Saturday, March 16, 2013
Kewibawaan Najib terjejas, penipuan statistik memalukan negara
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya malu dengan penampilannya dalam program TV3 bertajuk ‘Conversation with the PM’ yang disiarkan 12 Mac lalu kerana kenyataannya hanya ‘menyedapkan hati’ mengenai keadaan ekonomi negara.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, selain itu Najib tidak ada petunjuk untuk menawarkan dasar ajaib jika Barisan Nasional (BN) dipilih semula memerintah negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Katanya, Najib juga gagal menyatakan bagaimana pentadbiran baru akan menangani pelbagai masalah yang bersarang selama empat tahun pemerintahan beliau dan antara yang paling ketara ialah meningkatnya hutang baik kerajaan atau swasta, defisit berterusan meskipun kadar pertumbuhan KDNK purata lima peratus setahun.
“Tahap pendapatan dan gaji yang lembap gagal mencerminkan hasil pertumbuhan, pelaburan swasta gagal bertindak balas kepada apa yang kononnya langkah rangsangan dan insentif yang diumumkan dalam belanjawan, selain barah rasuah yang terus tumbuh,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 28 Hari ke PRU-13, semalam.
Menurut Kit Siang, Najib kini berada dalam angin pilihan raya sebab itu beliau tidak dapat menahan daripada mengkritik manifesto Pakatan Rakyat apabila mendakwa janji itu adalah mustahil dapat ditunaikan.
Bagaimanapun, katanya, Najib tidak cuba memberi petunjuk apa yang BN akan tawarkan mengenai dasar dan pendekatan khusus yang akan berhadapan dengan cabaran dan dalam meningkatkan taraf hidup majoriti penduduk yang berdepan jurang pendapatan yang semakin luas.
“Terdapat dua tema utama dalam wawancara yang menjawab soalan ‘lembut’ yang dilontarkan tetapi Najib dengan muka tebal mendakwa keadaan ekonomi baik jelas palsu,” katanya.
Mengikut satu emel yang saya terima daripada seorang bekas pengurus bank antarabangsa dari luar negara yang menggelarkan dirinya “Fact Finder” turut marah dengan “Statistik Alice-in-Wonderland dalam Transformasi Ekonomi Malaysia” yang dinyatakan Najib dalam wawancara berjam lamanya itu.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau dapati emel itu begitu menarik, tajam daya tanggapan dan penting sebab itu dipaparkan sepenuhnya mengenai angka yang dipetik Najib itu
menyimpang jauh daripada angka GNI per kapita sebenar Malaysia yang dikeluarkan Bank Dunia di laman web:http://data.worldbank.org/indicator/NY.GNP.PCAP.CD/countries/MY-4E-XT?display=default
“Itu adalah antara contoh penipuan angka Najib untuk memperdayakan orang ramai, tetapi penganalisis dan pemerhati pasaran dapat mengesan temberang berkenaan.
“Kewibawaan Najib benar-benar terjejas dan keseluruhan percubaan akan dilihat sebagai aksi murahan dan memalukan negara kerana sebagai Perdana Menteri yang terlatih dalam bidang ekonomi sepatutnya lebih tahu mengenai perkara asas,” katanya.
Oleh itu, Kit Siang berkata, rakyat Malaysia berhak mengetahui jawapan Najib sama ada beliau menipu mengenai statistik atau beliau mendapat maklumat salah dan disesatkan penasihatnya apabila membuat dakwaan palsu mengenai pertumbuhan GNI Malaysia per kapita antara 2009 dan 2012. – Roketkini.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.