`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 29, 2023

Shaharuddin, Mokhtar legenda 2 era berbeza

 

Ikon bola sepak Shaharuddin Abdullah yang meninggal dunia awal pagi semalam lebih dahulu tampil selaku antara penyerang berbisa negara sebelum Allahyarham Mokhtar Dahari menyusuli gilirannya. Lantas, tidak adil untuk membuat perbandingan di antara dua penyerang terbaik yang pernah dilahirkan negara kerana kedua-duanya mewakili dua era berbeza.

Shaharuddin yang diberi gelaran ‘The Black Cat’ dan ‘Sharpshooter’ mencipta jaringan di pentas Olimpik sambil Mokhtar diangkat badan bola sepak dunia FIFA selaku penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman – melayakkan nama kedua-duanya untuk diabadikan di dewan kemasyhuran sukan negara.

Juga tidak tepat untuk mengandaikan kedua-duanya tidak cocok digandingkan bersama kerana kesempatan untuk Shaharuddin dan Mokhtar berpasangan di barisan serangan skuad negara sebenarnya amat terbatas – Shaharuddin sudah hampir ke penghujung kerjaya antarabangsanya ketika Mokhtar baru hendak mengukir nama.

Untuk rekod, Shaharuddin menyumbangkan 39 gol dalam 70 perlawanan ketika menyarung jersi Malaysia di antara 1967-1974 sambil Mokhtar tertulis namanya untuk 89 jaringan bersama Harimau Malaya di antara 1972-1985 – cuma di belakang bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dan bekas penyerang Iran, Ali Daei.

Sekali imbas, Shaharuddin dan Mokhtar hanya berpeluang menjadi pilihan jurulatih dalam pasukan kebangsaan pada 1973 dan 1974, dengan kemuncaknya di Sukan Asia Tehran yang berlangsung dari 2-15 September 1974.

Apa pun, sejarah mencatatkan kedua-duanya pernah bersama-sama dalam satu pasukan ketika Malaysia mengukir pencapaian tertingginya di peringkat antarabangsa apabila dikalungkan pingat gangsa dalam temasya di ibu kota Iran itu.

Namun, berbanding kedua-duanya, Sukan Asia Tehran 1974 lebih menjulang nama penyerang Isa Bakar, Syed Ahmad Syed Abu Bakar, dan Harun Jusoh sebagai wira dengan masing-masing menyumbangkan empat gol, dengan Isa menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Korea Utara dalam perlawanan menentukan pingat gangsa.

Mokhtar pula mencatat nama dalam senarai penjaring dengan sumbangan lima golnya ketika Malaysia membelasah Filipina 11-0 (selebihnya masing-masing dua gol daripada Syed Ahmad, Isa, dan Harun) dalam perlawanan peringkat Kumpulan C dalam pusingan pertama manakala Shaharuddin pulang tanpa sebarang jaringan, dengan gol-gol selebihnya dalam temasya itu daripada Wan Zawawi Wan Yusoff, Mohamad Bakar, dan Ali Bakar.

“Sudah terlalu lama, dah hampir 50 tahun, tapi saya masih ingat Shaharuddin melalui satu kejohanan yang agak sepi buatnya ketika itu dan Mokhtar pula jaringkan gol dalam satu perlawanan tapi sampai lima gol. Satu sebab lagi ialah Malaysia memiliki ramai pemain serangan di Tehran dengan jurulatih menggilirkan antara Syed Ahmad, Isa, Harun, Mohamad Bakar, Mokhtar dan Shaharuddin,” kata rakan sepasukan mereka, Santokh Singh.

Kepada bekas pemain pertahanan kebangsaan itu, tidak adil untuk membuat perbandingan di antara Shaharuddin dan Mokhtar kerana kedua-duanya jarang digandingkan, dengan Mokhtar-Isa lebih menjadi pilihan jurulatih kerana persefahaman yang dimiliki kedua-duanya.

Rakan karib Mokhtar dalam pasukan Selangor pada era 80-an Reduan Abdullah turut bersetuju. Padanya, kedua-duanya memiliki keistimewaan tersendiri, dengan Shaharuddin lebih dahulu mendapat giliran untuk membuktikan ketajamannya di depan gol sebelum Mokhtar mengambil alih tanggungjawab berkenaan dalam pasukan kebangsaan.

“Tak dapat nak bayangkan kalau kedua-duanya bermain dalam satu pasukan kebangsaan pada era yang sama. Kedua-duanya adalah penjaring prolifik. Tapi selepas Sukan Asia Tehran itu, tidak banyak lagi kejohanan besar untuk kedua-duanya digandingkan sebelum Shaharuddin berundur. Tapi saya berpeluang sama ada bermain bersama atau berhadapan satu sama lain. Kedua-duanya sama bagus untuk menimbulkan cemas kepada pasukan lawan masing-masing,” katanya lagi.

Reduan turut merujuk kepada rekod jaringan Shaharuddin – Pestabola Merdeka (16 gol), Sukan SEAP (9), Piala Raja Thai (6), kelayakan Piala Asia (5) antaranya – sebagai bukti kejaguhannya selain catatan sejarah selaku penjaring gol pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik ketika menewaskan Amerika Syarikat 3-0 dalam temasya Munich 1972.

“Ada juga didengar konon Shaharuddin dan Mokhtar tak serasi untuk berganding. Pada saya, itu semua tak betul. Daripada apa yang saya ikuti dan selama berkawan dengannya, arwah (Mokhtar) tak pernah bercakap hal itu dengan saya. Daripada beberapa kali kedua-duanya diturunkan bersama, Shaharuddin lebih di bahagian sayap dan Mokhtar sebagai penyerang tengah. Kedua-duanya ada tugas untuk mereka lakukan,” tambahnya.

Bekas rakan sepasukan di Sukan Olimpik 1972, Rahim Abdullah pula hanya dapat merakamkan kekaguman terhadap Shaharuddin – penyerang yang dianggapnya serba lengkap dengan memiliki kelincahan, kemahiran menggelecek, sepakan padu dari kedua-dua kaki serta kemahiran menanduk yang kerap menghasilkan jaringan.

“Dalam Pestabola Merdeka 1972, Jepun yang kita kalahkan 3-0 dalam kelayakan Sukan Olimpik di Korea, hendak membalas dendam ke atas Malaysia. Teringat ketika masuk dalam separuh masa kedua, saya lambungkan satu hantaran dari tengah padang untuk Shaharuddin yang menanduk masuk hampir dari atas garisan kotak penalti. Kemudian sekali lagi hantaran saya ditanduknya masuk untuk kita menang 3-1 di Stadium Merdeka (pada 22 Julai 1972). Cuma Korea yang kita kalahkan 1-0 dalam kelayakan Olimpik, dapat balas dendam dengan keputusan 1-0 melalui gol Cha Beum-keun,” katanya.

Tambah Rahim, Shaharuddin yang juga seorang rakan akrab adalah penyerang luar biasa. Pernah ketika sama-sama mewakili Pulau Pinang yang turut diperkuatkan oleh Syed Ahmad dan Mohamd Bakar, mereka membelasah Perak 7-2 dan Angkatan Tentera yang diketuai Dali Omar 8-0.

Sedih mengingati pertemuan terakhirnya dengan Shaharuddin ialah ketika bersama Kam Fook, Lim Fung Kee, Mohamad Bakar dan Hamzah Hussein diraikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 2019, Rahim berkata rakannya itu akan dikenang sebagai antara penyerang terbaik negara yang dia pernah bermain bersama.

Shaharuddin anggota skuad 1972 yang ke-11 meninggalkan kita selepas Ali Bakar (2003), Wong Choon Wah (2014), Othman Abdullah (2015), Wan Zawawi Yusof (2017), M Chandran (2019), Mohamad Bakar, Namat Abdullah, Salleh Ibrahim dan V Krishnasamy (2020), dan Harun Jusoh penghujung Okt lalu.

Benarlah, selepas 51 tahun, skuad Olimpik Munich ’72 hanya jadi sebutan semula bila ada yang pergi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.