`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 7, 2023

Adakah kamu mengecam Hamas?

 

Salah satu soalan kegemaran Piers Morgan, figura media Barat kalau menginterbiu aktivis dan tokoh Islam undangan di acara televisyennya ialah, “Do you condemn Hamas?” Atau adakah kamu mengecam Hamas.

Jika kita perhatikan naratif diguna pakai oleh media Barat hari ini ialah Hamas mempunyai persamaan dengan Daesh atau Isis. Harus dinyatakan naratif ini adalah naratif baharu yang dicipta regim Zionis atas beberapa sebab yang akan saya jelaskan kelak.

Sebenarnya tidak ramai yang tahu Hamas mempunyai “hubungan tidak langsung” dengan Tel Aviv, atau lebih tepat dengan Benjamin Netanyahu. Malah selamat dikatakan Hamas dapat terus berkembang dan subur di Gaza tahun-tahun kebelakangan ini kerana polisi Netanyahu yang memberi muka kepada Hamas.

Untuk mengerti persoalan sulit ini kita harus juga memahami yang Netanyahu menjadi perdana menteri Israel sebanyak enam kali dan ketika hujung penggal pentadbirannya yang kelima iaitu pada 2021, Israel melunakkan permit kerja untuk penduduk Gaza iaitu sekitar 2,000 hingga 3,000 permit dan mendadak menjadi 20,000 awal 2023.

Tindakan Netanyahu di atas sangat berhubung dengan polisi kerajaannya yang tidak mahu pentadbiran Mahmoud Abbas (atau Palestinian Authority) di Tebing Barat berkembang dan menjadi rasmi, sehingga kelak boleh menuntut menjadi negara Palestin sendiri. Untuk melemahkan pengaruh Mahmoud Abbas dan partinya, Netanyahu berpegang kepada polisi keseimbangan. Dan dalam hal ini mengimbangkan pengaruh Abbas dengan Hamas. Maka tidaklah mengejutkan sebelum 7 Okt lalu, Gaza dapat dilihat agak membangun.

Oleh sebab itu juga Israel bawah Netanyahu hanya memandang sahaja jutaan wang Qatar yang masuk ke Gaza sejak 2018. Ia juga menjelaskan mengapa Israel membiarkan aliran wang dan dana asing masuk ke Gaza, seperti mana juga derma atau dana masyarakat negara kita. Ia bertujuan untuk menguatkan Hamas dengan alasan melemahkan blok Mahmoud Abbas.

Fakta ini juga menjelaskan kepada kita mengapa Hezbollah dan Iran kadangkala terlalu berhati-hati dengan langkah Hamas. Malah Iran dengan ketara memberi isyarat yang serangan dilakukan Hamas pada 7 Okt lalu tidak dirunding dengan Hezbollah di Lubnan, yang selalu mendapat tempias serangan dan kezaliman Israel.

Namun demikian terlepas daripada sikap lunak Netanyahu terhadap Hamas sebelum 7 Okt lalu, pertanyaan serupa Piers Morgan, adakah kamu mengecam Hamas dan usaha meletakkan Hamas seperti Isis sebenarnya mempunyai muslihat tertentu.

Objektifnya hanya satu, untuk membunuh seberapa banyak orang Palestin (yang tidak semestinya menyokong Hamas), meratakan Gaza, dan mengusir mereka ke perbatasan Mesir; agar membolehkan Israel menduduki Gaza secara kekal dan menjarah kekayaan minyak di perairannya.

Paling buruk dan busuk ialah kegilaan Israel membunuh yang kita lihat sekarang ini akan berakhir dengan campur tangan Turki dan Qatar kelak sebagai orang tengah dan pengaman. Kita yang di luar dan jauh daripada memahami konflik politik di situ akan bersorak mengatakan “Islam telah menang”, kita akan memuji Qatar dan Erdogan. Padahal mereka akan berkuku di Gaza dan merompak hasil mahsul Gaza iaitu minyak dengan mudah.

Untuk rekod, Turki dan Qatar mempunyai hubungan diplomatik dan dagang dengan Israel. Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Maghribi barangkali tumpang sekaki laba tersebut. Lama-kelamaan penduduk dunia akan terbiasa, maklumlah negara ada Kaabah pun okay dengan Israel; dan tidak mustahil seantero bumi beramai-ramai mengiktiraf status Israel sebagai negara.

Sebetulnya, naratif menyamakan Hamas dengan Isis adalah pembohongan yang jahat. Tidak ada satu persamaan pun antara Hamas dan Isis. Malah sebenarnya Isis menyifatkan anggota Hamas sebagai kafir. Naratif meletakkan Hamas dan Isis dalam bakul yang sama adalah untuk mengelirukan kita, orang seperti kita yang tinggal jauh dari rantau itu. Perbezaan Isis dan Hamas ada banyak.

Pertamanya, sasaran Isis dalam banyak keadaan adalah orang Islam itu sendiri. Ini kerana ia terbangun oleh ideologi takfiri (mengkafirkan orang Islam yang tidak sebulu dengan mereka).

Keduanya, Isis menggunakan taktik kejam dan zalim untuk mencapai visinya. Isis menyembelih wartawan James Foley, dari Amerika Syarikat secara lintas langsung pada 2014. Ia juga membakar Muaz al-Kasasbeh, juruterbang dari Jordan hidup-hidup di dalam sangkar. Di Iraq, Isis menculik, merogol dan menjadikan wanita Yazidi sebagai habuan dan hamba seks. Isis juga menyerang minoriti Syiah di merata tempat. Sunni yang bodoh menyorakkan suka.

Hamas bagaimanapun tidak melakukan hal di atas. Itulah sebabnya Netanyahu dan Joe Biden beria-ia menyebar naratif kononnya ada 40 bayi Israel dipenggal ketika serangan 7 Okt 2023. Atau bersungguh-sungguh mengujarkan konon tawanan atau tebusan Hamas diperkosa. Kisah konon Hamas merogol wanita Israel pada 7 Okt dihebahkan. Akan tetapi sehingga kini tiada satu bukti konkrit dapat ditunjukkan. Isis sebagai kebalikan amat berbangga melakukan semua perbuatan syaitan di atas.

Ketiganya, Isis dianggotai oleh individu dari serata dunia dengan tujuan untuk mendirikan sebuah negara Islam peringkat dunia (khilafah). Ini berbeza dengan Hamas yang lahir dari rahim Ikhwanul Muslimin yang berakar dari Mesir, dan bertujuan untuk membebaskan Palestin daripada pendudukan Israel. Kerja militan Hamas masih tertakluk norma dan nilai Islami berbanding Isis. Paling penting idea asal Hamas ialah menolak dan menyanggah Zionisme sebagai satu dasar Apartheid.

Keempatnya, Hamas seperti Hezbollah mempunyai sayap tentera dan sayap politiknya. Kebanyakan pemimpin sayap politiknya berada di luar Palestin. Mereka bekerja untuk Palestin diiktiraf secara rasmi dan legal. Isis sepenuhnya adalah militan gila. Usaha menyamakan Isis dan Hamas atas alasan keganasan agama juga meleset kerana puak Tamil Eelam, di Sri Lanka, atau The Popular Front for the Liberation of Palestine (PLO) yang pernah dipimpin George Habash, beragama Greek Orthodox Christian (mereka melakukan rampasan pesawat dan juga serangan gerila) bukan atas nama agama. Mereka kini dinilai sebagai pejuang pembebasan dalam banyak buku sejarah. Israel berusaha mahu memadam fakta ini. Ini kerana Zionis tidak mahu dilihat sebagai kuasa kolonial atau penjajah.

Kelima, Hamas memiliki ideologi dan gagasan politik yang mana ia bersifat sebagai gerakan menuntut kemerdekaan. Ia bersifat peribumi (dianggotai orang Palestin) dan bukan menyerap siapa sahaja seperti Daesh atau Isis. Membunuh sejuta orang Gaza dan Tebing Barat pun tidak akan dapat memadamkan perjuangan seumpama ini. Ini kerana ia adalah perjuangan bangsa dan nusa. Kita telah melihat banyak contoh dalam sejarah melawan kolonialisme Barat. Ini berbeza dengan Isis yang kini sangat kecil jumlah penyokongnya meskipun belum terhapus seluruhnya. Isis adalah gerakan teroris iblis. Hamas adalah pejuang pembebasan.

Hasrat Israel dan Amerika untuk menghapuskan Hamas tidak akan berjaya. Dua dekad Amerika melawan Taliban di Afghanistan, gerakan itu yang mempunyai sayap politik dan tentera akhirnya kembali ke Kabul dan membuka pusat pentadbiran. Perlahan-lahan dunia mulai menerima Taliban meskipun ia dapat dikatakan bermasalah. Di pihak Taliban pula ia perlahan-lahan “menjadi progresif” sebagai kerajaan dan kini mulai berinteraksi dengan komuniti Syiah Hazara di negara itu. Oleh itu usaha menghapuskan Hamas tidak akan berjaya.

Propaganda Hamas adalah Isis ini bertujuan untuk menjayakan pesta pembunuhan dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza, Palestin. Hampir 20,000 orang awam dibunuh kebanyakannya kanak-kanak. Seisi dunia hanya melihat sahaja tragedi ini tanpa berbuat apa-apa.

kekayaan dan tanah Palestin. Mereka akan mencipta naratif kemakmuran bersama pula nanti. Kalau untung badan, Israel akan berkongsi dengan Amerika sahaja kemewahan itu. Tapi kalau pelan A gagal, pelan B masih okay iaitu berkongsi apa yang ada dengan negara Islam yang munafik.

Azerbaijan misalnya sudah menganga. Mesir tentu gembira. Turki amat seronok. Kalau kita pandai sedikit kita akan mendapati kuasa kolonial mempunyai strategi dan pendekatan yang berulangan. Mereka tidak pernah leka. Kita sahaja yang lalai. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.