`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 28, 2023

Sekolah mula Januari kembalikan ‘keriangan’, kata NUTP

 

NUTP menyokong sesi persekolahan kembali kepada Januari mulai 2026 kerana ia lebih mudah diurus dan dirancang dari segi pengurusan serta kewangan.

PETALING JAYA: Ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM) mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari bermula 2026 akan memudahkan perancangan ibu bapa dan guru, menurut tinjauan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) amat menyokong langkah itu kerana dari segi pengurusan dan kewangan akan lebih mudah diurus dan dirancang.

“Keseronokan dan kemeriahan suasana buka sekolah pada awal tahun dapat dinikmati semula oleh murid dan guru,” kata Setiausaha NUTP, Fouzi Singon, kepada FMT.

Pada 23 Mei lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan sesi persekolahan akan kembali dimulakan pada Januari, bermula 2026, seperti sebelum penularan Covid-19.

Mac ditetapkan sebagai permulaan sesi persekolahan 2022, lantaran wabak Covid-19 yang menjejaskan segenap aspek sosial dan ekonomi menyebabkan Kementerian Pendidikan melanjutkan sesi persekolahan 2021 ke Februari 2022.

Takwim persekolahan 2021 dilanjutkan kerana ketika itu kebanyakan guru hampir menghabiskan silibus, dengan purata 30% lagi belum selesai.

Raja Emelia Raja Ahmed.

Tinjauan FMT mendapati pengumuman itu disambut baik oleh ibu bapa. “Kita rakyat Malaysia sudah terbiasa sebenarnya dengan sesi persekolah bermula Januari,” kata Amanda Zainal, 35.

Raja Emelia Raja Ahmed, 39, bersetuju dengan ketetapan KPM itu, namun berkata ia akan beri kesan ke atas rancangan percutian keluarga dan persiapan sekolah anak-anak.

“Jika dulu cuti panjang sekarang jadi pendek, jadi ada kekangan di situ di mana persiapan persekolahan harus dilakukan untuk memenuhi cita-cita mengejar sesi persekolahan bermula Januari itu.”

Siti Syuhada Mohamad.

Siti Syuhada Mohamad, 41, menyarankan kementerian tidak lagi menukar permulaan sesi persekolahan.

“KPM tak perlu tukar sesi pembelajaran kepada Mac lagi. Sesi bermula pada Januari seperti dulu-dulu sudah cukup baik.”

Amir Hisyam Mohamad, 43, bagaimanapun mahu kerajaan menetapkan permulaan sesi persekolahan pada Januari seawal 2024, di samping memendekkan cuti penggal dan cuti hujung tahun.

“Sebagaimana desakan untuk tukar kepada Mac dahulu, mesti ada kaedah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.