`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 19, 2023

Haji 2023: Imigresen buka 10 kaunter khas mulai Ahad ini

 

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata kaunter khas dibuka bagi menguruskan 31,600 jemaah Malaysia yang akan berangkat ke Arab Saudi bermula Ahad ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebanyak 10 kaunter khas akan dibuka mulai Ahad ini hingga 21 Jun bagi melancarkan proses dokumentasi jemaah haji Malaysia, kata Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh.

Seramai 30 anggota imigresen juga akan ditugaskan secara syif sepanjang tempoh tersebut, katanya.

“Pembukaan kaunter khas di Gate C17 ini adalah suatu inisiatif bagi memberi keselesaan kepada jemaah haji tanpa perlu bersesak-sesak dengan penumpang lain.

“Ini termasuk dalam program pra pelepasan jemaah haji atau ‘Makkah Route’ yang melibatkan Jabatan Imigresen dan kastam Arab Saudi,” katanya menurut Bernama.

Katanya, seramai 31,600 jemaah haji Malaysia akan berangkat ke Arab Saudi melalui 102 penerbangan mulai Ahad ini.

Pelaksanaan ‘Makkah Route’ membolehkan bakal jemaah haji Malaysia ke Mekah tanpa perlu melalui prosedur memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.

Menerusi inisiatif itu, anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program itu akan memeriksa pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah, jemaah tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di negara itu.

Malaysia merupakan negara pertama terpilih melaksanakan program perintis bagi inisiatif ‘Makkah Route’ pada 2017 dan ia diteruskan hingga kini.

Ruslin berkata, beliau amat berpuas hati dengan tahap persediaan anggota dan peralatan di kaunter terbabit dan akan ditambah baik sekiranya diperlukan kelak.

“Kita tidak mahu jemaah haji sesak di kaunter khas kita dan menyebabkan urusan imigresen di pihak Arab Saudi terganggu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.