`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 14, 2023

Tak kurang darjat saya makan di gerai, warung, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim melihat motosikal elektrik MEV-1 dari Modenas semasa melawat ruang pameran selepas merasmikan Karnival Barangan Malaysia 2023 di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mahu usaha mempromosi barangan Malaysia di peringkat antarabangsa dan tempatan dipertingkatkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri kewangan itu berkata, beliau sendiri memainkan peranan mempromosi barangan Malaysia, antaranya melalui pemakaian batik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Esok petang saya ke Tokyo, Jepun untuk mesyuarat Asean dan semua 10 negara Asean diundang Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan satu malam dia kata boleh pakai pakaian sut atau pakaian rasmi.

“Saya bagi nota nak pakai batik Malaysia walau di sana (Jepun) musim sejuk, ini sebab saya rasa bertanggungjawab untuk promosi barang buatan Malaysia,” katanya berucap merasmikan Karnival Barangan Malaysia 2023 di sini hari ini.

Dari sudut mempromosi barangan Malaysia di peringkat tempatan pula, Anwar berkata, beliau menjadikan kunjungan ke gerai dan warung pada Jumaat untuk makan tengah hari sebagai acara tetap mingguan.

“Sebelum solat Jumaat, saya pergi warung dan gerai dan makan di kedai tempatan. Ini cara promosi barangan Malaysia,” katanya sambil menambah ia dilaksanakan sejak beliau menjadi perdana menteri pada 24 Nov 2022.

Beliau turut menyeru anggota pentadbiran menunjukkan kesungguhan dalam mempromosi serta menyokong barangan Malaysia.

“Menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan kawan-kawan ambil langkah tambahan (promosi barang Malaysia), ada kesungguhan.

“Saya sendiri tidak rasa kurang darjat saya makan di gerai dan warung tiap minggu…kopi atau makanan dihidang ini kadang-kadang lebih enak daripada restoran lima bintang.”

Beliau menasihatkan pengusaha produk Malaysia terus mempertingkatkan mutu barangan mereka supaya dapat bersaing dengan syarikat luar.

“Puluhan syarikat (tempatan) telah menerobos ke jaringan antarabangsa, bukan sahaja Asean, tetapi beberapa negara Eropah.”

Mengenai Karnival Barangan Malaysia selama empat hari bermula hari ini, Anwar berkata, karnival itu membantu menyemarakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kempen beli barangan Malaysia juga harganya itu sederhana ketimbang harga (barang) import. Ia bantu jana pertumbuhan ekonomi.”

Kempen Beli Barangan Malaysia diperkenalkan kerajaan untuk mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk tempatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.