`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 16, 2023

Fakta tak berubah, sedia disaman Sanusi, kata Saifuddin

 

Saifuddin Nasution Ismail berkata Sanusi Nor tidak boleh dengan mudah menyatakan MBI Kedah tiada kaitan dalam kejadian kecurian unsur nadir bumi di negeri itu.

PETALING JAYA: Saifuddin Nasution Ismail mengalu-alukan hasrat Sanusi Nor yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE), dan berkata banyak persoalan yang perlu dijawab oleh menteri besar Kedah itu.

Saifuddin berkata beberapa fakta yang disebutnya dalam kes kecurian REE itu tidak berubah dan perlu dijelaskan oleh ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu.

“Tidak ada syarikat yang diberikan lesen eksport sehingga mineral yang diperoleh secara tidak sah itu boleh dibawa sehingga ke Pelabuhan Klang.

“Fakta lain sebahagian yang ditangkap telah dibuat pertuduhan di bawah subseksyen berkaitan, fakta berikutnya memang benar MBI (Perbadanan Menteri Besar) Kedah diberikan notis kompaun oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG),” katanya menurut Sinar Harian.

Saifuddin berkata demikian kepada media selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar di Bandar Baharu.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata MBI Kedah antara berbelas syarikat yang diberikan lesen oleh kerajaan negeri, sama ada meneroka atau mencari gali, tetapi semua tidak ada lesen melombong.

Kata Saifuddin, belum ada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan nadir bumi yang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim seperti dimaklumkan sendiri oleh Sanusi bahawa mereka sedang menunggu perkara itu.

“Malah yang ditangkap sebelum ini termasuk warga asing dan mereka ada yang visa kerja dikeluarkan daripada perakuan MBI Kedah. Masuk bekerja betul diuruskan oleh MBI dan syarikat (usahasama) berkenaan dan (akhirnya) ditangkap mesti ada sebab antaranya ceroboh hutan simpan yang kalau masuk tanpa permit jabatan hutan boleh ditangkap, itu realiti Kedah.

“Banyak persoalan yang masih perlu dijawab oleh Sanusi kerana beliau tidak boleh dengan mudah menyatakan MBI Kedah tiada kaitan dalam kejadian itu,” katanya.

Terdahulu Sanusi berkata beliau mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin susulan kenyataannya berkaitan isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dan kecurian REE.

Sanusi berkata, maklumat dinyatakan menteri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.