`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 30, 2023

Kenapa PAS rimas apabila ramai polis?

 

Mungkinkah ini bunga-bunga awal kekalahan PAS pada PRK Pelangai genap seminggu lagi?

Memasuki seminggu terakhir kempen menjelang hari membuang undi Sabtu depan, kedua-dua parti bertanding sudah mula memperhebatkan kempen dengan menampilkan pemimpin tertinggi masing-masing di pentas-pentas ceramah.

Sudah adat bertanding dalam PRK, tambahan pula ia satu-satunya yang diadakan tanpa ia berlangsung serentak di mana-mana tempat lain, parti-parti terbabit boleh mendatangkan mana-mana pemimpin untuk memenangi hati pengundi.

Pada minggu pertama kempen yang menyaksikan PAS membawa pemimpin no 1 dan 2 mereka, Umno turut melakukan yang sama termasuk kehadiran Timbalan Presiden Mohamad Hasan, pada Sembang Santai PRK N.36 Pelangai di Felda Chemomoi malam kelmarin.

Maka, bolehlah dikatakan kedudukan ketika ini seimbang, dengan jangkaan situasi hambar tempoh awal kempen ini dijangka berubah apabila jentera parti meningkatkan “gear” selain kehadiran pemimpin utama parti peringkat pusat yang dijadual turun padang bermula hujung minggu ini.

Di sebalik PAS dan Perikatan Nasional (PN) menjaja modal kononnya Umno dan gabungan Pakatan Harapan (PH) menggalakkan liberalisme agama “hingga apek berseluar pendek pun boleh menyampaikan khutbah Jumaat suatu hari nanti”, Umno pula mengingatkan pengundi agar jangan lagi tersalah pilih kerana ia tidak akan bawa manfaat kepada mereka.

Tok Mat dalam ceramahnya berkongsi beberapa kali partinya diperdaya setiap kali ingin bekerjasama dengan PAS yang digambarkannya sebagai tidak berpegang pada janji di sebalik jenama “Melayu-Isley” yang dilaung-laungkannya.

Meminjam istilah bola sepak, Umno melalui calonnya Amizar Abu Adam adalah juara bertahan manakala PAS yang menampilkan calon yang kalah pada PRU15, Kasim Samat, adalah lawan bukan pilihan yang berharap untuk membuat keputusan “upset”.

Memang lazim untuk juara bertahan bersifat “cool” dengan kelebihan psikologi yang dimilikinya sambil lawan “underdog” akan tercari-cari helah dan tipu-daya untuk menampung kekurangannya di padang pertandingan.

Semalam, PAS mendakwa kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen dianjurkan parti itu pada PRK Pelangai konon menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokongnya.

Kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, polis perlu lebih rasional dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan rakyat selain tindakan itu didakwanya boleh memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara.

Seperti memainkan piring hitam lama yang sudah jemu didengar, ini ulangan taktik lapuk PAS untuk menerbitkan persepsi kononnya ia diperlakukan secara tidak adil sebagai parti pembangkang. Kononnya juga pengundi ditakut-takutkan daripada memihak mereka.

Katanya lagi, peningkatan pemantauan polis menakutkan orang ramai, yang didakwanya enggan bercakap dengan sesiapa daripada PAS atau tidak mahu membuka pintu rumah kepada jentera kempen parti itu.

Usah terlalu mudah “hukum” pengundi. Sama ada mereka sudah membuat pilihan untuk menolak PAS atau tidak mahu termakan janji-janji manis parti itu, apatah lagi Pelangai adalah kubu kuat Umno sejak PRU7 pada 1986, selebihnya Takiyuddin harus berhalusinasi.

Sudah pun diperjelaskan oleh Ketua Polis Pahang Yahaya Othman bahawa kehadiran polis sepanjang tempoh kempen di Pelangai bukan pun sesuatu yang luar biasa, sebaliknya jumlah mereka ditugaskan adalah berdasarkan bilangan permohonan aktiviti kempen yang diterima.

“Tiada sebab untuk orang awam berasa takut. Memang benar kami sudah menambah kekuatan untuk bersiap menghadapi pilihan raya kecil ini. Kami hanya mahu memastikan keselamatan orang ramai. Tiada sebab khusus selain daripada ini. Saya tidak fikir ada pihak harus berasa kecewa,” katanya kepada FMT.

Ada kemungkinan juga polis turut mengambil iktibar daripada kempen PRK Pulai dan Simpang Jeram 9 Sept lalu. Ketika kempen berkenaanlah kedua-dua Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang disiasat polis gara-gara menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R), masing-masing kerana mengeluarkan “fatwa” mengundi calon lawan adalah haram dan mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan.

Seorang penceramah PAS, seperti dikenali daripada keceluparannya, turut tidak segan-silu mencarut di satu majlis yang dihadiri kanak-kanak, wanita dan warga emas di Pelangai minggu lalu, apakah jaminan yang wakil parti itu tidak akan melanggar “garis merah” ketika kempen memuncak pada minggu kedua ini?

PAS tidak boleh hidup tanpa menggunakan isu sekurang-kurangnya “2R” dan kecenderungan parti itu berbuat demikianlah yang mewajarkan polis meningkatkan pemantauannya di sebalik Takiyuddin boleh terus merengek.

Lihatlah siapa yang komplen. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.