Membawa rakyat Palestin ke negara ini dan diberi perlindungan mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan rakyat Malaysia. Ada yang suka, ada yang tidak. Rata-rata orang Melayu menyokong usaha dijalankan kerajaan. Sebaliknya ada orang bukan Melayu yang tidak setuju dengan inisiatif itu.
Ramai ke mereka? Maksud saya besar ke bilangan mereka? Saya tidak tahu. Tetapi apa yang saya dapati menerusi komen dan ulasan di platform media sosial dan beberapa kumpulan sembang WhatsApp rata-rata yang tidak setuju orang bukan Islam. Meskipun ada juga orang Melayu. Tetapi saya bercakap secara umum.
Maka itulah sebabnya saya senang melihat Tian Chua dan lain lain aktivis bukan Melayu bukan Islam yang menyokong perjuangan Palestin sekali gus menyambut baik usaha membawa rakyat Palestin ke Malaysia. Bukan saya penyokong tegar Tian Chua. Bagi saya sokongan mereka bersama golongan muda bukan Melayu Islam membuktikan bukan orang Melayu sahaja pro-Palestin. ‘There’s hope yet for Malaysia. The last thing we need is to be divided over a foreign issue’.
Namun, hakikatnya seperti dikatakan tadi ada rakyat Malaysia yang tidak setuju dengan apa yang dijalankan kerajaan. Mengapa? Bukankah inisiatif kerajaan ialah demi menyelamatkan golongan tertindas dan dikejami? Dalam kes ini menyelamatkan rakyat Palestin daripada keganasan tentera Israel di Gaza.
Adakah mereka yang tidak setuju tidak tahu mengapa inisiatif diambil kerajaan? Tidak mungkin. Adakah mereka tidak berhati perut? Saya yakin mereka berperikemanusiaan. Lalu saya ulangi mengapa tidak setuju bawa rakyat Palestin yang menderita ke sini?
Ada yang melihat usaha kerajaan sebagai langkah populis supaya Anwar Ibrahim disanjung di pentas antarabngsa khususnya dalam kalangan negara Islam. ‘He wants to be the world’s greatest Islamic leader’. Ini pernah saya baca menerusi WhatsApp. Mungkin di Facebook. Lupa mana satu. Apa pun memang ada komen itu. Ada juga komen berbunyi: ‘Anwar wants to be PM of Palestine’.
Tidak dinafikan Anwar mendapat ‘pulangan’ daripada usaha dijalankan. Malaysia negara pertama di Asia melakukan misi kemanusiaan membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini. (Saya tidak pasti tetapi pada hemat saya ada juga rakyat Palestin yang tidak cedera terutama wanita dan kanak- kanak turut dibawa ke Malaysia)
Anwar pasti gembira dan bangga akan ‘accolades’ yang diberi kepadanya oleh pemimpin dunia. Tentulah selain Amerika dan sekutunya. Namun untuk mempertikaikan keikhlasan Malaysia dan Anwar sendiri dalam isu Palestin bagi saya sesuatu yang tidak adil.
Ada juga golongan ‘antiinisiatif bawa rakyat Palestin ke Malaysia’ yang melihat itu usaha kerajaan khususnya PMX mahu meraih sokongan orang Melayu yang majoritinya memang bersimpati dan menyokong ‘the Palestinian cause’. Mungkin ada benarnya. Tetapi apa salahnya PMX dan pentadbiran Madani mendapat ‘manfaat?’ Semua ahli politik akan menjalankan usaha yang boleh beri mereka sokongan. Dalam isu yang ditulis ini sekali lagi saya katakan adalah tidak adil mempertikaikan keikhlasan PMX dan kerajaan Madani pimpinannya membantu rakyat Palestin.
Ada lagi ‘rungutan’ orang yang tidak setuju kerajaan bawa rakyat Palestin ke Malaysia. Bagi mereka ramai rakyat Malaysia sendiri yang susah. Banyak masalah di Malaysia. “Janganlah kera di hutan disusukan anak sendiri di rumah kebuluran,” kata mereka.
Tidak dinafikan di Malaysia ada orang susah yang memerlukan bantuan kerajaan dan ada pelbagai masalah perlu dibeRi perhatian kerajaan. Saya tidak mahu membandingkan kesusahan rakyat kita yang bukan mangsa perang dengan rakyat Palestin yang mangsa perang. Dua-dua susah, susah tetap susah. Maka dalam menolong rakyat Palestin semestinya kerajaan pada masa sama memberi perhatian terhadap masalah dalaman.
Pun begitu apabila ada dalam kalangan rakyat Palestin yang diberi perlindungan di Malaysia menimbulkan masalah atau bikin kecoh, ramai rakyat Malaysia bengang. Umpamanya insiden Oktober tahun lalu. Sabtu 4 Jan lalu berlaku lagi. “Rakyat Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit Kuala Lumpur mencetus kekecohan,” kata Angkatan Tentera Malaysia yang menjaga mereka. Versi di media sosial mereka ‘merusuh’. Hakikatnya mereka marah-marah dan bertindak liar. Ini dilihat ramai rakyat Malaysia, bagai rakyat Palestin ‘menggigit tangan yang menyuap mereka’.
Bagaimanapun, insiden kedua ini dikatakan berpunca daripada keinginan mereka pulang ke Palestin. Mereka mahu proses kembali ke negara asal dipercepatkan. Ertinya mereka mahu pulang ke Palestin mungkin juga ke Gaza walaupun tahu apa yang menunggu mereka di sana.
Insiden pertama Oktober lalu membabitkan golongan wanita yang ‘mengamuk’. Bukan saya mahu mempertahankan tindakan wanita itu. Cuma boleh faham akan trauma yang dialami akibat terkorbannya anak-anak mereka.
Saya kehilangan anak berusia enam bulan dalam kemalangan jalan raya. Ia berlaku pada 2001. Sehingga sekarang saya masih merasai kesedihan. Isteri saya lebih terkesan. Saya boleh rasa kesedihan wanita Palestin yang kehilangan anak akibat keganasan tentera Israel.
Di Malaysia rakyat Palestin dilayan baik. Wisma Transit mempunyai segala kemudahan. Bagaimanapun, penghuni tidak dibenar bergerak bebas ke luar pekarangan. Mungkin mereka rasa bagai burung dalam sangkar emas.
Realitinya mereka mahu pulang ke tanah air. Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Rasanya begitulah yang mereka yakini. - FMT
Nota kaki: Semasa artikel ini tulis diberitakan insiden kekecohan warga Palestin dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.