`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 23, 2023

Kerajaan Kelantan digesa perjelas bonus raya lembaga pengarah AKSB RM10,000

 

Notis pemberian sagu hati RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah AKSB yang tular di media sosial sejak semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan kerajaan negeri digesa memberi penjelasan berhubung pemberian sagu hati raya kepada ahli lembaga pengarah AKSB yang didakwa berjumlah RM10,000, selepas tular satu notis mengenainya di media sosial semalam.

Ahli Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir, berkata jika benar, perkara itu perlu dijelaskan khususnya mengenai rasional pemberian sagu hati berkenaan sama ada ia sepadan pencapaian AKSB dalam melaksanakan perkhidmatannya membekalkan air bersih.

“Sehari dua ini berlegar surat yang dikatakan dari pengurusan AKSB mengenai bonus raya baru-baru ini sebanyak RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah sedangkan staf AKSB diberi imbuhan sebanyak RM200 seorang sahaja.

“Jika benar sebagaimana disebut, bermakna tiada langkah positif daripada kenyataan bekas menteri alam sekitar dan air (Tuan Ibrahim Tuan Man) yang menjadi asas perubahan pentadbiran AKSB dalam membaiki perkhidmatan sekiranya ganjaran yang diperoleh tidak sepadan dengan hasil kerja mereka.

“Ini dikhuatiri boleh merencatkan proses kerajaan pusat untuk membantu kerajaan negeri dalam membaiki perkhidmatan air kiranya tadbir urus dan tata kelola yang baik tidak diamalkan secara tuntas oleh pihak pengurusan mereka,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, tular satu notis mengenai pemberian sagu hati raya sebanyak RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah AKSB, yang dipercayai melibatkan sembilan individu.

Turut dinyatakan dalam notis itu ialah pemberian sagu hati RM200 kepada semua kakitangan dan RM2,000 untuk setiausaha syarikatnya.

Ia didedahkan seorang individu di Facebook sehingga mengundang kecaman warganet, khususnya rakyat Kelantan yang sekian lama berdepan masalah air.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Azami Mohd Nor, yang dihubungi enggan mengulas lanjut perkara tersebut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.