`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 31, 2023

Ahli akademik urus kekacauan, perubahan bersama kerajaan, seru Anwar

 


Kelebihan teknologi dan kerancakan gelombang digital mampu membawa kelebihan kepada masyarakat dan negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru ahli akademik agar gigih menguruskan segala kekacauan dan perubahan yang sedang dan akan berlaku bersama-sama kerajaan serta pemimpin.

Beliau berkata kerajaan dan ahli akademik mesti bersama-sama mencari ikhtiar paling baik dan berkesan untuk menghasilkan dapatan ilmu yang berupaya meraikan daya usaha serta daya cipta rakyat tempatan ke arah kemajuan sosial dan budaya lestari.

“Apatah lagi dengan segala kelebihan teknologi dan kerancakan gelombang digital. Saya percaya, semua itu membawa kelebihan dan potensi yang boleh diadun untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara,” katanya menurut laporan Bernama.

Teks ucapan beliau itu dibacakan Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin pada Anugerah Akademik Negara ke-15 di ibu kota, malam ini.

Anwar berkata era sekarang yang sarat dengan cabaran dan kekacauan bukan sahaja menjadikan agenda kemajuan sering bergelut dengan nilai serta moral baik, malah pegangan terhadap ilmu dan kesarjanaan turut terhakis secara radikal.

Perdana Menteri menjelaskan ketaasuban dan pemikiran sempit, ideologi yang berpaksikan pada kemewahan material dan prinsip yang tidak konsisten juga terus merumitkan keadaan.

“Itu belum lagi kita melihat semua ini dalam lensa global yang menyaksikan pelbagai pertembungan. Pertembungan blok perdagangan, krisis alam sekitar, peperangan dan konflik yang berpanjangan.

“Kesemua ini memberi tempias yang besar kepada negara dan mesti kita uruskan dengan cara yang bukan sahaja berkesan dan strategik, tetapi pantas dan praktikal,” katanya.

Anwar berkata segala kekacauan dan kerancuan itu menuntut ahli akademik untuk menebalkan rasa tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa serta aspirasi nasional.

Selain itu, beliau turut berharap ahli akademik tempatan akan memainkan peranan menjadi peneraju akal dan pemikiran bangsa khususnya dalam menggerakkan Gagasan Malaysia Madani sebagai etos nasional yang menyeru kepada kebaikan.

Sehubungan itu, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya akan terus memberi dorongan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) khususnya dalam usaha meneroka dan mewujudkan bidang pengajian baharu termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.

“Pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri.

“Malah, membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan. Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengangkat dan menghormati ilmu,” katanya.

Menyentuh mengenai Anugerah Akademik Negara, Anwar berkata ia perlu dilihat sebagai perkara besar dalam meneruskan tradisi yang dimulakan kerajaan untuk meraikan kesarjanaan ahli akademik tempatan.

Katanya masyarakat sentiasa memerlukan ikon kesarjanaan dan suri teladan yang berketerampilan, berintegriti lagi berwibawa. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.