`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 21, 2023

Kes buli di tandas sekolah, polis rampas 6 telefon bimbit

 

Video kejadian buli dipercayai berlaku di sebuah sekolah menengah di Butterworth tular di media sosial.

PETALING JAYA: Polis merampas enam telefon bimbit dipercayai digunakan suspek dalam dua kejadian buli di sebuah sekolah dekat Butterworth, Pulau Pinang yang tular di media sosial pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Mohd Asri Shafie, berkata siasatan mendapati kes itu berlaku pada hari sama iaitu pada 19 Mei membabitkan dua mangsa yang dipukul beberapa murid lain di sekolah terbabit.

“Dua klip video berdurasi 24 dan 34 saat itu adalah kes berlainan dan kes pertama berlaku lebih kurang 1 tengah hari dengan mangsa adalah murid tingkatan dua telah dipukul oleh seorang murid tingkatan tiga.

“Dalam kejadian kedua, mangsa murid tingkatan satu telah dipukul sembilan murid senior kira-kira 3 petang yang mana mangsa hanya mengenali seorang daripada suspek,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Asri berkata, kedua-dua mangsa dipukul di tandas lelaki sekolah terbabit menggunakan tangan dan kaki tanpa sebarang objek lain.

Katanya, bagi kes kedua polis berjaya menahan sembilan suspek berusia antara 14 dan 16 tahun yang juga pelajar tingkatan dua hingga empat sekolah sama.

Asri berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya turut menasihati orang ramai agar tidak terus menularkan video kejadian buli itu kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Kes pertama disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan orang dan kes berikutnya disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin memaklumkan semua remaja yang ditahan kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka direkodkan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.