETALING JAYA: Berbekalkan bayaran diterima hasil tontonan kandungan disediakannya di YouTube, seorang pempengaruh media sosial dari Malaysia memulakan “langkah kecil” membantu menyediakan makanan halal untuk pelajar Islam di Omaha, Amerika Syarikat.

Huzaifah Baharuddin, 31, memulakan inisiatif itu beberapa hari sebelum Ramadan lalu, membabitkan sekumpulan pelajar berusia 10 hingga 12 tahun yang mengadu kepadanya “tidak lagi tahan” mengalas perut dengan snek seperti Nachos serta roti berinti mentega kacang.

“Kafeteria hanya hidangkan menu tidak halal seperti daging khinzir dan ayam yang tidak pasti disembelih atau sebaliknya,” kata anak jati Taiping, Perak itu yang bekerja sebagai kakitangan sokongan di sekolah kanak-kanak terbabit.

Ads by Kiosked

Selepas berbincang dengan isterinya Samantha Baharuddin, 31, iaitu warga tempatan Omaha, mereka bersetuju menggunakan bayaran daripada YouTube bagi membeli hidangan halal untuk diberi kepada kanak-kanak berasal dari pelbagai negara itu.

Akaun “Jai dan Sam” di YouTube yang dikendalikan Huzaifah mempunyai hampir 54,000 pengikut atau subscriber manakala 237,000 pengikut di TikTok.

Menerusi platform berkenaan, beliau berkongsi aktiviti sehariannya di negara “Uncle Sam” itu selain perkongsian memasak makanan halal dan Melayu yang sentiasa mencapai jumlah tontonan tinggi.

“Syukur hasil itu dapat membantu sedikit sebanyak murid terbabit menikmati makanan halal,” katanya kepada FMT.

Huzaifah antara sebilangan kecil rakyat Malaysia yang dibenarkan ke luar negara untuk melangsungkan perkahwinan semasa negara menutup sempadan akibat Covid-19.

Huzaifah berhijrah ke Omaha dua tahun lalu untuk berkahwin dengan Samantha dan rasa rindu terhadap kampung halamannya terutama ketika Ramadan dan Syawal sering mengusik jiwanya.

“Dulu tidak teruja tengok bazar tetapi sekarang cemburu sebab di Malaysia ada bazar dan hampir semua berpuasa, jadi ‘vibe’ itu rasa.

Ads by Kiosked

“Tapi kalau dekat bandar besar lain (di AS), mereka ada banyak buat majlis berbuka puasa contohnya Texas…ramai orang Islam di sana,” katanya.

Untuk melepaskan rindu terhadap Malaysia, Huzaifah berkunjung ke Dearborn terletak di Michigan- sebuah bandar dihuni majoriti orang Islam di AS.

“Di sana memang penuh dengan orang Islam termasuk pasaraya, hampir semua pekerjanya muslim,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.