`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, September 6, 2023

Muda tarik sokongan tak jejas kerajaan, cuma ganggu lulus usul, kata Ahli Parlimen

 

Muda berkata ia tidak akan teragak-agak untuk menilai semula kedudukannya dalam kerajaan perpaduan, selepas mahkamah melepaskan Presiden Umno Zahid Hamidi tanpa membebaskannya.

PETALING JAYA: Kerajaan perpaduan tidak akan terjejas sekiranya Muda dengan hanya satu kerusi Parlimen menarik balik sokongan kepada pemerintah, menurut beberapa anggota Dewan Rakyat.

Pengunduran Muda itu bagaimanapun akan mengganggu usaha meluluskan usul-usul di Parlimen yang memerlukan sokongan 2/3 anggota di Dewan Rakyat.

“Saya rasa tidak menjejaskan apa-apa pun sebab mereka pun ada satu kerusi… cuma kita tak cukup 2/3,” kata Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan kepada FMT.

Ads by Kiosked

“Mungkin dalam persidangan yang akan datang ini banyak perkara-perkara yang nak kita bawa. Contohnya isu persempadanan baharu pilihan raya dan juga tambah kerusi,” tambahnya, namun menambah perkara itu boleh diselesaikan menerusi perbincangan.

Menurut takwim Parlimen, Dewan Rakyat dijadualkan bersidang pada 11-19 Sept untuk pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12; dan 9 Okt hingga 30 Nov untuk mesyuarat ketiga, dengan pembentangan rang undang-undang perbekalan 2024 pada 13 Okt.

Muda diwakili di Dewan Rakyat melalui presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku wakil rakyat Muar.

Sany mengulas amaran Syed Saddiq bahawa Muda tidak akan teragak-agak untuk menilai semula kedudukan parti itu dalam kerajaan perpaduan, selepas mahkamah kelmarin melepaskan Presiden Umno Zahid Hamidi tanpa membebaskannya.

Syed Saddiq berkata keputusan kes Zahid “melanggar garis merah” dan menggesa pemerintah bertindak atas tuntutan Muda, antaranya mahu Zahid didakwa segera.

“Hanya hilang majoriti 2/3. Kerajaan masih utuh dan kukuh tetapi tidak boleh lagi sombong dan angkuh hingga tak pedulikan sentimen dan tuntutan rakyat yang menyokong apa yang digelar ‘kerajaan reformasi’,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

Ads by Kiosked

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias menyifatkan langkah Muda itu sebagai tidak wajar, memandangkan mahkamah sudah membuat keputusan berhubung nasib Zahid mengikut prosesnya.

“Proses sudah berjalan. Mahkamah buat keputusan. Pendakwaan Zahid telah diputuskan. Dilepaskan tanpa dibebaskan. Maka apa masalahnya?”

“Apa yang patut buat sekarang adalah ‘move on’. Bergerak ke hadapan sebagai sebahagian parti dalam kerajaan perpaduan dan berikan kepercayaan ini kepada kepimpinan perdana menteri dan parti-parti yang menganggotai kerajaan perpaduan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.