`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 10, 2023

Kastam rampas 264 basikal elektrik lebih RM740,000

 

Kastam berkata, lelaki berusia 50-an ditahan kerana menyalahguna lesen mengimport basikal elektrik yang dijual antara RM1,000 hingga RM1,500 sebuah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Melaka merampas 264 basikal elektrik bernilai RM742,479.53 termasuk cukai, yang diimport tanpa lesen sah di sebuah syarikat pembekal kenderaan itu di Kawasan Perindustrian Tasik Utama, Melaka.

Pengarah Kastam Melaka Norlela Ismail, berkata basikal elektrik berkenaan dirampas pada Februari itu memandangkan lesen import diperoleh syarikat itu daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri diikrar sebagai komponen basikal, disalah guna pemilik syarikat dengan mengimport basikal elektrik lengkap dipasang.

Beliau berkata, dalam serbuan pada 5 petang, pemilik yang juga pengurus besar syarikat berkenaan berumur 50-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati syarikat atau kilang tersebut beroperasi lima tahun dan basikal elektrik berkenaan diimport dari China dan dibawa masuk menerusi Pelabuhan Klang di Selangor.

“Kita telah melakukan risikan selama enam bulan sebelum melakukan serbuan hasil maklumat dalaman yang diperoleh dan rampasan melibatkan basikal elektrik ini adalah yang pertama di Melaka,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, basikal elektrik berkenaan dijual antara RM1,000 hingga RM1,500 sebuah dan kenderaan itu diimport untuk dijual di pasaran sekitar Melaka.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Norlela berkata, Kastam Melaka berjaya menumpaskan 65 kes penyeludupan di negeri itu membabitkan nilai lebih RM8.8 juta termasuk cukai dalam tempoh enam bulan sejak Disember tahun lalu.

Beliau berkata, rampasan basikal elektrik itu antara empat kes penyeludupan terbesar berjaya ditumpaskan di Melaka selain tiga lagi kes membabitkan rampasan minuman keras, rokok dan topi keledar dalam tempoh itu membabitkan nilai lebih RM6.5 juta termasuk cukai. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.