`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 20, 2023

Sanusi yang tidak reti diam

 

Mungkin ini masa paling tepat untuk Menteri Besar Kedah Sanusi Nor diam saja. Kebebasan bersuara bukan bermakna boleh selalu riuh. Bila kita terlalu bebas bersuara, kita juga akan terlalu berbuat salah. Lantas terlanjur kata dan terlebih bahasa. Apabila kita ingin membetulkan keadaan, dek bebas bersuara, kita akan membikin lagi banyak binasa.

Justeru, kebebasan bersuara juga mesti dibaca sebagai kebebasan untuk diam. Dalam banyak keadaan, diam ada banyak manfaat dari bercakap.

Apabila orang Melayu menyarankan kerana mulut badan binasa, orang tua kita dahulu memang sedar akan ada situasi tersalah cakap, terlajak perahu, tergigit lidah dan ia sering jadi ingatan untuk mereka yang suka berjenaka, melawak, dan membuat humor. Dalam semua itu, yakni jenaka, lawak dan humor kerapnya akan ada pelecehan, juga perlekehan.

Contohnya mengata-ngatakan orang. Si anu tembun, si dia keding; atau si anu jongang, si dia legam dan macam-macam lagi yang dirasakan persendaan atau perselorohan. Orang Melayu memang membenarkan semua itu, akan tetapi apabila perlecehan itu berkembang, akan ada masalah datang mengundang. Maka ada ingatan tadi; kerana mulut badan binasa. Tambah-tambah perlecehan itu ditujukan kepada orang yang lebih berpengaruh dan besar dari diri kita.

Sanusi ini menteri. Dia di posisi sebagai seorang pemimpin negeri. Orang menunggu apa yang dituturkannya. Sebab suara menteri boleh jadi fakta, boleh pula jadi hebahan, boleh juga jadi janji, boleh sangat jika ia polisi. Jadi orang menanti. Tetapi bila terlalu laparkan pulut, banyak santan binasa.

Bila Sanusi menteri, dia mungkin boleh merenung-renung pesan yang ada dalam kanun klasik. Dalam sebuah kanun benua Parsi yang lama berjudul Gulistan ada satu pesan yang seronok dibaca. Kehebatan teks Gulistan ini pernah saya karang awal tahun ini dan terbit di kolum ini. Dalam Gulistan ada beberapa perenggan berbunyi;

“Wahai cerdik pandai, apakah gunanya lidah di mulut? Mulut kunci pintu kekayaan orang bijaksana, jika pintunya tertutup, bagaimana orang dapat mengetahui apakah dia orang bijak atau seorang pengacah? Meskipun orang bijak lebih menyukai ketenangan, tetapi akan lebih baik jika kalian berbicara pada waktu yang tepat.”

Seorang menteri mesti bijak. Menteri tidak patut bodoh. Memang seorang cerdik bijaksana itu diperlukan kata hikmat dan kepintaran yang terlafaz daripada mulutnya. Tetapi orang bijak seperti kata-kata dari Gulistan di atas selalunya tahu bila perlu bebas bersuara dan menebarkan haruman. Dia juga tahu bila saatnya untuk diam supaya tidak membebaskan bau bawang daripada mulut.

Oleh sebab Gulistan ini dikarang dan digubah oleh Saadi Shirazi untuk para raja dan menteri, maka ia boleh jadi panduan. Gulistan, karya penyair dan seniman Parsi; Saadi Shirazi (1184-1292) ini sangat tepu nasihat dan pesanan untuk orang berkerajaan. Macam orang seperti Sanusi.

Manfaat besar diam ini malah dihujahkan oleh Saadi dalam Gulistan dalam satu babak. Dalam babak pasal diam ini ada empat belas buah cerita untuk renungan. Sebagai contoh dalam ceritera keempat ini, Saadi menjelaskan mengapa diam lebih baik dari berbalas-balas lawan cakap. Ceritanya begini.

Terdapat seorang pelajar agama sedang bertengkar dengan seseorang yang tidak beragama, punya berlawan hujah sehingga sang pelajar agama ini tidak mampu mengalahkan hujahnya, pelajar tersebut lalu akur dan menganggukkan kepala dan diam.

Orang yang melihat kejadian itu pun menanyakan kepada pelajar, bagaimana boleh terjadi demikian. Maklumlah, dengan dasar keimanan dan semua ajaran yang telah dipelajari, sampai-sampai yang terpelajar pun tidak mampu mengalahkan orang yang tidak mempunyai agama.

Namun pelajar tersebut menjawab, “Ajaranku adalah berasal dari al-Quran, sesuai hadis nabi dan warisan tradisi yang tidak pernah dia dengar mahupun dia percayai. Lalu apa gunanya bagiku untuk melayani omelan yang tidak pernah mahu di mengerti?”

Kepada orang yang tidak boleh memahami al-Quran dan hadis; jawapan terbaik adalah engkau tidak perlu mengatakan apa pun. Saadi menjelaskan, setiap bicara ada kepala dan ekornya. Maka harus diketahui saat menjengahkan kepala, dan detik yang patut menyimpan ekornya; lalu diam.

Saadi menulis pesan dan panduan untuk para menteri dan raja ini ketika di zamannya yang andai tersalah cakap, khusus mengenai pembesar, akan mendorong kepada ancaman dan nasib buruk. Meskipun sudah lama berlalu, saranan Gulistan tentang diam memang bermakna.

Dalam zaman TikTok memang ada sedikit sulit dan susah untuk diam. Jika diam tiada pengikut. Jika riuh dan selalu bebas menggatal bercakap tambah-tambah kalau pandai melawak, maka akan ada pengekor. Bukan selalu masa yang ada itu kita akan bercakap perkara pandai. Banyak juga terkucil benda bangang.

Seorang menteri harus ahli fikir. Harus memikir. Harus mengerti kata yang boleh memandu, dan kata yang membinasakan. Anak-anak muda di negeri mencari pimpinan yang baik dan benar. Yang mengetahui saat untuk berbicara. Dan saat untuk senyap. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.