`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 5, 2025

Godaan ‘Beli Dulu, Bayar Kemudian’ menjelang raya

Free Malaysia Today
Jumlah pengguna BNPL capai 10.3 juta orang tahun lalu, dengan hampir 50% pengguna berusia bawah 30 tahun.

PETALING JAYA
Mencukupkan kewangan bagi keperluan menjelang hari perayaan barangkali perkara lazim bagi sekalian keluarga, namun kemunculan skim ‘Beli Dulu, Bayar Kemudian’ beri impak tersendiri sehinggakan pakar kewangan turut memberi peringatan mengenainya.

Bersempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini, FMT meninjau pandangan orang ramai tentang ‘Buy Now, Pay Later’ (BNPL) dan rata-ratanya maklum akan bahaya kemudahan itu walaupun ia sedikit sebanyak membantu persiapan.

Free Malaysia Today
Safa

“Memang terpaksa berhutang,” kata seorang suri rumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Safa, tentang persiapan raya dalam ekonomi sekarang.

“Kadang-kadang benda ini memudahkan untuk kita sebab tak semua mampu untuk zaman ekonomi sekarang.

“Kalau sebaiknya dapat elak, elak,” kata seorang pegawai pemasaran, Khairil, 43, yang menegaskan pemiutang harus pandai menguruskan hutang dengan baik.

Free Malaysia Today
Khairil

“Beban kewangan memang terasa lebih-lebih Februari lalu kita dah berhabis beli barang sekolah anak, dan sekarang raya pula,” katanya.

Seorang peniaga, Najib Abdullah, berkata segelintir orang berhutang kerana keinginan untuk nampak ‘smart’ di hari raya. “Kena pandai kawal lah. Jangan ikut nafsu!”

Pada Februari lalu, media melaporkan kadar penggunaan skim BNPL semakin meningkat berikutan ia mudah diakses dengan pelbagai insentif menarik yang ditawarkan kepada pengguna.

Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna Bank Negara Malaysia memaklumkan jumlah pengguna BNPL mencapai 10.3 juta orang pada tahun lalu. Menurut pasukan itu, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 16% daripada tahun sebelumnya (2023) dengan hampir 50% pengguna berusia bawah 30 tahun.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia menasihatkan orang ramai akan merancang perbelanjaan raya secara bijak dengan mengambil kira kemampuan kewangan, supaya tidak terperangkap dalam beban hutang.

Free Malaysia Today
Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan

Pakar kewangan, Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi di Universiti Malaya, berkata ada golongan merasa terpaksa menggunakan BNPL untuk keperluan.

Beliau mengesyorkan beberapa strategi dan sikap bagi mereka yang sedang mempertimbangkan BNPL.

“Ramai tidak sedar sebenarnya, penalti ataupun caj penalti sekiranya lambat bayar itu sangatlah tinggi, setiap hari itu ada tunggakan ataupun faedah lain dikenakan jika lewat bayar,” jelasnya.

Shahnaz menyarankan pihak berkenaan menyenaraikan semua hutang masing-masing, dengan keutamaan pada hutang dengan kadar faedah yang tinggi, misalnya kad kredit.

Seterusnya, kenal pasti hutang jangka panjang dan pendek, dengan keutamaan pembayaran kepada institusi kewangan berdaftar seperti bank.

“Elakkan mengambil hutang baharu jika beban hutang sudah tinggi,” katanya.

Shahnaz juga mencadangkan pihak berkenaan merancang perbelanjaan lebih awal dan membuat simpanan sebelum berhutang.

“Simpan dahulu, berbelanja kemudian,” katanya.

Media melaporkan jumlah transaksi skim pengguna BNPL meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, dilapor berkata setakat Disember 2024, sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif, majoritinya golongan berusia 21-45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan.

Beliau berkata, kadar penggunaan BNPL yang kian meningkat menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah, biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.