Mungkin anda ada mengikutinya. Podcast Keluar Sekejap membabitkan bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan. Khairy atau KJ kita tahu dipecat daripada Umno pada Januari lalu manakala keahlian Shahril digantung selama enam tahun.
Pada podcast yang dilangsung dua hari lalu dan boleh ditonton menerusi YouTube, keduanya seperti biasa membincangkan isu semasa selain soal ‘percutian’ mereka daripada pentas politik. Percutian sememangnya istilah sesuai untuk digunakan malah tajuk podcast juga memberi gambaran atau lebih tepat, ‘mengumumkan’, keduanya hanya keluar sekejap daripada pentas politik tanah air.
Namun pada awal sesi podcast dua hari lalu itu Khairy seolah menyuarakan hasrat mahu benar-benar bersara daripada politik. Kata beliau, pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini begitu ramai saudara-mara dan rakan bertanya akan rancangan masa depannya termasuk sama ada akan bertanding lagi pada pilihan raya. “Saya tepis dengan kata saya bersara dah,” kata Khairy kepada Shahril.
Menyedari podcast berkenaan turut diikuti Ong Kian Ming, bekas Ahli Parlimen Bangi tetapi masih anggota DAP, Khairy bertanya sama ada beliau patut menyertai DAP. Jawapan Ong, ya. Bukan sahaja Khairy tetapi juga Shahril. Jawapan itu disambut gelak ketawa. Mungkin Khairy bergurau. Mungkin “test water” menerusi gurau. Mungkin Ong juga bergurau. Atau perli? Atau mungkin serius. Entahlah.
Menurut Ong, Khairy dan Shahril patut menyertai DAP. Partinya memerlukan calon perdana menteri dan “kamu berdua sesuai”. Mungkin beliau bercakap mengenai masa depan memandangkan Khairy dan Shahril terutamanya masih muda. Jadi siapa lebih sesuai jadi perdana menteri? Kena pilih seorang. Tak boleh pilih dua dua walaupun keduanya ‘sesuai’. Ini giliran saya bergurau.
For the sake of argument, katalah KJ dan Shahril masuk DAP. Khairy yang lebih “senior” dan berpengalaman dijadikan calon PM daripada DAP. “Poster boy DAP”. Apa agaknya reaksi orang Melayu tentang langkah itu? Apa reaksi mereka terhadap Khairy sendiri? Apa kesannya kepada DAP? Saya kira DAP akan dapat “bonus point”. Imejnya sebagai parti berbilang kaum dan agama akan meningkat.
Sekarang pun ada orang Melayu duduk dalam DAP dan ada orang Melayu di luar parti yang sokong DAP tetapi apa pula kata orang Melayu yang anti-DAP sejak dulu? Kalau ikut amalan biasa parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam Parlimen ketuanya akan jadi perdana menteri. Mungkin itu perkiraan Ong dan DAP memang mampu menang banyak kerusi.
Jadi Khairy selaku “poster boy” akan jadi perdana menteri jika atau apabila DAP menang besar walaupun berada dalam Pakatan Harapan. Bagaimanapun terlebih dahulu Khairy sendiri mesti lah menang kerusi yang ditandinginya. Perlu dinyatakan ini sekadar “celoteh” kerana bak dikatakan tadi tidak dapat ditentukan sama ada Khairy mahpun Ong bergurau atau sebaliknya. Namun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, tangkas menjauhi daripada tindakan Ong.
“Itu pandangan peribadi beliau. Saya tidak ada apa nak cakap mengenainya,” Loke dipetik Malay Mail berkata.
Perlu diingat DAP tidak pernah menyatakan hasrat mahu ahlinya menjadi perdana menteri mahu pun menteri besar di negeri yang diperintah raja-raja Melayu. Mengikut konvensyen, jawatan perdana menteri disandang oleh orang Melayu walaupun ini tidak disebut dalam Perlembagaan. Tetapi untuk negeri termaktub dalam perlembagaan masing-masing jawatan Menteri Besar mesti disandang orang Melayu-Islam.
Teringat PRU14 pada 2018. Di Perak pada peringkat negeri, Pakatan Harapan mendapat majoriti mudah 31 kerusi (dengan pertolongan dua Adun BN yang melompat) untuk menubuhkan kerajaan negeri. Dalam kalangan PH, parti yang menang jumlah terbanyak ialah DAP dengan 18 kerusi. Berpandukan ini Adun daripada DAP boleh dilantik sebagai menteri besar. Satu-satu orang Melayu Islam yang menjadi Adun DAP ialah Aziz Bari yang menang kerusi Tebing Tinggi. Ertinya menepati peruntukan perlembagaan negeri bahawa menteri besar mesti orang Melayu-Islam.
Tidak pasti sama ada DAP ada mengetengahkan nama Aziz. Yang nyata Aziz tidak dilantik. Sebaliknya jawatan menteri besar diberi kepada Bersatu yang menang hanya satu kerusi menerusi Ahmad Faizal Azumu di Chenderiang. Maka beliau lah jadi menteri besar.
Perasaan peribadi saya sedih juga buat DAP dan Aziz tetapi pelbagai percaturan yang diambil kira dalam pelantikan menteri besar gamaknya. Begitu juga perdana menteri. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.