`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 9, 2023

PH kekal mendahului di Pulai, Simpang Jeram

 


PRK JOHOR | Pertembungan bagi merebut kerusi Parlimen Pulai diselubungi awan mendung dan angin kencang, mempengaruhi jumlah pengundi yang keluar hari ini.

Keputusan di Pulai akan menentukan sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat atau tidak.

Satu lagi PRK yang berlangsung hari ini adalah di DUN Simpang Jeram.

Ikuti laporan langsung Malaysiakini untuk perkembangan terkini PRK Pulai dan Simpang Jeram.


PH lepasi 10,000 undi di Simpang Jeram

8 malam: PH melepasi 10,000 undi di Simpang Jeram, menurut keputusan tidak rasmi.

PH dilaporkan mendapat 10,333 undi di kerusi DUN itu manakala PN mendapat 7,839 undi.

Di Pulai, PH kian melebarkan jurang dengan 9,212 undi, meninggalkan PN yang mendapat 5,520 undi.

7.50 petang: Keputusan tidak rasmi terbaru menunjukkan PH kekal mendahului di Pulai dan Simpang Jeram.

Di Pulai, PH setakat ini mendapat 8,322 undi manakala PN ketinggalan dengan 5,422 undi.

Di Simpang Jeram pula, PH setakat ini mendapat 6,858 undi dan PN sebanyak 4,616 undi.


PH mendahului di Pulai

7.25 petang: Keputusan tidak rasmi di Pulai menunjukkan PH sedang mendahului dengan 4,574 undi setakat ini.

PN sedikit ketinggalan dengan 2,305 undi, manakala calon bebas meraih 48 undi.

Di Simpang Jeram, PH mendahului dengan 178 undi setakat ini, manakala PN dengan 95 undi dan calon bebas mendapat empat undi.

Terdahulu, undi pos di Simpang Jeram yang dikira SPR menunjukkan PN mendapat 61 undi dan PH dengan 36 undi. Terdapat lima undi rosak.

PH, BN berkumpul di lokasi berbeza

7.15 petang: Di Pulai, PH dan BN akan mengikuti kiraan tidak rasmi di lokasi berbeza.

PH dijangka akan berkumpul di Dataran Taman Dahlia pada jam lapan malam, manakala penyokong BN di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi juga dijangka hadir ke kompleks itu.

PN pula akan berkumpul di pusat operasi kempen mereka di Jalan Rawa, Perling. Ia terletak bersebelahan dengan pejabat MCA Pulai.

Bagaimanapun tiada perkumpulan untuk Simpang Jeram. Kedua-dua wakil calon PH dan PN berkata mereka akan berada di pusat kiraan undi SPR di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.


PH berdepan risiko di Pulai

6.45 petang: Dengan kadar keluar mengundi di Pulai dijangka bawah 50 peratus, PH dalam keadaan sukar walaupun menang di kerusi itu dengan meraih 55 peratus undi pada PRU15.

Pada PRU itu, PN mendapat 26.9 peratus undi.

Ini bermakna jika semua yang memilih PN pada PRU lalu keluar hari ini dan kekal mengundi gabungan itu, PN mampu meraih lebih separuh daripada undi hari ini dan seterusnya merampas Pulai daripada PH.

Selain itu, PRN di enam negeri sebelum ini menunjukkan PN berjaya meraih sokongan penyokong BN.

Bagaimanapun keadaan berbeza jika cuaca mendung di Pulai hari ini turut menjejaskan jumlah penyokong PN yang keluar mengundi.


Kadar sangat rendah

6.30 petang: Menurut kemas kini terakhir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam empat petang, kadar keluar mengundi di Pulai hanya 42 peratus - jauh berbeza berbanding kadar 70.96 peratus pada PRU15.

Kadar keluar mengundi di Simpang Jeram sedikit baik, iaitu 56 peratus.

Sebagai perbandingan, purata kadar keluar mengundi ketika PRN enam negeri pada 12 Ogos lalu adalah sekitar 70 peratus. - Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.