PRN Negeri Sembilan akan menjawab sama ada kemenangan BN di Johor merupakan fenomena sementara atau petanda kepada perubahan politik yang lebih besar.

Keputusan PRN Johor sekali lagi meletakkan Barisan Nasional (BN) sebagai kuasa politik dominan di negeri tersebut. Namun, kemenangan besar yang dicapai tidak wajar ditafsirkan semata-mata sebagai hasil kekuatan jentera parti. Sebaliknya, kejayaan itu lahir daripada gabungan pelbagai faktor yang merangkumi demografi politik, dinamik persaingan parti, kepimpinan, komunikasi politik dan kecenderungan semasa pengundi.
Johor sememangnya mempunyai sejarah panjang sebagai kubu tradisi Umno dan BN. Budaya politik negeri ini secara umumnya lebih dekat dengan nilai kestabilan, kesederhanaan dan kesinambungan pentadbiran. Bagaimanapun, faktor sejarah semata-mata tidak mencukupi untuk menjelaskan peningkatan sokongan yang diterima BN dalam PRN kali ini.
Antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan BN ialah kelemahan dan perpecahan dalam kalangan parti lawan. Kemunculan beberapa parti baharu serta persaingan pelbagai penjuru di beberapa kawasan menyebabkan undi pembangkang berpecah dan gagal diterjemahkan kepada kemenangan kerusi. Pada masa yang sama, parti-parti baharu yang muncul dilihat gagal menawarkan gagasan atau nilai tambah yang benar-benar meyakinkan pengundi. Mereka tidak berjaya mencetuskan gelombang sokongan baharu yang mampu mengubah landskap politik negeri. Sebaliknya, sebahagian pengundi melihat kewujudan parti-parti tersebut lebih berkait dengan kelangsungan politik individu berbanding usaha menawarkan alternatif yang jelas dan berwibawa.
Selain itu, konflik dalaman yang berlaku dalam sesetengah parti turut memberi kesan terhadap persepsi rakyat. Pertelingkahan terbuka, perebutan pengaruh dan perbezaan pendirian yang dipamerkan kepada umum bukan sahaja merugikan parti berkenaan, malah membentuk imej yang kurang meyakinkan di mata pengundi. Dalam keadaan ekonomi dan politik yang mencabar, rakyat lebih cenderung memilih parti yang dilihat stabil, tersusun dan mampu memberi tumpuan kepada pentadbiran.
Perubahan tertentu dalam pola pengundian juga turut membantu kemenangan BN. Sebahagian pengundi Cina yang sebelum ini cenderung menyokong DAP dilihat kembali memberikan sokongan kepada MCA. Walaupun perubahan ini tidak berlaku secara menyeluruh, ia cukup signifikan untuk mempengaruhi keputusan di beberapa kerusi campuran. Dalam sistem pilihan raya majoriti mudah, perubahan kecil dalam pola sokongan boleh memberi kesan besar terhadap keputusan keseluruhan.
Faktor kepimpinan turut memainkan peranan penting. Dalam era politik yang semakin dipengaruhi oleh persepsi terhadap individu, penerimaan rakyat terhadap menteri besar Johor menjadi antara aset utama BN. Imej kepimpinan yang tenang, sederhana dan tidak konfrontasional berjaya membina keyakinan pengundi serta selari dengan budaya politik Johor yang mengutamakan kestabilan dan kesinambungan pentadbiran.
Dalam masa yang sama, penggunaan komunikasi politik yang lebih moden turut membantu memperkukuh kempen BN. Slogan seperti #OnnTakOnn berjaya menarik perhatian pengguna media sosial dan meningkatkan keterlihatan kempen dalam ruang digital. Keupayaan menguasai naratif media sosial menjadi pelengkap kepada kekuatan jentera akar umbi, khususnya dalam mendekati generasi muda.
PRN Johor juga memperlihatkan bahawa isu nasional bukan lagi faktor dominan dalam menentukan pilihan pengundi. Sebaliknya, rakyat lebih cenderung menilai kemampuan sesebuah parti menangani isu yang dekat dengan kehidupan harian mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri dan penyampaian perkhidmatan awam. Ini menunjukkan bahawa politik berasaskan prestasi semakin menjadi pertimbangan utama berbanding retorik politik yang bersifat nasional.
Di samping itu, arahan presiden PAS yang meminta ahli-ahli memberikan sokongan kepada calon BN di kerusi yang tidak ditandingi oleh Perikatan Nasional (PN) turut berpotensi memberi kesan di beberapa kawasan. Walaupun kesan sebenar arahan tersebut sukar diukur secara tepat, dalam sistem pilihan raya majoriti mudah, peralihan sokongan walaupun dalam jumlah yang kecil mampu memberi impak terhadap keputusan akhir.
Dalam konteks yang lebih luas, keputusan ini turut mencerminkan bahawa fenomena undi protes yang berlaku dalam beberapa pilihan raya sebelum ini mungkin bersifat sementara. Sebahagian pengundi yang pernah mengalihkan sokongan kepada PN dilihat kembali menyokong BN apabila mereka merasakan parti tersebut lebih berupaya menawarkan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran. Perkembangan ini menunjukkan bahawa pengundi semakin pragmatik dalam membuat pilihan. Mereka bukan lagi sekadar menilai parti berdasarkan sentimen atau retorik politik, tetapi turut mempertimbangkan kredibiliti kepimpinan, prestasi dan keupayaan mentadbir.
Hakikatnya, mood semasa rakyat lebih cenderung memilih kestabilan berbanding eksperimen politik. Dalam konteks Johor, kestabilan tersebut dilihat berada pada BN dan Umno. Justeru, ramai pengundi memilih untuk memberikan mandat kepada parti yang dianggap lebih mampu menjamin kesinambungan pentadbiran dan pembangunan negeri.
Bagaimanapun, kemenangan besar BN di Johor perlu ditafsirkan secara berhati-hati. Johor mempunyai komposisi demografi, sejarah politik dan budaya pengundian yang tersendiri sebagai kubu tradisi Umno. Oleh itu, keputusan di negeri ini tidak boleh dijadikan kayu ukur mutlak untuk meramalkan keputusan di negeri-negeri lain atau di peringkat nasional. Setiap negeri mempunyai realiti politik, struktur pengundi dan isu tempatan yang berbeza.
Cabaran yang dihadapi Umno dan BN di Kedah, Kelantan dan Terengganu, misalnya, masih jauh lebih besar berikutan pengaruh PAS dan PN yang lebih kukuh. Begitu juga di Selangor dan Pulau Pinang yang mempunyai komposisi pengundi lebih urban dan pelbagai. Oleh sebab itu, formula kemenangan Johor tidak boleh diterjemahkan secara langsung tanpa mengambil kira konteks setempat.
Justeru, tumpuan kini beralih kepada PRN Negeri Sembilan yang bakal menjadi medan ujian seterusnya. Sebagai negeri yang mempunyai campuran kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar, keputusan di Negeri Sembilan berpotensi memberikan gambaran yang lebih jelas sama ada momentum yang dinikmati BN di Johor benar-benar mencerminkan perubahan sentimen politik yang lebih meluas atau sekadar fenomena yang dipengaruhi oleh faktor-faktor khusus di Johor.
Satu lagi persoalan yang wajar diberikan perhatian ialah sama ada PAS akan mengambil pendekatan yang sama seperti di Johor dengan memberikan sokongan kepada calon BN di kerusi-kerusi tertentu yang tidak ditandingi oleh PN. Sekiranya pendekatan tersebut diteruskan, ia berpotensi memberi kelebihan tambahan kepada BN di kawasan tertentu. Namun, sekiranya strategi politik yang berbeza dipilih, corak persaingan dan pola pengundian juga boleh berubah. Oleh itu, hubungan dan kerjasama antara parti-parti politik akan menjadi antara faktor penting yang perlu diperhatikan menjelang PRN Negeri Sembilan.
Walau apa pun keputusannya nanti, mesej yang disampaikan oleh pengundi Johor adalah jelas. Rakyat telah membuat pilihan dan memberikan mandat kepada kerajaan yang dipilih. Oleh itu, tanggungjawab utama pemimpin selepas pilihan raya bukan lagi tertumpu kepada persaingan politik semata-mata, tetapi memastikan janji-janji yang telah dibuat dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pada akhirnya, prestasi pentadbiran, keupayaan menyelesaikan masalah rakyat dan kemampuan menunaikan amanah yang diberikan akan menjadi ukuran sebenar terhadap mandat tersebut.
Dalam masa yang sama, PRN Negeri Sembilan akan menjadi petunjuk penting sama ada kecenderungan pengundi yang mengutamakan kestabilan, kepimpinan yang diyakini dan politik berasaskan prestasi akan terus mendominasi landskap politik semasa atau sebaliknya. Jawapan kepada persoalan itu bakal menentukan sama ada kemenangan BN di Johor merupakan fenomena sementara atau petanda kepada perubahan politik yang lebih besar pada masa hadapan. - FMT
Nur Ayuni Mohd Isa ialah pensyarah kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kini sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.