`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 29, 2023

Pesta Buku: The Untold Story

 

Sama ada anda maklum atau tidak, ketika ini sedang berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur sejak 26 Mei kelmarin hingga 4 Jun nanti. Bagi kami sama ada penulis, pelukis, atau pengkarya berbentuk media cetak serta peminat buku fizikal, Pesta Buku merupakan ‘hari raya’ buat kami.

Di sinilah kesempatan untuk kami berkumpul sesama kawan penulis, pelukis, pembaca, dan penerbit buku pelbagai aliran bersilaturrahim, bertukar- tukar fikiran, merungut-rungut, dan bergelak-ketawa. Di pentas-pentas yang disediakan juga sarat dengan program pelancaran, perbincangan, dan bedah buku. Pada hari-hari pesta buku inilah pastinya kami akan menambah kenalan baharu dengan minat yang satu – buku. Sungguh seronok dan mengujakan!

Syukur, masih ramai lagi yang gemar membaca buku fizikal di era digital ini. Rombongan sekolah dari dalam dan luar Lembah Klang turut memeriahkan pesta buku. Sesuatu yang sudah lama berlaku sebelum era menteri pendidikan mengajak pelajar menonton wayang percuma.

Industri buku juga mengalami graf naik-turun. Pernah suatu ketika ia mengalami zaman keemasan dan turut juga mengalami era kemuraman dan kemerosotan. Ini berkait rapat dengan faktor ekonomi. Apabila ekonomi tidak berapa ‘comel’, pembaca buku mengambil sikap berhati-hati berbelanja di antara keperluan hidup dengan minat membaca yang menebal. Beli buku pun, kena beli yang betul-betul minat. Poket yang tidak berapa penuh membuatkan peminat buku terpaksa menelan air liur melihat buku idaman, yang dia mahu tetapi harus berkompromi dengan berbagai keperluan lain. Bukan pakaian, kereta, atau kemewahan tetapi makan minum, sewa rumah, dan bil.

Program Baucar Buku 1Malaysia pada zaman Najib Razak memberi impak positif kepada industri buku baik untuk pelajar juga kepada peniaga buku. Syarikat penerbitan buku mandiri atau lebih popular dengan nama ‘buku indie’ juga mendapat durian runtuh dari program tersebut. Bagaimanapun, program baucar buku ini sudah tiada lagi apabila berlakunya pertukaran kerajaan.

Bercakap tentang ‘buku indie’, saya berkawan juga dengan beberapa penggerak/penerbit ‘buku indie’ yang telah mencipta ‘era renaissance’ dalam dunia buku tanahair. Gerakan ‘buku indie’ ini memberi ruang kepada penulis-penulis baharu, muda atau tua, yang sukar mendapat tempat di syarikat buku ternama. Konsep serta tema penulisan mereka yang lebih “cool”, “rugged” dan “lepas laku” mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat buku. Mungkin ada pihak yang kurang senang dengan mereka tetapi tidak dapat disangkal mereka berjaya membina empayar sendiri dan merancakkan sedikit industri penerbitan buku yang lesu dan sendu. Membaca ‘buku indie’ lebih dilihat “cool”. Membawa beg kain yang tercetak nama syarikat-syarikat ‘buku indie’ ini dilihat “best” dan menampal “sticker” syarikat buku indie ini di kereta dilihat ‘ngam’. Bukan sahaja penulis muda seperti Petak Daud dan Benz Ali atau golongan umur pertengahan seperti Fazleena Hishamuddin dan Lepat, malah ‘otai’ seperti pengarah filem Nasir Jani juga giat menulis dan mempunyai pengikut tersendiri. Sasterawan ternama seperti Faisal Tehrani turut berpayung di bawah penerbitan indie. Syarikat penerbitan indie seperti Fixi, Studio Anai-Anai, Rabak Lit, DuBook Press, Thukul Chetak (sekadar menyebut beberapa nama) menjadi ikon era ‘baucar buku’. Mereka mencipta gelombang di sisi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Buku Negara (ITBM). Pernah juga buku-buku terbitan mereka diharamkan oleh KDN dan nama-nama mereka serta syarikat penerbitan mereka menjadi bahan umpatan di program kerajaan sebagai berbahaya. Ahai! Begitulah ‘poyo’-nya mata Mat Skema Gomen yang tak habis-habis paranoid dan tergugat.

Bercakap fasal penulis dan penerbit buku mandiri, saya rasa mereka inilah golongan yang paling tahan lasak dalam menghadapi cabaran keras bisnes buku. Tidak macam industri dunia lakon dan nyanyi, apabila ekonomi merosot atau dunia dilanda pandemik mereka merintih merayu agar kerajaan melakukan sesuatu untuk membantu mereka yang selama ini ‘berjasa’ menghiburkan rakyat. Golongan buku indie ‘tenaaaaang sahaja’ menelan pahit meskipun ini pekerjaan sepenuh masa mereka. Mereka tidak cakap banyak sebaliknya kesakitan dan keperitan motivasi untuk terus menulis dan menerbit.

Tidak semestinya menghasilkan karya khas untuk pesta buku sahaja. Tidak ada istilah macam dunia filem, FINAS nak buat “Road To Oscar” yakni bikin filem khas untuk menang Oscar. Orang ‘buku indie’, tak ada. Mereka menulis dan menerbit kerana cinta. Adakalanya nasib tak baik, buku tak laku dan menimbun di studio. Apa nak buat, tak ada menteri nak ajak pelajar datang studio mereka belanja buku percuma. Ada juga nasib tak baik, reruai mereka diletakkan nun terpojok di ceruk dewan terlindung dek reruai syarikat gergasi sehingga pengunjung pun tak nampak. Ini semua penerbit buku indie kena telan.

Ads by Kiosked

Ya. Sabar. Ini mata pencarian mereka. Hadap sajalah!

Itulah, apabila bercakap tentang dunia buku macam-macam saya nak cakap. Sebagaimana kerajaan melancarkan Menu Rahmah, tak adakah kementerian berkaitan dalam kerajaan hari ini terfikir tentang Buku Rahmah? Err … tak mahulah saya cadangkan bagaimana, fikir-fikirkanlah. Gunakan slogan ‘Kita Boleh!’ waktu kempen pilihan raya umum yang lalu sebagai “catalyst” untuk menjayakannya. Bukankah PMX kita pun suka baca buku? Usahakanlah sesuatu supaya masyarakat kita cintakan buku. Bantulah industri buku negara dan usahawan mandiri yang gigih ini.

“Abang! Bila drama lakonan abang nak main kat TV?” Tanya seorang kenalan yang terserempak dengan saya sewaktu saya bersidai sekejap di sebuah reruai di Pesta Buku ini semalam. Seperti biasa, ada sahaja yang bertanya soalan bola tanggung sewaktu saya leka mengelamun.

“Entahlah!” jawab saya acuh tak acuh.

“Bangga aku bang, kawan aku dah jadi pelakon,” katanya sambil menepuk bahu saya.

Saya diam sahaja. Saya harapkan dia berbangga dengan saya yang telah menghasilkan empat buah buku. Rupanya tidak. Rasa hendak menitik air mata saya jatuh ke atas buku-buku karya saya. Baru berlakon dua drama kawan dah tumpang bangga. Tulis empat buah buku tak pernah pun dia sebut. Tsk…tsk…begitulah nasib kami penulis buku! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.