IPOH: Seorang lelaki warga emas terlepas tali gantung apabila dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh jirannya yang berusia 77 tahun tiga tahun lepas.
Hakim Abdul Wahab Mohamed memerintahkan Mohamad Shaharudin Zakaria, 68, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 Mei 2020.
“Si mati dijerut dan dicampakkan ke dalam parit. Tertuduh sememangnya berniat membunuh si mati.
“Selain itu, terdapat kecederaan lain seluruh badan si mati seperti ditunjukkan post-mortem,” kata Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.
Shaharudin didakwa menyebabkan kematian Zaharah Khalid di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung pada kira-kira 8 malam, 3 Mei 2020.
Tuduhan dikenakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan peruntukan sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini, salah seorang anak mangsa, Hawa Isa, 48, tidak dapat menahan sebak apabila dipanggil memberikan keterangan oleh pihak pendakwa tentang kesan kejadian pembunuhan itu kepada keluarga mereka.
“Semasa kejadian baru berlaku, orang kampung cakap macam-macam, tuduh mak saya, walaupun (dia) tidak bersalah,” kata anak ketujuh daripada 12 beradik itu.
“Saya harap apa berlaku kepada mak saya, dia jerut mak saya, pijak mak saya, saya minta dia dapat hukuman yang setimpal.”
Liyana Zawani memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati meskipun terdapat pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, kerana tertuduh membunuh mangsa dengan kejam.
Bagaimanapun, peguam M Saravanan yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah mengurangkan hukuman anak guamnya yang sudah berusia kepada hukuman penjara.
“Sekurang-kurangnya biarlah dia menghabiskan saki-baki hidupnya di penjara dengan tenang,” katanya.
“Janganlah ditambahkan deritanya dengan memberinya hukuman gantung kerana ada kemungkinan Shaharudin mungkin tiada lagi bila tibanya hari untuk dia digantung.”
Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan, manakala hanya seorang mewakili pihak pembelaan sepanjang prosiding berlangsung sejak 2021. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.