`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 14, 2023

Kerengga

 

Kalau tidak berasa aneh, mungkin itu bukan ucapan Hadi Awang. Mungkin itu rumusan yang boleh dibuat. Di Dewan Rakyat, Hadi yang menjadi presiden PAS menyalahkan kerengga atas kecuaian dan kelemahan diri.

Tuduhan terhadap kerengga ini dilemparkan oleh beliau ekoran soalan berkaitan royalti minyak kepada Terengganu yang dibangkitkan ahli Dewan, Lee Chean Chung (PH – Petaling Jaya). Ketika itu Hadi menyentuh isu royalti minyak kepada Terengganu ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat.

“Tadi disebut bahawa perjanjian itu tidak dipegang. Saya ingin tanya dalam dua tahun Perikatan Nasional memerintah, kenapa perjanjian itu tidak dikemaskini?” Demikian soalan Lee Chean Chung; “Kekal zalim kepada rakyat Terengganu, kenapa tiada royalti 5% kepada rakyat Terengganu pada waktu itu?” soal Chean Chung lagi.

Maka pemimpin PAS yang sanggup dipenjarakan (jika dijatuhkan hukuman oleh mahkamah) dari membayar denda itu cepat membalas; “Begini, sebenarnya kami ini banyak benda nak urus, macam-macam kena urus. Masa kami memerintah dulu, kerengga banyak sangat mengacau, nak jatuhkan kerajaan.”

Kalau tidak berasa aneh, mungkin itu bukan ucapan Hadi Awang.

Kerengga atau nama saintifiknya oecophylla smaragdina pemangsa agresif yang sering wujud di kawasan ladang. Akan tetapi kadang, kerengga juga ada di kawasan rumah kita, khususnya rumah kampung. Kalau membiak dan banyak, mungkin ia sampai memanjat pagar dan menghurung sisa makanan, dan kadang menggigit kita.

Kerja kerengga ini biasanya rapi dan penuh muslihat. Ia tiba dalam keadaan tidak disedari dan di saat yang tidak disangka, ia menggigit. Kadang, ia masuk ke dalam seluar dan memberi bisa di tempat tidak patut. Itu sebabnya kerengga dianggap penjahat yang membuat kerja dalam diam.

Orang Melayu memang menyampah dengan kerengga. Ada pantun mengisyaratkan rasa meluat akan kerengga, bunyinya:

Anak kerengga memanjat pagar,
Baru ini nampak kakinya;
Tujuh tahun gunung terbakar,
Barulah sekarang nampak apinya.

Hadi menyalahkan kerengga kerana banyak mengganggu Perikatan Nasional, sampai beliau dan pimpinan PN nampaknya tidak berkesempatan membaca perjanjian yang dibuat dengan Petronas berhubung pemberian wang royalti.

Kata Hadi lagi, “…wang digunakan kerajaan adalah ‘wang haram’ apabila kerajaan pusat melanggar perjanjian” selain menghujahkan kerajaan makan “…duit haram ni (sebab) melanggar perjanjian. Ini satu benda salah. Berlaku double standard antara negeri diperintah kerajaan dan pembangkang.”

Jadi, kerengga manakah yang mengganggu PN jika di peringkat kerajaan pusat itu sendiri selama dua tahun yang memerintah adalah PN dengan perdana menteri dari Bersatu? Mungkinkah Hadi menyalahkan Ismail Sabri? Atau Dr Mahathir Mohamad yang kini merupakan rakan sekongkolnya yang baru?

Tentu, ia membingungkan dan demikian aneh. Jikalau tidak berasa aneh, mungkin itu bukan ucapan Hadi Awang. Jadi adakah Hadi sedang menembak kawan-kawannya sendiri?

Mustahil beliau bercakap merapu dan meraban sehingga demikian sekali. Yang mungkin tepat ialah kerengga itu ada dalam kalangan partinya sendiri, PAS, atau Perikatan Nasional. Tiada kerengga lain dapat dipersalahkan. Kerengga yang mengganggu Hadi dan kerajaan PN itu mungkin kerengga yang tamak.

Orang Melayu memang membezakan kerengga dengan semut. Dalam kalangan orang Melayu, mungkin kerana beragama Islam, semut mendapat tempat lebih baik dari kerengga. Ini kerana mungkin semut disebut di dalam al-Quran bersama-sama Nabi Sulaiman. Akan tetapi kerengga tidak diberi peranan yang baik.

Dalam kalangan anak-anak, ada satu cerita rakyat mengenai kerengga yang alim dan tamak. Ceritanya begini:

Di zaman dahulu, terdapat sebuah hutan besar yang mana ia didiami seekor sang kerengga yang berjiran pula dengan sang semut. Kerengga ini alim orangnya. Tetapi alim-alim dia mulutnya jahat kerana diam-diam menggigit.

Jadi pada suatu hari, sang kerengga berangkat ke jamuan makan di tepi sungai. Dalam perjalanan kerengga terserempakkan sang tikus yang sedang melalui denai hutan yang lain, menuju ke bukit. Kata tikus, “Aku nak pergi makan jamuan di kaki bukit di situ ada banyak makanan, melebihi jumlah.”

Tikus pun berlalu. Muncul pula semut setelah agak lambat. Dek tamak, sang kerengga memberitahu sang semut untuk bergerak dulu ke tebing sungai. Ini kerana kerengga membayangkan jamuan di kaki bukit lebih meriah, maklumlah melebihi jumlah kata si tikus itu.

Sebaik semut hilang dari pandangan sang kerengga segera mengambil tali untuk mengikat perutnya. Tatkala tiba sang belalang kaki lompat, kerengga gesit mengajaknya juga untuk pergi ke jamuan di bukit yang melebihi jumlah.

Sang belalang yang memang kaki lompat pun melaju lantas meninggalkan kerengga. Terkulat-kulat kerengga ditinggalkan. Sang kerengga begitu menyesal kerana tidak sempat makan dan perutnya teramat lapar. Sebelum-sebelum ini kerengga sudah biasa makan banyak.

Dalam keadaan bersedih itu, sang semut muncul kembali dengan rasa senang hati, memberitahukan betapa banyaknya hidangan jamuan tepi sungai. Rupa-rupanya jumlah laba sebenar di situ. Bukan di kaki bukit.

Sang kerengga yang menyesal kemudian bergegas ke kaki bukit dan kali ini terserempak lagi dengan sang tikus yang berpatah balik. Dek kesiankan kerengga yang pucat dan mencacau, tikus pun memberi sedikit sisa makanan yang dibuatnya bekal pada sang kerengga. Untuk makan, sang kerengga membuka tali yang mengikat perutnya. Alangkah terkejutnya sang kerengga melihat pinggangnya telah menjadi ramping.

Jikalau tidak berasa aneh, mungkin itu bukan ucapan Hadi Awang. Jadi adakah Hadi sedang menggigit kawan-kawannya sendiri?

Kerengga memang pandai menggigit diam-diam, kadang memanjat kaki sampai ke celah yang tidak patut. Siapa pula kerengga yang disalahkan Hadi, yang kerjanya mengganggu kerajaan sehingga dua tahun berlalu mereka tidak dapat memberi perhatian kepada isu semustahak itu.

Mustahil Hadi bercakap karut dan melelong sampai demikian sekali.

Kalau kita menekuni hakikat dan kronologi semasa politik. Susur masa menjelaskan yang mungkin kerengga mengganggu itu ada dalam kalangan partinya sendiri, PAS, atau Perikatan Nasional. Tiada kerengga lain dapat dipersalahkan. Tapi kenapa Hadi mengarut sebegitu?

Kerengga yang mengganggu Hadi dan kerajaan PN itu mungkin kerengga yang tamak. Dalan kalangan anak-anak, ada satu cerita rakyat mengenai kerengga yang alim dan tamak. Jikalau tidak berasa aneh, mungkin itu bukan ucapan Hadi Awang. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.