JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Parlimen Pulai mengharapkan peratusan keluar mengundi hari ini mencapai lebih 70%.
Sehubungan itu, calon PN Zulkifli Jaafar menyeru pengundi khususnya orang Melayu agar keluar beramai-ramai mengundi.
“Kita harap pengundi Melayu (ramai) kerana banyak kali PRU atau PRN, memang (peratusan pengundi Melayu) sangat rendah,” katanya sambil menasihatkan pengundi keluar awal bagi mengelak kesesakan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di SJK(C) Tampoi pagi tadi selepas menemani ibu mentuanya, Montiah Emam, 77, membuang undi.
Walaupun sudah lebih 20 tahun menetap di Tampoi, Zulkifli yang juga timbalan ketua Bersatu Pulai bukan pengundi berdaftar di Pulai. Katanya, beliau yang berdaftar sebagai pengundi di Iskandar Puteri telah memohon pertukaran namun belum diluluskan oleh SPR dan PRK juga diadakan secara mengejut.
Calon PH Suhaizan Kayat turut membuat gesaan sama agar pengundi segera menunaikan tanggungjawab lebih awal memandangkan cuaca diramal hujan pada sebelah petang.
“Kita harap dapat capai (peratusan keluar mengundi) 70% dan ke atas. Cuaca yang redup elok semua turun sekarang kerana petang diramal hujan,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi di SK Seri Melati, Kempas bersama ahli keluarganya pagi tadi.
Setakat 10 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi pada 13% di Pulai, manakala 18% di Simpang Jeram.
Hujan juga mulai turun sekitar 9.30 pagi di kawasan sekitar Johor Bahru. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.