`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, February 25, 2024

Bekas bintang All Blacks sertai 5,000 jemaah solat subuh macam Jumaat

 

Sonny Bill Williams bersama 5,000 jemaah solat subuh di Masjid Putra, Putrajaya. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Bekas bintang ragbi All Blacks Sonny Bill Williams menyertai kira-kira 5,000 jemaah mengimarahkan program solat subuh macam Jumaat di Masjid Putra.

Program bermula seawal 5 pagi turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalannya Zulkifli Hasan dengan solat dipimpin Imam Masjid Putra Abdul Karim Zakaria sebelum disusuli sesi perkongsian ilmu bersama Williams.

Aktiviti jalan laju bermula dari pekarangan Masjid Putra hingga ke Istana Kehakiman, sejauh kira-kira 2.7km.

Williams berada di negara ini bagi menghadiri pelbagai program keagaaman dan aktiviti sukan antaranya klinik rugbi di mini Stadium Majlis Sukan Negara dan makan tengah hari bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Williams, 39, melahirkan rasa kagumnya terhadap kempen itu yang menggalakkan umat Islam menunaikan solat subuh di masjid.

“Saya perlu mengakui betapa baiknya rakyat Malaysia. Saya bangga sebagai seorang Islam apabila melihat ramai jemaah datang menunaikan solat subuh,” katanya kepada pemberita.

Berkongsi lawatannya ke Malaysia, Williams, pemain ragbi pasukan New Zealand yang muncul juara dunia dua kali pada 2011 dan 2015 berkata beliau kagum dengan sikap merendah diri dan adab ditunjukkan oleh tiga rakyat Malaysia ketika bertemu di Makkah, baru-baru ini.

Sementara itu, Na’im menyarankan semua jawatankuasa masjid dan surau khususnya bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mempelbagaikan aktiviti yang boleh menarik minat umat Islam mengimarahkan rumah ibadat.

“Pempengaruh adalah sebahagian daripada cara untuk tarik jemaah ke masjid, cuma program untuk kempen ini perlu dipelbagaikan dengan kaedah lain.

“Paling penting ialah niat untuk hadir ke masjid iaitu datang untuk menunaikan solat subuh bukan niat untuk bertemu pempengaruh. Saudara Hamza (Williams) juga ada nyatakan agar perbetulkan niat kerana beliau juga hadir ke sini kerana Allah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.