`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, September 30, 2023

Ismail gelisah Malaysia ‘bergelut’ angkat bahasa sendiri

Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob mempersoal sama ada negara berterusan mahu berdebat mengangkat martabat bahasa Melayu.

PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob yakin kerajaan Anwar Ibrahim akan berjuang mengangkat martabat bahasa Melayu seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sambil berhasrat kerajaan muktamadkan polemik penggunaan bahasa Melayu dalam majlis rasmi termasuk program dianjur pihak swasta, bekas perdana menteri itu menggambarkan Malaysia mungkin negara tunggal masih “bergelut” mengangkat bahasanya sendiri.

“Adakah kita masih akan berbicara dan berdebat mengenai bahasa Melayu untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang?

“Mungkin kita satu-satunya negara yang masih bergelut dan berjuang untuk memartabatkan bahasa sendiri sejak merdeka sehingga hari ini?” kata Ahli Parlimen Bera itu dalam kenyataan.

Bekas naib presiden Umno itu, berkata Anwar disifatkannya sebagai pejuang bahasa Melayu.

“Saya percaya kerajaan hari ini akan memberi perhatian kepada perkara ini malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin yang sentiasa berjuang untuk mengangkat martabat bahasa Melayu.

“Ini dapat dilihat dari bahasa percakapan dan ucapan-ucapan rasmi beliau sejak dahulu lagi dengan menggunakan istilah-istilah ‘pelik’ seperti canggih, ketimbang, wewenang, dan purbasangka,” katanya.

Beliau berkata, hari ini bahasa Melayu semakin dipinggirkan dan paling menyedihkan apabila orang Melayu tidak mengamalkan penggunaannya, malah lebih selesa menggunakan bahasa asing.

“Malah, timbul fenomena menggunakan nama asing untuk kawasan pembangunan baharu sebagai ‘Southville’, ‘Cyber South’, dan ‘Bangsar South’, malah kerajaan sendiri menggunakan bahasa asing seperti ‘Presint’. Adakah bahasa Melayu tidak cukup unik?” katanya.

Dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, Ismail berkata ketika pentadbirannya beliau mengambil tindakan pengeyaan (affirmative action) termasuk memberi lebih kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ismail, pada September tahun lalu menjadi pemimpin negara pertama berucap dalam bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.