`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 12, 2025

‘Puasa’ media sosial, jemaah haji diberitahu

 

jemaah kursus TABUNG HAJI RESIZE 120425
Jemaah haji digalakkan hadir kursus perdana anjuran Lembaga Tabung Haji diadakan secara berperingkat di 22 lokasi seluruh negara bermula 11 April hingga 4 Mei ini.

KUALA LUMPUR
Bakal jemaah haji musim 1446H/2025M diingatkan memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadat itu serta menjaga adab dan disiplin sepanjang berada di Tanah Suci.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, berkata panggilan haji adalah jemputan istimewa daripada Allah kepada hamba-Nya yang terpilih, justeru perlu disambut dengan penuh keikhlasan dan penghayatan.

Katanya, kecenderungan sesetengah jemaah untuk kerap memuat naik kandungan di media sosial, termasuk berswafoto di hadapan Kaabah dan melakukan siaran langsung menerusi platform seperti TikTok, dikhuatiri boleh mengganggu maqasid atau tujuan sebenar ibadat itu.

Free Malaysia Today
Zulkifli Hasan.

“Kadangkala ia turut mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah. Nasihat saya kepada semua bakal Duyufurrahman tahun ini ialah agar memfokuskan sepenuhnya kepada pengagungan Allah SWT, bukannya mengagungkan diri sendiri demi populariti melalui jumlah ‘likes’ atau ‘viewers’ di media sosial,” katanya kepada Bernama.

Zulkifli menegaskan, maqasid haji adalah keikhlasan beribadat kerana Allah, malah Rasulullah sendiri berdoa agar ibadat hajinya tidak terpalit riak atau sum‘ah (keinginan untuk mendapat pujian).

Sehubungan itu, beliau menyarankan bakal jemaah haji ‘berpuasa’ daripada mengemas kini media sosial dan memanfaatkan sepenuhnya masa di Tanah Suci untuk memperbanyakkan amalan seperti solat, berdoa dan berzikir dalam usaha meraih kemanisan ibadat haji.

Selain persiapan rohani, Zulkifli turut mengingatkan jemaah melakukan persiapan fizikal yang mencukupi sebelum berangkat kerana ibadat haji memerlukan banyak pergerakan termasuk dari hotel ke masjid, semasa tawaf dan sa’i, serta ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina yang menuntut kekuatan tubuh badan dan ketahanan fizikal.

Sebagai persediaan terakhir, beliau menggalakkan jemaah menghadiri kursus perdana haji anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) diadakan secara berperingkat di 22 lokasi seluruh negara bermula 11 April hingga 4 Mei ini.

“Kursus ini merupakan kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan merasai simulasi sebenar ibadah di Tanah Suci seperti tawaf, sa’i, melontar serta pemakaian ihram bagi jemaah lelaki.

“Dalam kursus ini juga akan dikongsikan tip-tip kesihatan, dan jemaah berpeluang bertanya secara langsung kepada pegawai TH serta pembimbing ibadat haji yang terlibat sepanjang program berlangsung,” katanya.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim ini dijadualkan pada 29 April, manakala kumpulan terakhir akan berlepas pada 30 Mei. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.