`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 4, 2025

Penjawat awam antara 4 ditahan miliki bahan seksual budak

 

handcuff
Polis berkata empat individu berusia 26 hingga 49 tahun ditahan di sekitar Kajang, Ampang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam. (Gambar Rawpixel)

PETALING JAYA
Empat individu termasuk penjawat awam dan akauntan ditahan memiliki dan mengedar bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) menerusi operasi Cyber Guardian membabitkan enam negara mulai 24 Feb hingga 28 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata empat individu berusia 26 hingga 49 tahun itu ditahan di sekitar Kajang, Ampang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam.

Beliau berkata, semuanya memiliki lebih 50,000 bahan lucah kanak-kanak yang disimpan dalam pelbagai peranti elektronik dan mereka ditahan susulan maklumat serta operasi bersepadu di enam negara yang diketuai Pasukan Polis Singapura.

“Operasi di negara ini dijalankan 20 Mac lalu bagi mengesan suspek terbabit aktiviti mengakses, menyimpan dan berkongsi bahan berkaitan CSAM.

“Hasil operasi itu, kita menahan empat suspek dan merampas lebih 50,000 bahan CSAM,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di Bukit Aman.

Menurutnya, 435 individu terbabit jenayah mengedar ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan Malaysia, Singapura, Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong mulai 24 Feb hingga 28 Mac lalu.

Katanya, suspek menggunakan peranti elektronik untuk mengakses dan mendapatkan bahan CSAM, sebelum berkongsi bahan itu.

“Di kumpulan Telegram pula, ada yang menyimpan bahan berkenaan untuk kepuasan diri. Kebanyakan bahan pornografi ini dimuat turun dan disimpan dalam peranti elektronik.”

Beliau berkata, semua disiasat mengikut Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, di mana empat kertas siasatan dibuka dan dua sudah dituduh di mahkamah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.