`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Saturday, November 30, 2013

Makcik terkejut kena bayar zakat barang kemas yang dipakainya!

zakat barang kemas wanita

Mungkin ramai yang tak pernah dengar bahawa ada zakat barang kemas wanita yang mereka pakai. Selama ini kita hanya mendengar kewajipan membayar zakat emas simpanan termasuklah segala barang kemas wanita yang tidak digunakan. Tetapi kalau barang kemas itu berupa barang perhiasan dan digunakan senantiasa di lengan atau leher para wanita, itu dikecualikan.

Pusat zakat Pulau Pinang mengejutkan makcik-makcik kampung

Cerita ini saya dengar ketika balik kampung ke Kubang Semang baru-baru ini. Dalam satu kursus mengerjakan haji di salah satu kampung di Seberang Perai Tengah sana, pengendali kursus haji telah menjemput tiga orang wakil daripada pusat zakat Pulau Pinang untuk memberikan penerangan berkenaan zakat barang kemas wanita.

Dalam majlis penerangan itu semua kaum ibu yang terdiri daripada makcik-makcik yang yang menjadikan pemakaian gelang dan rantai emas penuh di badan sebagai hobi terkejut besar apabila diperkenalkan pada kewajipan mengeluarkan zakat barang kemas yang sedang dipakai mereka selama ini.

Mereka bertambah terkejut apabila jumlah wang yang perlu dikeluarkan bukannya sedikit, ada yang kena bayar RM500, ada yang RM800 dan ada juga yang lebih banyak dari itu setelah dinilai dan dikira oleh pegawai kutip zakat.

Demi untuk menunaikan kewajipan dan takut berdosa, maka berebutlah para makcik menyegerakan pembayaran. Tetapi bukannya semua jenis gelabah sebegitu terus taat dan buat bayaran. Ada di kalangan makcik yang hadir bukannya jahil sangat, mereka dan bertahun-tahun mengikuti kuliah agama dari para ilmuan kampung seperti Ustaz Bakar dan juga Ustaz Mutalib.

Tak pernah pula mereka dengar fatwa dari kedua-dua Ustaz tersebut bahawa mereka wajib bayar zakat gelang emas yang mereka pakai selama ini. kalau betul ianya wajib sudah tentu dah lama disaound oleh kedua-duanya yang bukannya buta melihat betapa beratnya lengan dan leher makcik-makcik yang sering pergi mengaji agama kepada mereka. Berat sebab terlalu banyak gelang dan rantai emas.

Hantar rombongan mendapatkan penjelasan

Untuk mendapatkan kepastian maka berpakatlah beberapa makcik yang berani ke depan menemui Ustaz rujukan mereka untuk mendapatkan penjelasan. Sah!!! UsTaz Bakar dan Ustaz Mutalib juga pasti tak ada zakat barang kemas yang dipakai. Maka legalah para makcik yang cerdik itu terlepas dari kena keluarkan wang tambahan yang tak pernah mereka keluarkan selama ini dari muda sampai ke tua.

Saya juga tak pernah dengar berkenaan fatwa tersebut dan merasa pelik dengan tindakatan para pegawai pusat zakat. Kenapa mereka berusaha mengutip wang zakat barang kemas wanita sekeliling kampung pula secara tiba-tiba?, wang zakat dah tak cukup untuk menampung kebanjiran fakir miskin di Pulau Pinang kah?

Puas saya berfikir dan akhirnya mengambil sikap berbaik sangka. Mereka yang berurusan dengan zakat bukanlah orang-orang yang jahil, bahkan semuanya para ustaz yang dalil serta nas perpahat kemas dalam kepala masing-masing. Lagipun jika orang jahil macam saya menyuarakan sesuatu hukum itu tidak pernah didengari, bukan bermaksud hukum itu tak wujud, tapi lebih kepada disebabkan saya jahil.

Lainlah jika seorang alim ulama menyuarakan tak pernah dengar sesuatu hukum atau fatwa, sudah tentu berkemungkinan besar hukum atau fatwa itu memang tak ada. Itulah bezanya antara si jahil dengan si alim. Maka sebagai si jahil saya diamkan diri dan mula bertanya mendapatkan maklumat.

Rupanya ada fatwa bayar zakat barang kemas yang dipakai

Selepas bertanyakan pada para ustaz dan kawan-kawan yang lebih alim, mereka juga berkata tak pernah dengar lagi hukum atau fatwa sedemikian. Saya masih mencari dan tak puas hati. Lalu saya menuntut bantuan Google. Walaupun ada ramai ustaz yang sering mengherdik pada orang ramai yang mendekati ilmu agama melalui pencarian maklumat di Google, saya rasa google merupakan salah satu sumber ilmu yang cukup popular, mudah dan pantas di zaman ini. Nak kata ustaz googlepun katalah, saya perlukan maklumat pantas dan mudah untuk dicerna.

Ternyata ada maklumat yang saya cari. Dari google saya dapat tahu ada dua kumpulan berbeza yang memberikan fatwa berkenaan zakat barang kemas wanita yang dipakai.

#1. Pendapat yang mengataan tak perlu

Pendapat yang mengatakan tidak wajib zakat ke atas emas yang dipakai sebagai perhiasan terdiri daripada Abdullah bin Umar, Aisyah, Jabir bin Abdullah, Anas bin Malik, Asma binti Abu Bakr dan beberapa orang lagi. Mazhab Maliki, Hambali dan pendapat yang ketara daripada Syafie dan Ja'fariyyah juga mendokong pendapat kedua ni.

#2. Pendapat yang mengatakan wajib

Pandangan ini dikeluarkan oleh Umar bin al-Khattab, Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Amr bin 'Ash, Sa'id bin al-Musayyab, Sa'id bin Jabir, 'Atha', Mujahid dan lain-lain lagi. Mazhab Hanafi, Zahiri dan Zaidiyah juga menyokong pendapat ini.

(Bersumberkan daripada Utusan yang memetik kenyataan Eksekutif Zakat PPZ-MAIWP, Ahmad Husni Abd. Rahman)

Rupanya banyak lagi yang saya tak tahu!!!

Ternyata andaian saya jahil yang tak tahu wujudnya sesuatu fatwa memang tepat sekali. Dapatlah saya satu maklumat baru daripada apa yang berlaku ketika singgahan singkat ke kampung baru-baru ini. Ada caranya untuk mengira jumlah yang wajib dikeluarkan zakat pada barang kemas wanita yang dipakai. Semua ini menambahkan lagi sumber baru pada pegawai zakat bagi mengumpul timbunan dana zakat kerajaan.

Sebelum ini kita dikejutkan lama dulu dengan kemunculan zakat pendapatan dan sekarang koleksi zakat pendapatan dari semua para pekerja makan gaji dan menjadi satu perkara biasa walaupun ada tentangan dari para ustaz yang bertegas ia tak adalah aliran mazhab yang kita pegang di Malaysia selama ini.

Entah apa pula zakat selepas ini akan berjaya dicungkil oleh para ustaz pengurus pusat zakat tak tahulah. Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Buat masa ini, kita bahaskan dulu bab zakat barang kemas wanita yang sedang mereka pakai...apa pendapat anda???

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.