`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 20, 2013

Surat Terbuka Untuk Datin Seri Rosmah Mansor Yang Sinikal – Tahniah

najib razak wife

Surat terbuka dari rakyat Malaysia: Tahniah dan terima kasih Rosmah, kami sangat bangga denganmu
Kepada
Datin Seri Rosmah Mansor
Seri Perdana, Putrajaya.
Yabhg Datin Seri yang kami sayangi,
Setelah membaca kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini, kami rakyat Malaysia secara tiba-tiba berasa bersalah kerana telah tersalah anggap selama ini.
Benar kata Shahidan, rakyat Malaysia sepatutnya berterima kasih dengan pengorbanan yang Datuk Seri curahkan untuk negara selama ini.
Isu terbaru yang timbul berkaitan lawatan Datin Seri ke Qatar bersama rombongan dengan menaiki jet eksekutif dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan setelah diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet sebenarnya hanyalah isu remeh jika dibandingkan dengan nilai dan impak daripada lawatan tersebut.
Sebagai isteri Perdana Menteri, kami rakyat Malaysia sedar pengorbanan Datin Seri dalam hal ini. Jika Datin Seri ingin bersenang-lenang sebagai isteri ketua kerajaan, Datuk Seri sebenarnya tidak perlu bersusah-payah melakukan lawatan ke sana sini, bertemu dengan ramai orang, menyampaikan ucapan dan sebagainya, sebaliknya Datin Seri boleh saja duduk goyang kaki di Seri Perdana atau sesekali shopping sakan ke London, Milan atau Paris.
Tetapi Datin Seri tidak mahu berbuat demikian, sebaliknya ingin turut serta menyingsing lengan menyumbang khidmat bakti untuk negara. Pengorbanan ini memang wajar dipuji. Kami sendiri tidak terbuat dengan apa yang Datin Seri lakukan ini.
Datin Seri tidak seperti isteri-isteri penoreh getah atau pesawah padi atau sesetengah kakitangan kerajaan dan rakyat negara ini yang sanggup membiarkan suami seorang diri saja membanting tulang, sebaliknya Datin Seri telah menunjukkan contoh teladan yang terpuji untuk kemajuan negara.
Barangkali ramai yang tidak sedar, lawatan ke Qatar baru-baru ini bukanlah makan angin saja tetapi menghadiri forum perniagaan dan berpeluang bertemu dengan pak-pak sheikh Arab yang kaya-raya.
Sudah tentu hasil dari lawatan Datin Seri ini, banyak pelaburan daripada negara-negara Arab akan mencurah-curah selepas ini. Dalam masa yang sama juga, kami percaya, kecantikan dan keangggunan wajah Datin Seri ini akan menyebabkan lebih ramai pelancong-pelancong Qatar dan negara-negara Arab lainnya akan melawat Malaysia selepas ini.
Dalam hal ini ini, Datin Seri bukan saja telah membantu menambahkan pelaburan untuk negara, bahkan telah menyumbang sesuatu yang besar sempena Tahun Melawat Malaysia pada 2014 nanti. Secara tidak langsung, Datin Seri telah memudahkan lagi kerja-kerja Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz untuk menarik kedatangan pelancong ke negara ini.
Yabhg Datin Seri, ibu kepada rakyat Malaysia,
Kami amat faham dengan tugas dan fungsi besar Datin Seri kepada negara ini. Sebagai wanita yang cerdik, pintar dan “clever” yang telah menyumbang banyak kepada negara ini, kami faham keperluan Datin Seri untuk ke sana sini dengan menaiki jet eksekutif.
Hanya dengan menaiki jet eksekutif, barulah aura dan ketokohan Datin Seri tambah menyerlah lagi, tambahan pula dengan menaiki jet eksekutif juga barulah pak-pak Arab yang berhidung tinggi itu memandang hormat kepada Datin Seri dan juga negara ini.
Lagi pula, Datin Seri, Malaysia bukanlah negara yang begitu dikenali di peringkat antarabangsa berbanding sesetengah negara Arab yang kaya dengan minyak itu.
Hanya dengan menunjukkan sedikit kesombongan dan keangkuhan, barulah kehadiran Datin Seri mewakili Malaysia dapat disedari. Pepatah Hindustan selalu menyebut, hanya dengan menunjuk-nunjuk kesombongan dan keangkuhan, kehadiran kita akan lebih disedari dan dihormati.
Kiranya Datin Seri hanya menaiki pesawat komersil, walaupun lebih menjimatkan tetapi impak dan kesannya kepada negara pasti tidak sama. Hanya mereka yang tidak memahami perkara ini saja yang melalak dan melolong meminta Datin Seri menaiki pesawat komersil untuk lawatan ke luar negara.
Bagi kami rakyat Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakang Datin Seri, bukan saja lawatan ke luar negara perlu diperuntukkan jet eksekutif, bahkan untuk lawatan dalam negeri sekalipun, Datin Seri sebenarnya patut diberikan jet eksekutif juga.
Datin Seri yang kami doakan kesejahteraannya siang dan malam,
Dalam isu jet eksekutif yang menjadi percakapan ramai sekarang ini, kesalahan juga sebenarnya terletak di tangan Perdana Menteri sebelum ini, terutama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang begitu kedekut untuk membenarkan isteri masing-masing menggunakan kemudahan mewah itu semasa pemerintahan mereka.
Jika Dr Mahathir yang sentiasa mendapat kemenangan dua pertiga dalam pilihanraya membenarkan Tun Siti Hasmah menggunakan jet eksekutif ketika pemerintahannya dulu, tentulah ia tidak menjadi isu sekarang ini.
Begitu juga jika selepas pilihan raya 2004 di mana Abdullah membawa kemenangan paling cemerlang dengan 198 kerusi, telah bertindak ketika itu memberi kebebasan kepada isterinya aruah Tun Endon dan Tun Jeanne menggunakan jet eksekutif untuk ke mana-mana, pastilah tiada isu bila Datin Seri menggunakannya sekarang ini.
Malangnya, kedua-dua bekas Perdana Menteri itu bukan saja kedekut tetapi juga tiada wawasan untuk masa depan.
Jika ketika Barisan Nasional (BN) menang cemerlang, amalan menggunakan jet eksekutif ini sudah dimulakan, tentulah ianya tidak berbangkit lagi di ketika BN hanya menang dengan kelebihan 23 kerusi saja sekarang ini.
Kami juga mengharapkan Datin Seri teruslah melakukan lawatan ke luar negara dan teruslah juga menggunakan jet eksekutif kerajaan. Sumbangan dan hasil lawatan Datin Seri ke seluruh dunia sebenarnya amat besar untuk negara.
Benarlah kata Shahidan, rakyat Malaysia harus berbangga dan berterima kasih dengan Datin Seri.
Kami rakyat marhaen dan miskin yang sudah mula kurang makan gula sekarang sebenarnya amat berbangga dengan kehadiran Datin Seri, sama bangganya dengan rakyat Filipina terhadap Imelda Marcos, rakyat Mesir terhadap Suzanne dan rakyat Tunisia kepada Lalia Ali suatu ketika dahulu.
Akhirnya atas segala sumbangan dan pengorbanan Datin Seri untuk negara, kami juga mencadangkan agar sempena hari keputeraan Yang diPertuan Agong tahun depan, Perdana Menteri dapat mengurniakan pingat kebesaran yang nembawa gelaran Tan Sri pula kepada Datin Seri.
Sekian, semoga Datin Seri terus panjang umur dan menyumbang untuk negara ini.
Daripada kami
Rakyat Malaysia yang memahami. – shahbudindotcom

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.