`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 12, 2025

Karikatur politik: Anak Razman Zakaria tempelak Kor Ming

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming, hari ini ditempelak oleh Ketua Dewan Ulama PAS Lenggong ekoran kenyataannya yang mengecam penggunaan karikatur semasa hari penamaan calon PRK Ayer Kuning di Tapah.

Menurut Muhammad Rif'aat Razman, tidak sepatutnya Nga mengabaikan teguran tersebut kepada ahli DAP sendiri yang bertindak menggunakan pendekatan sama ke atas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak, Razman Zakaria.

Kata Rif'aat, dalam serangannya ke atas Razman, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Woo Kah Leong, juga menggunakan karikatur yang berniat jahat.

“Saya menggesa Encik Nga Kor Ming pemimpin DAP agar tidak lupa untuk memberi nasihat kepada Ketua Pemuda Dap, Encik Woo Kah Leong, bahawa sindiran karikatur yang disiarkan di halaman FB Woo Kah Leong yang memaparkan imej karikatur ayah saya Haji Razman Zakaria dengan ulasan Raja Fitnah Bau Busuk Tidak Berbangkai sebagai politik DAP yang kebudak-budakan, berniat jahat, tak beri nilai tambah pembangunan negara,” katanya melalui hantaran di media sosial petang ini.

Untuk rekod Razman bukanlah asing kepada DAP.

Sebelum ini dia sering menonjol sebagai antara watak utama dari PAS menyerang DAP. Dalam beberapa kejadian dia kemudian tampil meminta maaf secara terbuka ekoran kesilapan yang dilakukan.

Kejadian itu juga menyaksikan Razman – yang sebelum ini pernah diberi kepercayaan sebagai Bendahari Agung PAS – didakwa direhatkan daripada jawatannya sebagai Pesuruhjaya PAS Perak.

Bagaimanapun dia masih menjadi Yang Dipertua PAS Lenggong.

Terdahulu Nga dilaporkan menganggap tindakan penyokong PN menggunakan karikatur menyindir Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, di Tapah sebagai tidak matang dan tidak wajar.

Kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi, tindakan berunsur sindiran yang berniat jahat seperti itu tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara, malah dilihat cuba memesongkan tumpuan rakyat daripada isu sebenar yang perlu diberi perhatian.

Nga berkata Malaysia memerlukan landskap politik yang membina, bukannya membinasa.

“Perdebatan politik harus berteraskan dasar, pelan pembangunan serta cadangan penambahbaikan, bukannya mempermainkan individu dengan cara yang kebudak-budakan,” katanya.


- Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.