`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 27, 2023

‘Perang’ Piala Thomas ingatan ngeri skuad 1967

 

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris memaparkan tajuk besar “INDONESIA’S DISGRACE (Keaiban Indonesia) pada tanggal 11 Jun 1967. Ia menyimpulkan satu final badminton yang tiada dua seumpamanya apabila lawan dihadiahkan kemenangan setelah berlaku rusuhan penonton di Istora Senayan, Jakarta pada malam sebelum itu.

Perlawanan akhir Piala Thomas 1967 di antara juara bertahan Indonesia dan Malaysia itu tercemar gara-gara kekacauan penyokong tuan rumah ketika Malaysia mendahului kedudukan 4-3 pada malam kedua final yang berlangsung selama dua malam berturut-turut itu.

Malam pertama menyaksikan Malaysia meluru untuk mendahului 3-1. Rudy Hartono, jaguh muda yang ditampilkan tuan rumah ketika belum pun mencecah usia 18 tahun, mendapatkan mata pendahuluan apabila mengejutkan Tan Aik Huang 15-6, 15-8 tapi Malaysia memenangi dua perlawanan beregu seterusnya – Ng Boon Bee-Tan Yee Khan menewaskan Abdul Patah Unang-Darmawan Supatera dan Aik Huang-Teh Kew San mengalahkan Muljadi-Agus Susanto — serta peseorangan kedua Yew Cheng Hoe yang menundukkan Ferry Sonneville yang sudah berusia 36 tahun.

Memulakan aksi malam kedua, Aik Huang pula mengalahkan Sonneville untuk Malaysia berada di ambang kejuaraan tapi Hartono – yang sepanjang kerjayanya kemudian menjuarai Piala Thomas empat kali, Kejohanan Seluruh England lapan kali serta kejuaraan tunggal dalam Kejohanan Dunia 1980 — kembali menghidupkan harapan Indonesia dengan kemenangan ke atas Cheng Hoe. Ini disusuli kemenangan Muljadi ke atas Kew San.

Masih mendahului tipis 4-3, Malaysia menampilkan beregu no 1 dunia ketika itu Boon Bee-Yee Khan bagi mencari mata kejuaraan. Berada 10-2 di depan ke atas Muljadi-Susanto dalam set kedua selepas menang set pertama, pada detik itulah penonton mula menimbulkan kekacauan dengan sorakan mengganggu tumpuan selain menggunakan flash kamera untuk memberikan silau kepada pasangan Malaysia itu yang kesudahannya tewas set kedua 13-18.

“Kebingitan di dalam stadium tidak tertahankan. Penonton mengejek setiap kali kami dapat mata. Ada yang menggunakan flash kamera tiap kali kami mendongak ketika hendak buat pukulan,” tulis Cheng Hoe dalam buku “Sports Flame: Stories Never Told Before”.

Ketika tempoh rehat lima minit sebelum set penentuan, pengadil kejohanan Herbert Scheele meminta pegawai tuan rumah mengosongkan stadium untuk permainan diteruskan. Enggan menurut arahannya, Scheele menggantung permainan. Sekalipun stadium dikosongkan sesudah itu, permainan tetap tidak bersambung.

“Penonton merusuh ke dalam gelanggang. Ada yang menarik keluar fius daripada kotak DB hingga seluruh stadium gelap-gelita. Kami benar-benar ketakutan kerana tentera yang berkawal pun tidak mampu membendung penonton yang marah.

“Kami takut penyokong Indonesia akan melanyak kami. Apabila tentera hilang kawalan, kami khuatir senjata api mereka dirampas dan akan digunakan untuk membunuh kami. Mujurlah kami segera diiring keluar dari stadium dibantu lampu suluh dan pemetik api (milik pengurus pasukan, Khir Johari).

“Pada waktu itu, sebahagian penonton masih menghambat kami tapi sekali lagi kami bernasib baik kerana sempat menaiki bas pasukan dan diiringi polis untuk selamat sampai ke hotel. Tapi di sana juga ada penyokong Indonesia yang menanti. Kami terpaksa memasuki Hotel Indonesia dari pintu belakang dan bergegas ke bilik kami untuk mengunci diri,” tambahnya.

Ketika di hotel, Khir memaklumkan kepada pemain-pemain bahawa mereka perlu menantikan keputusan lanjut daripada Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) mengenai status perlawanan akhir yang tergantung itu.

Cheng Hoe berkata sebelum kejohanan itu lagi, Khir tidak berhenti-henti mengingatkan pemain bahawa ini adalah peluang terbaik Malaysia yang perlu dimanfaatkan. Sebenarnya pemain-pemain amat gemuruh dengan menyedari mereka akan berdepan kesukaran daripada penyokong Indonesia yang sangat membingitkan di Istora Senayan.

“Sepanjang malam, kami tidak dapat lelap. Kami khuatir masih ada penyokong Indonesia yang dapat menyusup masuk ke hotel, memecah pintu bilik dan mengerjakan kami,” ujarnya.

Sejurus siang, sambung Cheng Hoe, pemain-pemain dimaklumkan bahawa mereka akan segera mengambil penerbangan pulang ke Kuala Lumpur sambil perlawanan akhir Piala Thomas itu tergantung sementara menunggu keputusan lanjut.

“Kami masih cemas sepanjang perjalanan ke lapangan terbang. Bukan saja kami diiringi polis, malah beberapa kereta perisai turut serta dalam konvoi kami. Kami tidak berasa selamat selagi belum mendarat di Kuala Lumpur. Malah, kami curiga dengan pesawat Garuda yang kami naiki ke Singapura dan dari sana mengambil penerbangan lain ke Lapangan Terbang Subang.

“Seluruh insiden yang berlaku, pada saya, umpama pergi berperang untuk negara yang tercinta. Cuma perbezaannya ialah berbanding menggunakan senjata api dan peluru, kami bersenjatakan raket dan bulu tangkis. Semua serba-serbi yang lain umpama perang… lawan yang merusuh, kehadiran tentera, suasana gelap-gelita dan kereta perisai,” tulis Cheng Hoe menutup ceritanya.

Indonesia kemudian menolak keputusan untuk permainan dilanjutkan di gelanggang berkecuali di New Zealand. Kesudahannya Malaysia dihadiahkan kemenangan dengan keputusan 6-3 untuk Piala Thomas kembali ke tanah air selepas 12 tahun sejak kejayaan terakhir pada 1955.

Pertengahan Januari lalu, skuad Piala Thomas 1967 negara diraikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam satu majlis minum teh di Istana Negara.

Anggota skuad yang hadir ialah Cheng Hoe, Billy Ng Seow Meng, Yee Khan, Kew San dan Aik Huang di samping dua bekas pemain skuad Piala Uber negara dari era 50an dan 70an Jean Moey dan Sylvia Ng serta bekas pemain skuad Piala Thomas 1976 James Selvaraj.

Sebilangan anggota skuad berkenaan akan menjadi tetamu dalam satu majlis Sports Flame di Hotel Concorde Kuala Lumpur pada 9 Dis ini — satu sambutan meraikan pemain-pemain hebat Malaysia dari tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an. Acara itu, yang disokong oleh FMT, dianjurkan oleh empat wartawan sukan dari era itu, George Das, R Velu, Lazarus Rokk dan Fauzi Omar, yang telah menulis mengenai ikon sukan negara dalam pelbagai akhbar dan dalam mysportsflame.com. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.