`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, December 29, 2023

Usah lantik wakil Badan Peguam dalam jawatankuasa berkait undang-undang syariah, kata pemimpin Umno

 

Puad Zarkashi berkata kerajaan tidak perlu melayan saranan Ngeh Koo Ham untuk membabitkan Badan Peguam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

PETALING JAYA: Pemimpin Umno Puad Zarkashi menolak cadangan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham daripada DAP supaya Badan Peguam dilibatkan dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu mendakwa Badan Peguam sering berat sebelah dan cenderung berpendirian “seolah-olah asalkan bukan Umno”.

Puad merujuk tindakannya mencabar keputusan membebaskan tanpa melepaskan Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, namun tidak mengambil sama dalam kes lain.

Adun Rengit itu bagaimanapun berpendapat kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan melantik pakar perundangan bukan Islam yang tidak berat sebelah untuk menganggotai jawatankuasa khas yang ditubuhkan awal bulan ini.

“Asalkan bukan Badan Peguam,” katanya di Facebook mengulas saranan Ngeh yang juga penasihat DAP Perak semalam supaya kerajaan melibatkan Badan Peguam dalam jawatankuasa terbabit.

Menurutnya, cadangan itu memandangkan badan berkanun berkenaan dibentuk untuk memastikan undang-undang yang diluluskan adil dan saksama.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.

Ia juga akan perhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara mahkamah syariah dan sivil termasuk isu melibatkan pertukaran agama, harta, tuntutan hadhanah, dan wasiat, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Penubuhannya menjunjung titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi mengkaji secara mendalam dan kritikal persoalan undang-undang yang berbangkit, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan.

Bekas ketua hakim negara Zaki Azmi dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa 10 anggota itu, yang turut dianggotai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh; anggota Majlis Agama Islam Selangor Salehuddin Saidin; dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Melaka Nadzri Abdul Rahman.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata tiada keperluan melantik pakar bukan Islam dalam jawatankuasa itu dan menyifatkan cadangan Ngeh “tidak berpijak di bumi nyata”.

Ini kerana katanya, cadangan itu hanya akan mencetuskan polemik dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum.

“Apa jua dapatan jawatankuasa ini kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu, setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan.

“Malah, jika ada sebarang cadangan melibatkan pindaan undang-undang mahupun Perlembagaan sekalipun, tentu sekali prosesnya akan turut melibatkan Ahli Parlimen bukan Islam yang punya kuasa untuk membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan terkait dengan penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.