`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 8, 2023

Mengapalah Melayu membenci Cina?

 

Rata-rata mengetahui bahawa dalam kalangan orang Melayu, puisi tradisional yang khusus iaitu pantun dapat dihujahkan sebagai cerminan masyarakat Melayu yang sebenar. Jika kita ingin memahami minda atau cara fikir Melayu, maka kita bolehlah meneliti gubahan dan perbendaharaan kata yang dipilih untuk dimuatkan secara tepat di dalam bait-bait pantun Melayu, baik sebagai pembayang mahupun maksud.

Bahkan sarjana yang mengkaji pantun sepakat mengatakan betapa pemilihan kata atau istilah yang dikemukakan adalah menggambarkan kehidupan dan cara hidup orang Melayu. Tidak syak lagi genre pantun suatu seni sastera yang tampak ringkas tetapi jika direnung dan ditekuni sebenarnya memiliki makna mendalam.

Seperkara yang perlu dihujahkan di sini, pantun juga bukan berasal dari bangsawan atau bukan kemukaan penulis istana. Kita mengetahui sejak alam persekolahan betapa pantun ini merupakan hasil kerja sastera yang menjelma dan muncul dari benak orang biasa, atau merupakan daya cipta rakyat yang pada masa dahulu terdiri daripada kelompok petani, pelaut, atau buruh. Ini membawa maksud, kebanyakan Melayu ini adalah golongan yang selalunya tidak berpendidikan tinggi.

Mereka mengetengahkan pantun setelah melakukan pengamatan yang mendalam dan lama tentang alam dan keadaan semasa bersulamkan ilmu pengetahuan yang mencengangkan seputar flora dan fauna. Ini menjadikan pantun satu gambaran kebijaksanaan orang Melayu.

Jika kita menelusuri pantun-pantun Melayu, jarang sekali kita menemukan isyarat negatif pada pantun mengenai orang Cina. Dalam erti kata lain jarang kita hendak menemukan bait pantun yang memandang orang Cina dengan cara benci. Hal ini memang tiada kalau kita cari pada maksud mahupun dalam pembayang pantun.

Sebagai contoh terdapat nada positif untuk berkawan dengan Cina dalam pantun ini:

Anak Cina kawanlah Cina,
Mari kawan dalam kelas;
Sungguh saya bena tak bena,
Dalam hati haram tak lepas.

Manakala di dalam pantun berikutnya ditekankan tiada perbezaan antara anak Melayu dan anak Cina:

Anak Cina jambangan Cina,
Lalu dibungkus dalam kertas;
Saya rupa tak beza,
Di dalam hati rasa tak lepas.

Demikian juga pantun yang memberikan pembayang anak Cina sebagai pengutus, dan maksudnya yang menjelaskan akhlak dan adab:

Anak Cina mengirim surat,
Dari Jawa sampai ke Deli;
Hidup kita dikandung adat,
Budi tidak dijual beli.

Dalam pantun di bawah Melayu dan Cina didorong bekerjasama dan tidak perlu melihat-lihatkan perbezaan:

Anak Cina lalu berdua,
Lalu di kedai membeli gula;
Kita pandai sama berniaga,
Tengok kulit tahu rupa.

Bukan itu sahaja, orang Melayu menyatakan kesediaan berkongsi nikmat dan kemakmuran dengan orang Cina, meskipun mereka ‘berdagang babi’. Makna pantun ini menyatakan hasrat agar sekerat seorang sama berkongsi:

Orang Cina pergi ke China,

Datang ke China berdagang babi;
Tuan punya saya pun punya,
Sekerat seorang kita berbahagi.

Pantun berikutnya menjelaskan bahawa orang Melayu dan Cina itu tiada ditekankan perbezaan, tetapi, bersaudara. Malah ditekankan bahawa Cina itu bukan orang lain:

Kalau tuan naik perahu,
Anaklah Cina melipat kain;
Kalaulah tuan ingin nak tahu,
Kitalah bukan orang lain.

Ada banyak lagi pantun tidak terkata mengenai hubungan Melayu dan Cina ini, baik dijelmakan pada pembayang; atau langsung kepada inti maksudnya. Seperti dinyatakan lebih awal, pantun adalah minda atau pedoman orang Melayu khusus orang Melayu kebanyakan. Soalnya, mengapa pula ada Melayu yang hari ini berdegar-degar memburukkan kaum bukan Melayu khususnya kaum Cina?

Apakah yang salah? Bilakah Melayu memandai-mandai membezakan kaum lain, dan berasa begitu tuan. Bukan itu sahaja, dewasa ini cara layan Melayu kepada kaum lain begitu merimaskan. Kita Melayu jangan memikirkan sudut pandang kita sahaja, untuk adil, kita perlu menanyakan juga kawan atau saudara Tionghua kita apa rasa dan perasaan mereka.

Sebetulnya, yang mencetuskan perbezaan antara Melayu dan bangsa lain ini ialah slogan atau retorik ketuanan Melayu. Bilakah kegilaan ketuanan Melayu ini bermula?

Jika pantun adalah ungkapan perasaan Melayu zaman lalu, kita boleh bayangkan gejala ini datang daripada ultra nasionalis Melayu.

Naratif Melayu tergugat sudah muncul sebelum 1957. Naratif inilah yang mencetuskan minda tertawan: Ketuanan Melayu (atau Malay Supremacy). Selepas Perang Dunia Kedua kehadiran masyarakat migran Cina menggerunkan nasionalis Melayu. Pada 1835 kaum Melayu adalah 85.9% dari populasi, sedang kaum Cina hanyalah 7.7%. Pun pada 1931, Melayu jatuh kepada 49.2% di dalam sensus 1931, dengan orang Cina mencapai 33.9%.

Ketika itulah lebih 40 buah badan Melayu bergabung menjadi Umno. Diikuti dekad-dekad 1970-an dan 1980-an yang melihat kebangkitan Islam, di mana agama menjadi penanda penting dalam identiti Melayu. Akibatnya Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam bergumpal. Ini bermakna mengejar undi Melayu menjadi mengejar undi Islam.

Yang menjadikan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan dimusuhi orang Melayu, ialah apabila Anwar menggantikan Ketuanan Melayu dengan Ketuanan Rakyat (atau People’s Supremacy) dalam PRU 2008 dan 2013. Tentu sahaja kempen ini menarik minat bukan Melayu.

PAS sebagai parti yang mengaku Islam konon menterjemahkan Ketuanan Rakyat ini sebagai satu konsep yang mengancam Melayu. Maka bermulalah pemburukan dan penghodohan kaum lain, khusus Cina secara sedar dan besar-besaran.

Jika kita betul Melayu dan beragama Islam, kita akan patah balik kepada modul sebenar Melayu seperti yang pernah dilimpahkan satu waktu dahulu.

Minda Melayu dalam pantun-pantunnya memberikan toleransi dan kasih sayang, bukan kebencian dan permusuhan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.