Penyandang DUN Palong itu juga mahu percepat projek Klinik Kesihatan Felda Palong 7 yang sudah lama tergendala.

Beliau berkata isu perumahan kekal menjadi keutamaan kerana masih terdapat ratusan unit rumah generasi kedua di beberapa tanah rancangan Felda di Palong yang terbengkalai dan belum disiapkan sejak bertahun-tahun.
“Di Palong 8 sahaja masih ada kira-kira 300 unit rumah yang belum siap. Di Palong 12 pula lebih 350 unit terbengkalai, manakala di Palong 14, 15 dan 16 masih terdapat sekitar 100 unit Projek Sentuhan Kasih yang belum diselesaikan.
“Rumah adalah keperluan asas. Anak-anak Felda memerlukan tempat tinggal dan perkara ini tidak boleh terus dibiarkan berlarutan,” katanya kepada FMT ketika ditemui dalam siri kempennya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan penduduk Felda Palong yang berharap kerajaan dan bakal wakil rakyat memberi keutamaan kepada penyelesaian isu perumahan generasi kedua.
Penduduk juga mahu lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan serta mempercepatkan projek pembangunan yang sekian lama tertangguh selain isu kemudahan kesihatan, infrastruktur dan bantuan kepada usahawan.
Antara projek kemudahan kesihatan yang dibangkitkan adalah Klinik Kesihatan Felda Palong 7 yang tergendala sejak sebelum pandemik Covid-19 lagi, menyebabkan penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Jempol yang terletak lebih 30km.
Mengulas mengenai isu itu, Mustapha berkata, projek klinik kesihatan berkenaan bermula pada 2018 tetapi gagal disiapkan selepas kontraktor asal ditamatkan perkhidmatan sebelum kontraktor lain dilantik.
“Penduduk sudah menunggu terlalu lama. Projek ini sangat penting kerana ketika ini mereka terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Jempol yang terletak jauh dari Palong.
“Saya berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan dapat mempercepatkan pembinaan supaya rakyat dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih dekat dan selesa,” katanya.
Yakin tambah majoriti
Mustapha yang merupakan penyandang dua penggal kerusi Palong berkata, walaupun hanya menang dengan majoriti 564 undi pada PRN 2023, beliau percaya situasi kali ini berbeza berikutan kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya percaya majoriti akan bertambah berbanding sebelum ini. Saya tidak mahu meramal jumlahnya, tetapi keyakinan itu ada berdasarkan sokongan yang diterima sepanjang kempen.
“Dulu undi Melayu berpecah. Kali ini perjuangan BN dan PN lebih selari, jadi saya yakin ia memberi kelebihan kepada kita,” katanya.
DUN Palong pada PRN kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Mustapha yang dicabar oleh Muhammad Zahin Zinal Abidin daripada Pakatan Harapan dan Rebin Birham dari Bersatu. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.