Sudah enam hari berlalu dalam tahun baharu ini. Lantas boleh dikatakan artikel ini saya tulis lewat seminggu. Sebabnya saya baru sahaja mendengar cerita mendorong untuk menulisnya.
Cerita disampaikan seorang kawan asal Terengganu. Katanya, pada malam tahun baharu, yakni 31 Dis 2024, beliau memandu pulang ke rumah keluarga setelah membereskan urusan di bandar Kuala Terengganu.
“Tersangkut jem atas jambatan, banyak kenderaan dan ramai orang,” katanya. Jambatan dimaksudkan ialah Jambatan Sultan Mahmud. Lama juga beliau terkandas di situ.
Tepat 12 tengah malam, beliau terkejut dengar dentuman dan ada percikan bunga api. “Rupa-rupanya ada sambutan 1 Rejab,” katanya. Jenaka je, kata beliau.
Saya lihat sinis dan perli. 1 Rejab tahun ini sama hari dengan 1 Jan. “Siap ada countdown 10, 9, 8…,” kata kawan saya lagi. Mungkin bunga api ‘ditembak’ dari kawasan ‘drawbridge’ atau jambatan angkat tidak jauh dari Jambatan Mahmud. Si kawan tidak pasti.
“Sejak bila Rejab masuk 12 tengah malam?” tanya seorang lagi kawan yang turut mendengar cerita. Beliau serius. Nyata merujuk perkiraan menurut Islam yakni hari bermula dengan terbenamnya matahari.
Jika matahari terbenam 7 malam, maka bermula 7.01 dianggap hari baharu. Berbeza dengan amalan konvensional, hari baharu bermula selepas 12 tengah malam.
Kesimpulannya, ada sambutan tahun baharu, walaupun kata kawan saya persembahan bunga api, “biasa biasa je, tiga empat minit.”
Pernahkah sambutan diadakan tahun-tahun sebelum ini? Kawan saya tak tahu. Begitu juga seorang lagi kawan anak jati Terengganu. Maklumlah mereka menetap di Lembah Klang. Pulang ke Terengganu sekali-sekala sahaja.
Apabila ada sambutan tahun baharu seperti berlaku minggu lalu di Kuala Terengganu, bagi saya, sesuatu yang menarik. Atau memeranjatkan. Atau memelikkan.
Kerana PAS untuk sekian lama mengkritik keras amalan menyambut tahun baharu dengan persembahan bunga api, orang berkumpul ramai-ramai, ada konsert lengkap dengan ‘countdown’.
‘Serangan’ sering ditujukan terhadap kerajaan waktu itu diterajui Barisan Nasional (BN) yang bertulang belakangkan Umno, musuh ketat PAS.
Ada ‘ulama’ PAS menyifatkan semua itu pesta maksiat yang mengizinkan pergaulan bebas lelaki dan wanita yang bertentangan dengan Islam.
Banyak lagi tuduhan keras dilemparkan yang tidak perlu saya ulangi dalam artikel ini.
Oleh itu, bagaimana pula ada sambutan tahun baharu pada 31 Dis lalu di Kuala Terengganu? Padahal PAS memerintah Terengganu. Kerajaan negeri yang buat? Atau beri restu? Kawan saya tidak pasti siapa yang main bunga api.
Mungkin orang persendirian atau syarikat swasta? Beranikah mereka melakukan sesuatu yang PAS tidak ‘berkenan’? Atau adakah mereka mendapat izin untuk lakukan sambutan tahun baharu? Adakah kerajaan negeri sekarang bersikap toleran?
Bukankah Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar seorang teknokrat dan bukan ulama? Betul atau tidak, setuju atau tidak, ulama PAS dikaitkan dengan sikap dan pendirian ‘hardline’ Islam.
Dr Sam dikatakan tidak begitu. Namun beliau pernah menjadi setiausaha politik Presiden PAS Hadi Awang. Dan sehingga kini dikatakan anak emas Hadi.
Oleh itu, tidak mungkin beliau, walaupun sudah jadi MB, akan berbuat sesuatu tanpa izin Hadi. Sekurangnya memaklumkan kepada Hadi. Mungkinkah Samsuri dan kerajaannya terlepas pandang sambutan tahun baharu tempoh hari? Atau ‘caught off guard’? Dan ‘countdown’ pula dilakukan oleh anak-anak muda secara spontan?
Mungkinkah kerajaan negeri mahu memaparkan imej ‘lembut’ setelah dikritik baru-baru ini oleh sesetengah pihak? Hanya beberapa hari terdahulu (lebih tepat 27 Dis) hukuman sebat di khalayak dijalankan ke atas seorang lelaki yang mengaku melakukan khalwat berulang.
Bagi kerajaan Terengganu, tindakan itu berlandaskan perundangan Islam. Ada pihak berbeza pandangan. PAS dilihat semakin ‘hardline’ dan ekstrem.
Pun begitu tindakan kerajaan PAS Terengganu mendorong Kelantan yang juga diperintah PAS menyatakan hasrat untuk mengambil langkah sama. Kedah dan Perlis yang juga ditadbir PAS sudah disaran oleh Mursyidul Am Hashim Jasin supaya mengikut langkah Terengganu.
Bercakap mengenai Perlis, tahun ini, 1 Jan ialah cuti umum. Sebelum ini, Perlis bersama Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak menjadikan 1 Jan cuti umum.
‘Change of heart’ Perlis, menurut Menteri Besar Mohd Shukri Ramli, adalah sebagai ‘suatu bentuk penghargaan terhadap seluruh penjawat awam dan rakyat Perlis menjayakan Karnival Sambutan Tahun Baharu 2025 peringkat Perlis yang diadakan pada malam 31 Dis 2024’.
Amat menarik. Perlis ada sambutan tahun baharu (secara rasmi anjuran kerajaan negeri) dan ada cuti umum 1 Jan. Terengganu ada sambutan tahun baharu (mungkin tidak rasmi dan bukan anjuran kerajaan) tetapi tidak ada cuti umum 1 Jan.
Terengganu ada undang-undang sebat depan orang ramai. Perlis belum ada. Kedua-duanya kerajaan pimpinan PAS.
Perlis dan barangkali Terengganu papar sikap toleran boleh dilihat bertujuan memikat hati bangsa Melayu untuk terus menyokong PAS. Dan usaha agar masyarakat bukan Melayu bukan Islam mula menyukai mereka.
Mengubah pendirian untuk menunjuk sikap toleran bukan sesuatu yang aneh atau luar biasa bagi mana mana parti politik. Cuma kalau yakni benar benar yakin apa yang diperjuangkan ialah tuntutan agama, maka ia mestilah dipertahankan meskipun dikecam atau boleh mengakibatkan kehilangan sokongan di peti undi.
Janganlah sekejap haram, sekejap halal. Itu namanya main politik guna agama. - FMT
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.