KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) sedia berkembang di peringkat antarabangsa, menyedari kepentingan dan keperluan untuk meluaskan skopnya melangkaui sempadan domestik.
Inisiatif pertama ini yang dinamakan Mihas@Dubai akan bermula dengan acara tersebut diadakan di Ekspo Produk Organik dan Semula Jadi Timur Tengah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 18 hingga 20 Nov 2024, menyasarkan jualan berjumlah RM1 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata inisiatif strategik ini mengiktiraf potensi pertumbuhan dan menekankan kepentingan untuk menjadikan Mihas sebagai acara terkenal di peringkat global.
“Pengantarabangsaan Mihas adalah satu inisiatif untuk membawa jenama itu kepada tahap lebih tinggi serta menarik pelbagai peserta dan pembeli terutama dari pasaran Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika ke acara utama di Mitec, Kuala Lumpur.
“Melalui sasaran jualan sebanyak RM1 bilion pada acara itu, ia menunjukkan komitmen kami untuk menjana pendapatan dan menembusi pasaran.
“Dengan menjadikan Mihas sebagai acara diiktiraf di peringkat global, kami mahu menempatkan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri halal antarabangsa,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di Menara Matrade, baru-baru ini.
Melalui pemilihan Dubai, katanya Matrade menyasarkan untuk memanfaatkan lokasinya yang strategik, landskap perniagaan berdaya maju dan minat yang semakin meningkat terhadap produk halal untuk memaksimumkan impak dan kejayaan Mihas di peringkat antarabangsa.
Beliau yakin Matrade akan mencapai sasaran jualan sebanyak RM1 bilion.
“Kami mahu mempamerkan kepelbagaian rangkaian produk dan perkhidmatan halal Malaysia dengan 150 hingga 200 peserta daripada syarikat berskala kecil, sederhana dan besar yang sedia untuk eksport di Mihas@Dubai.
“Antara sektor akan dipromosikan ialah pemprosesan makanan, farmaseutikal, kecantikan dan kosmetik serta produk kesihatan. Kami sedang mempertimbangkan sektor lain termasuk perkhidmatan,” katanya.
Ekspo itu merupakan pameran perdagangan terbesar di Timur Tengah untuk produk organik dan semula jadi yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.