Adat berkawan yang baharu diraikan, yang lama dieratkan. Jangan dapat yang baharu, yang lama dilupakan. Kawan lama jangan pula berkecil hati. Mungkin itu yang dimaksudkan oleh Presiden Umno, Zahid Hamidi, apabila memberi pencerahan hubungan baharu Umno dan DAP.
Dalam politik mana ada istilah kecil hati. Kalau nak rasa kecil hati jangan masuk mana-mana organisasi waima menjadi AJK surau sekali pun. Tambah pula di usia sudah bersara.
Memang betul kata Zahid, dulu Umno ada MCA dalam BN. Sekarang tambah lagi DAP dalam kerajaan perpaduan. Apa masalahnya? Sama sahaja, masing- masing merperjuangkan ‘hak’.
Cuma dalam kes DAP, setelah berpuluh tahun bertegang urat leher, tentunya kekok sekarang untuk duduk semeja, berbincang hal negara dan rakyat. Kata Anthony Loke, setiausaha agung DAP, kita lawan sampai jadi kawan.
Dalam mana-mana organisasi akan ada seorang dua watak yang kadangkala membuat kenyataan yang menggugat keharmonian. Ini perlu dibendung. Jika dibiarkan, seteru akan cepat menangguk di air yang keruh. Situasi ini macam menatang minyak yang penuh.
Sekali lagi politik membawa seribu kemungkinan. Jangan hairan dan kecil hati. Sudah tentu seteru Zahid mahu membuktikan bahawa strategi Zahid membawa Umno menyokong PMX ialah sokong membawa rebah. Setakat ini Umno OK jer dan pemimpinnya mendapat tempat dalam Jemaah Menteri. PMX juga menzahirkan terima kasihnya maka mereka juga dilantik ke GLC. Itu amalan sejak dulu lagi. Ini juga tidak menghairankan, selagi integriti dipatuhi.
Ramai yang tidak puas hati kerana tidak mendapat tempat , tidak lagi dapat menikmati keistimewaan sebagai pengurusi itu dan ini. Ini juga tidak menghairankan. Realitinya apa yang kita dapat sebelum ini bukan kontrak seumur hidup. Orang lain juga layak. Cukuplah rezeki kita sampai situ sahaja. Janganlah berkecil hati sampai putus silaturrahim.
Kita tunggu PRN untuk membuktikan strategi siapa yang berhasil. Tetapi biasalah dalam berpolitik, mana boleh duduk diam. Ada sahaja komen jelek dan menyakitkan hati. Kalau mampu, jawablah, kalau tidak buat bodoh sahaja. Tak rugi sesen pun. Cuma apabila tak jawab rasa gatal seluruh badan. Itulah ragam ahli politik.
Hubungan sudah lama terjalin di antara Anwar Ibrahim dan Zahid. Menyokong Anwar ketika ini bermakna membawa sekali DAP. DAP juga kawan Anwar selepas Anwar tidak lagi dalam Umno. Ini cerita kawan lama. Tidak hairan kalau Zahid tidak membantu kawan lamanya, sekaligus guru dan mentor.
Seteru Zahid boleh gunakan seribu alasan untuk meremehkan hubungan Zahid-Anwar, tetapi itulah hakikatnya. Siapa lagi boleh bantu kalau bukan sahabat setia khususnya ketika saat-saat yang memerlukan.
Yang lain cuma kosmetik. Politik tidak hidup kalau tidak diselang-seli falsafah. Usik sana sini. Yang terusik jangan pula terasa. Kerana semua kita telah melaluinya. Yang belum tunggu gilirannya.
Cuma apabila tidak lagi berada di tampuk jangan lah jadi “sore loser”. Sebab bagi mereka yang sudah merasai kehebatan ketika berkuasa, apabila hilang keistimewaan itu, mereka merasakan orang lain tiada hak mengambil alih.
Suatu hari kita akan hilang segala-galanya. Jadi belajarlah dari sekarang. Jangan terperanjat pada penghujungnya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.