Isteri seorang pemain bola sepak baru-baru ini memarahi pengurusan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC gara-gara suaminya tidak dibayar gaji selama sembilan bulan.
Mengambil kira skuad Hijau Kuning itu memulakan Liga Super musim 2024/2025 ini dengan kemenangan 1-0 ke atas PDRM FC di Stadium Selayang pada 11 Mei lepas, ini bermakna pemain-pemainnya tidak pernah dibayar gaji sepanjang musim mereka bermain.
“Sampai bila Kedah ini nak berhutang dengan ‘player’? Kalau tak ada duit, tutup sahajalah. Tak rasa berdosa ke aniaya orang? ‘Player’ ada anak bini nak tanggung, ada komitmen lain. Sembilan bulan sudah woiii, teruk betullah team macam ini,” kata Mas Hamizah Izhar, isteri pemain pertahanan, Irfan Zakaria, di akaun media sosialnya.
Irfan, seperti rakan sepasukannya Rizal Ghazali terlebih malang lagi. Kedua-duanya yang membintangi Sabah FC – pasukan di tangga ketiga liga musim lepas – memilih untuk menabur bakti kepada pasukan negeri asal mereka musim ini, tetapi inilah yang mereka dapat. Sabah FC dilaporkan turut mengalami masalah tunggakan gaji tetapi tidaklah seteruk KDA FC.
Bayangkan diri kita di tempat mereka, mampukah kita bertahan tanpa gaji selama tempoh itu?
Berhutang keliling pinggang sudah perkara pasti, berpindah-randah untuk mengurangkan sewa bulanan mungkin kebiasaan dan kemungkinan ada yang keretanya ditarik institusi kewangan bukan lagi menghairankan.
Sebulan tidak bergaji pun kita tidak dapat tidur malam, inikan pula sembilan bulan sehingga saudara-mara dan sahabat-handai tempat meminjam pun sudah serik untuk memberi hutang lagi. Duit makan dan duit keperluan harian tiada siapa yang beri.
Benarlah seperti luahan wanita berkenaan, tunggakan gaji selama sembilan bulan itu adalah suatu ‘penganiayaan’ terhadap pemain dan keluarga mereka. Barangkali mereka tidak pun berbeza diperlakukan seperti buruh paksa yang dikerah membanting tulang empat kerat tanpa sebarang upah.
Malangnya, luahan isi hati Mas Hamizah tidak bersahut. Rayuannya tidak pun mendapat simpati. Pemilik saham terbesar KDA FC Mohd Daud Bakar pula terus membisu pada ketika dua lagi pemain import meninggalkan pasukan manakala sebilangan pemain tempatan terus memboikot latihan.
Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda) – dalam pada percaya pengurusan diketuai Mohd Daud sedang berusaha mengatasi masalah kewangan pasukan – mengharapkan kerajaan negeri akan campur tangan.
Pengerusi Kepda Nor Hasmadi Hamzah berkata, penyokong setia KDA FC berharap Menteri Besar Sanusi Nor selaku presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dapat mencari jalan membantu kelab tersebut.
Namun, Sanusi yang kali terakhir berjanji untuk menolong pada pertengahan Oktober lepas terus mendiamkan diri.
“Kami memohon campur tangan MB Kedah dan Exco Belia Sukan Muhammad Radhi Mat Din untuk melakukan sesuatu. Takkan nak biar masalah ini terus berlarutan kerana sudah sembilan bulan pemain tidak mendapat gaji. Mereka juga perlu menyara keluarga,” kata Nor Hasmadi dipetik Sinar Harian.
Jika ada contoh bagaimana sebuah pasukan liga tidak harus ditadbir, ia tentunya KDA FC – pasukan yang pernah gah memenangi Liga Super tiga kali, Liga Perdana empat kali, Piala Malaysia dan Piala FA masing-masing lima kali di samping tampil pasukan pertama dalam sejarah bola sepak negara meraih kejuaraan ‘double treble’ pada 2006-07 dan 2007-08.
Terbaru, ketua jurulatih interim KDA FC Victor Andrag dilaporkan menghadapi kesukaran membentuk pasukan terbaik untuk meneruskan saingan Liga Super apabila sesi latihan pasukan itu hanya dihadiri antara sembilan hingga 12 pemain sejak kebelakangan ini.
“Nak salahkan pemain pun tak boleh kerana kita faham keadaan mereka. Hari ini (Jumaat) nampak ramai kerana kami berlatih bersama skuad Piala Presiden manakala jumlah pemain ‘senior’ yang hadir cuma 12 orang,” kata Andrag seperti dilapor Utusan Malaysia.
“Keadaan sangat sukar buat kami. Semakin hari, jumlah pemain yang hadir kian berkurang dan itu menyukarkan kami untuk menyusun atur pemain untuk hari perlawanan. Sempena tahun baru, saya amat mengharapkan situasi ini dapat dipulihkan. Saya amat mengharapkan agar ada penyelesaian terhadap semua isu dalam pasukan.”
Ini bukan pun kali pertama pemain KDA FC memboikot sesi latihan selepas beberapa kali melakukan perkara sama susulan rasa kecewa dengan pihak pengurusan yang belum menyelesaikan masalah tunggakan gaji.
Pemain enggan turun berlatih sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC pada 19 Okt dan langkah sama diambil pemain sebelum aksi menentang Kuala Lumpur City FC yang mana pasukan diwakili pemain muda skuad Sukan Malaysia (Sukma) dibelasah 5-0.
Keadaan itu diperburuk dengan pengumuman kelab bahawa tiga lagi pemain – dua import, Cleylton Santos dan Sukhrob Nurullaev, dan pemain pinjaman dari Terengganu FC, Faiz Nassir – meninggalkan pasukan. Mereka menyertai Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Fikri Che Soh, Sony Norde dan Habib Haroon yang lebih dahulu angkat kaki dari Alor Setar.
Biarpun berdepan masalah, KDA FC dilihat terus berjuang dalam saingan Liga Super dan Berjaya menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi ‘derbi Utara’ di Alor Setar 18 Dis lepas dan berada di tangga kesembilan dengan 17 mata selepas 16 perlawanan.
Sang Kenari juga berjaya mara ke separuh akhir Piala Cabaran MFL bertemu PDRM FC di Selayang bagi aksi pertama pada 18 Jan dan aksi timbal balik di Alor Setar pada 1 Feb.
Apakah yang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) Malaysia lakukan dalam membantu mengatasi masalah tunggakan gaji pemain-pemain KDA FC?
Apakah selepas pengumuman Presiden FAM Hamidin Mohd Amin untuk melepaskan jawatan dalam kongres 15 Feb, beliau dan barisan exconya kini umpama ‘itik tempang’ yang boleh bersikap lepas tangan?
MFL, yang diketuai ketua pegawai eksekutif baharunya Giorgio Pompili Rossi bermula pertengahan September lepas berkata, kajian terperinci perlu dilakukan untuk mengatasi masalah tunggakan gaji pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia.
Selepas pemain-pemain KDA FC tidak dibayar gaji selama sembilan bulan, apakah perlu kajian terperinci untuk mengenal pasti punca dan penyelesaiannya?
Mampukah PFA hanya berpeluk tubuh melihat ahlinya terus teraniaya?
Apakah semua mereka – seperti pihak-pihak berkaitan dengan KDA FC yang lain – bersikap tidak mahu ambil peduli?
Jika begitu, eloklah KDA FC dijual sahaja. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.