`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 20, 2023

Satiananthan: Seorang jurulatih, lebih-lebih lagi seorang budiman

Dari katil hospitalnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sekalipun, B Satiananthan tidak sekadar mahu berbaring tanpa melakukan apa-apa.

Dengan telefon bimbit masih di tangan, dia sibuk menghantar pesanan WhatsApp kepada ahli jawatankuasa Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) yang dipimpinnya sebagai presiden, agar membantu seorang ahli yang memerlukan pembelaan segera.

Ini berlaku selepas ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, diberhentikan serta-merta berkuat kuasa 19 Jun 2023, yang mengejutkan pengikut setia bola sepak tempatan kerana dia dianggap antara jurulatih berjaya dalam Liga Super.

Tiada pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan kelab, tiada juga alasan diberi melainkan ia didakwa sebagai sebahagian proses penstrukturan semula pasukan yang ketika itu di tangga kelapan liga selepas menang enam, satu seri, dan tujuh kalah untuk menghimpun 19 mata daripada 14 perlawanan.

Sejurus dimaklumkan mengenai perkara itu, Satiananthan tidak berlengah menelefon Azzmi bagi mententeramkannya di samping menawarkan nasihat mengenai langkah-langkah yang perlu diambil jurulatih itu untuk mendapatkan pembelaan selain menuntut semua haknya mengikut perjanjian kontrak.

Dalam keadaan dia sendiri terlantar menderitai kanser dan wajar mendapat simpati, Satiananthan masih menaruh belas kasihan dan rasa tanggungjawab buat seorang jurulatih yang memerlukan pertolongan.

“Kami sedang membantu dia (Azzmi) dan saya sendiri sudah bercakap dengannya. Dia dijadikan kambing hitam oleh pengurusan kelabnya,” katanya dalam satu pesanan WhatsApp bertarikh 25 Jun lalu.

Banyak yang sudah diperkatakan mengenai Satiananthan, seorang jurulatih selama tiga dekad dari 1992-2022 yang digambarkan sebagai ‘bengis’ dan gemar bercakap lepas tapi cerita di atas hanyalah satu contoh betapa dia juga berjiwa besar yang mengambil berat nasib rakan seperjuangan.

Namun, berlawanan dengan pendirian profesionalnya, Satiananthan pernah mengetepikan keperluan memeterai perjanjian kontrak kerana mahu mencabar keupayaan sendiri.

“Saya ditawarkan untuk jadi jurulatih pasukan Kelantan pada penghujung 2009 oleh Tan Sri Annuar Musa (presiden Persatuan Bolasepak Kelantan ketika itu) dan saya terima dengan syarat tiada kontrak yang ditandatangani. Maksudnya saya tak mahu ada sebarang kontrak.

“Memang ini pelik, ini bukan amalan biasa kerana kontraklah yang akan mengikat seorang jurulatih dengan sebuah pasukan. Tapi saya buat begitu kerana saya mahu segera tinggalkan pasukan pada bila-bila masa saya rasa saya sudah gagal dalam tugas saya sebagai jurulatih.

“Saya tak mahu tunggu keputusan pengurusan pasukan. Saya sendiri akan maklumkan kepada mereka jika saya rasa saya sudah kecewakan pasukan.

“Jadi, persatuan tak perlu bayar pampasan jika mereka mahu pecat saya atau saya yang letak jawatan. Saya juga beritahu Tan Sri Annuar yang saya akan bawa Kelantan ke final Piala Malaysia pada tahun 2010 itu,” katanya dalam satu temu bual.

Malah, lebih daripada sekadar ke final, Kelantan yang tewas dalam final dua kali pada 1970 dan 2009, dijulang sebagai juara buat kali pertama dalam sejarah Piala Malaysia dengan mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 hasil jaringan Hairuddin Omar (minit-56) dan Badhri Radzi (minit-64).

“Saya tak pernah rasa takut untuk gagal. Bagi saya, kerja keras dan disiplin satu-satunya cara untuk menang gelaran. Saya sentiasa percaya kepada kerjasama sepasukan untuk berjaya dan bukan kerana jurulatih semata-mata,” tambahnya mengenai tahun bersejarah Kelantan itu.

Cuma, Satiananthan terpaksa meninggalkan pasukan selepas itu kerana digantung enam bulan mulai Januari 2011 kerana kritikannya terhadap badan induk, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang tidak disenangi mereka.

Di sisi berbeza pula, ia menyerlahkan dia tidak takut bersuara bagi mempertahankan prinsip biarpun merisikokan dirinya.

Pernah dituduh “pembodek” gara-gara pujiannya terhadap fasiliti Johor Darul Ta’azim (JDT) sedangkan pasukan Selangor kendaliannya tidak pun dapat berlatih di Stadium Shah Alam sebelum bermulanya liga pada musim 2019, Sathianathan menegaskan perwatakannya tidak pernah berubah di sebalik apa pun tanggapan ramai.

“Saya mahu terus dengan sikap yang sama. Sesetengah orang mungkin bersetuju dengan saya, sesetengah yang lain akan menyanggah saya. Tapi apa yang penting bagi saya ialah bersikap jujur dalam apa saja yang saya mahu katakan.

“Saya tidak akan menahan diri daripada menyatakan pandangan ikhlas saya. Bukan kerja saya untuk cuba ambil hati orang. Ampu, bodek bukan kerja saya,” tegasnya.

Satu lagi sisi Satiananthan ialah dia tidak mudah termakan pujian bahkan menganggap kebanyakannya gurauan semata-mata, malah lebih buruk lagi mahu menyindirnya.

Pernah diminta latar belakang kejurulatihannya untuk satu rencana, Satiananthan mengirimkan menerusi pesanan WhatsApp satu CV yang sarat dengan pelbagai kursus, pengiktirafan, dan deretan trofi yang pernah dimenanginya.

Apabila diusik CV itu melayakkannya untuk menggalas tugas presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Satiananthan membalas dengan sederet emoji ketawa.

Pada penghujungnya, sesiapa saja boleh mengandaikan keresahan yang dilaluinya sepanjang berada di PPUM hingga menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.25 tengah hari Selasa, berdasarkan pengakuannya sebagai ketagihan menonton bola sepak tanpa mengira waktu hingga berjam-jam sehari.

“Saya memang gila bola kerana saya tidak punya apa-apa tanpa bola sepak. Lebih daripada jadi darah daging dan sumber pencarian, bola sepak adalah nyawa saya,” katanya.

Siaran liga Serie A Itali paling diikutinya, terutama kelab Napoli, dengan tidak hanya tertumpu kepada corak permainan, malah formasi dan taktik pasukan itu dikajinya dengan mendalam untuk dikongsi dengan jurulatih lain yang memerlukan pandangan.

Kini, Satiananthan sudah tiada tetapi bola sepak Malaysia tidak akan melepaskan selepas segala kenangan yang ditinggalkan sebagai seorang bekas pemain kebangsaan dan jurulatih, lebih-lebih lagi seorang budiman.

Secara peribadi, Satiananthan akan terus diingati atas persahabatan, penulisan yang sentiasa berterus-terang, tidak lokek berkongsi pengalaman, dan rasa hormat sesiapa saja yang memandang tinggi keperibadiannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.