`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 16, 2023

60 tahun Malaysia tiba masa parti Sabah, Sarawak maju seiring

 

Penganalisis politik Dick Lembang berkata penting memperbanyakkan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak untuk mengukuhkan kedudukan parti Borneo di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menjengah angka 60 tahun pembentukan Malaysia, parti politik Sabah dan Sarawak dari blok kerajaan iaitu GPS, GRS dan Warisan diharap lebih jitu merealisasikan perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi rakyat negeri itu.

Bertepatan tema Hari Malaysia 2023, “Segulai Sejalai”, yang bermaksud “berjalan seringan”, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dick Lembang berkata, sudah tiba masa Sabah dan Sarawak membangun seiring dengan negeri di Semenanjung.

“Saya percaya blok Borneo ini ingin memastikan bahawa MA63 dapat direalisasikan dalam apa jua keadaan. Apa yang masih tertunggak atau pun yang masih belum dilaksanakan sebelum ini sepatutnya mengambil tempat dalam era pemerintahan kerajaan hari ini.

Ads by Kiosked

“Saya berharap pucuk pimpinan kerajaan dan para aktor politik Sabah dan Sarawak yang bersama dengan kerajaan akan sentiasa memperjuangkan apa yang terkandung dalam MA63,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah penting untuk memperbanyakkan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak untuk mengukuhkan kedudukan parti-parti Borneo di Dewan Rakyat di samping rakan-rakan di Semenanjung.

Tambahnya, jika keseimbangan itu mampu dicapai maka Sabah dan Sarawak akan mendapat perhatian yang cukup dalam aspek kemajuan dan pembangunan prasarana.

“Saya berharap aktor-aktor politik di Sarawak dan Sabah ini mempunyai iltizam politik yang tinggi bagi memastikan peranan mereka dalam kerajaan perpaduan memberi impak positif dalam kerangka kemajuan,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi pula berkata, Sabah dilihat agak terbelakang dari kestabilan politiknya, justeru penting untuk parti dari blok kerajaan mahupun pembangkang membentuk satu kesepakatan.

“Sekiranya di Sarawak pentadbirannya dari segi politik sudah stabil, mereka sudah boleh fokus kepada pembangunan dan ekonomi, namun di Sabah agak sedikit kurang stabil dan memerlukan mereka berkompromi dan mempunyai konsensus untuk memajukan negeri mereka,” katanya.

Beliau berkata tanpa mengira perbezaan politik, fokus utama sepatutnya kepada pembangunan negeri dan bukan kepentingan parti semata-mata.

“Sudah tiba masanya mereka lupakan perselisihan. Pembangunan Sabah bukan lagi berkisar untuk kepentingan politik, untuk kepentingan parti mereka saja. Pembangunan negeri kena lebih menyeluruh,” tambahnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.