KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Syed Hamadah Syed Othman dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) yang baharu, berkuat kuasa esok.
TH dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.
Syed Hamadah menggantikan Amrin Awaluddin, yang melengkapkan penggal perkhidmatan selama dua tahun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Ahli Lembaga TH hari ini.
Pengerusi TH Azman Mokhtar dalam kenyataan sama yakin kemahiran dan pengalaman luas Syed Hamadah akan dapat meneruskan usaha memperkukuh tadbir urus serta operasi agensi itu ke tahap lebih cemerlang dan membanggakan.
“Ahli Lembaga dan Pengurusan Kanan TH menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Amrin atas komitmen serta usaha beliau dalam mengatur strategi bagi mencapai aspirasi Hijrah24 dalam melonjakkan aktiviti pengurusan haji, operasi cawangan dan pelaburan supaya TH terus kekal berdaya saing, mampan dan berwibawa selari dengan arus semasa dalam aspek pengukuhan struktur tadbir urus korporat dan inisiatif digitalisasi,” katanya.
Mempunyai Ijazah Kepujian dalam Matematik Aktuari dan Statistik dari Universiti Heriot Watt, Edinburgh pada 1994, Syed Hamadah, yang berpengalaman luas dalam sektor korporat, adalah pengarah dan rakan kongsi di Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd selain menjadi Felo di Fakulti Aktuari dan Persatuan Aktuari Malaysia.
Beliau juga adalah pakar dalam perundingan multinasional serta organisasi tempatan mengenai reka bentuk pencen, pembiayaan, perakaunan pencen, penggabungan dan pengambilalihan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.