Koroner Amir Shah Amir Hassan arah semua pihak kemuka hujahan bertulis sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Perkara itu susulan status kelayakan saksi ke-76 berusia 51 tahun itu, yang dinyatakan sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak dalam laporan autopsi psikologi Zara Qairina, didapati tidak berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774).
Sehubungan itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengarahkan semua pihak terlibat dalam prosiding berkenaan mengemukakan hujahan bertulis untuk ditelitinya sebelum beliau membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Saya minta semua pihak berkepentingan mengemukakan hujahan bertulis sebagai input mengenai perkara ini. Saya akan baca dan kemudian membuat keputusan sewajarnya,” katanya sebelum menangguhkan prosiding inkues.
Terdahulu, Pegawai Pengendali Inkues Nahra Dollah membangkitkan bantahan terhadap kelayakan Noor Aishah sebagai saksi pakar kerana beliau tidak berdaftar sebagai ahli psikologi klinikal kanak-kanak di bawah Akta 774.
Nahra, yang merujuk Seksyen 33(1)(c) Akta 774, berkata seseorang tidak boleh mengemukakan dirinya sebagai pakar sekiranya tidak berdaftar mengikut akta berkenaan.
Perkara itu turut dipersetujui peguam Clarice Vyonne Conrad yang mewakili bapa Zara Qairina, sambil menyatakan seksyen berkenaan jelas menetapkan seseorang pakar psikologi klinikal kanak-kanak perlu berdaftar di bawah akta.
Sementara itu, peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, berkata pihaknya sedia maklum mengenai akta berkenaan, namun percaya keputusan sama ada Noor Aishah merupakan seorang pakar atau sebaliknya adalah tertakluk kepada penentuan mahkamah.
Beliau berkata, pihaknya berpandangan Noor Aishah perlu meneruskan keterangannya, manakala isu berkaitan status kelayakan beliau sebagai pakar hendaklah diputuskan oleh mahkamah pada akhir prosiding inkues.
Dalam prosiding inkues pagi tadi, Mahkamah Koroner dimaklumkan Noor Aishah hanya berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor, namun mempunyai kelayakan akademik dan klinikal dalam bidang psikologi klinikal kanak-kanak yang digunakan bagi menyediakan laporan autopsi psikologi Zara Qairina.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.
Prosiding inkues bersambung esok. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.