Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa orang Hindu menyembah berhala? Jika anda seorang penganut Hindu, tidak mustahil bahawa anda juga belum benar-benar memahami konsep berhala.
Memandangkan ajaran Hindu atau Sanatana Dharma berusia lebih 5,000 tahun dan kebanyakan teks menggunakan Bahasa Sanskrit, maka masalah yang wujud tidaklah menghairankan.
Tambahan pula, Hinduisme amat kompleks, subjektif dan boleh ditafsir mengikut pemahaman, budhi (pemikiran), tahap keimanan dan intelektualiti seseorang.
Makalah ini akan berusaha memberikan sedikit penerangan umum mengenai berhala di kuil. Saya tidak meletakkan diri saya sebagai ikonografer – pakar ikonografi iaitu ilmu seni berhala – tetapi sama-sama berusaha menambah pemahaman dan pengetahuan.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat sejak 2010. Peserta pelbagai kaum, etnik dan agama dibawa mengunjungi kuil, masjid, tokong, gereja, wat dan gurdwara untuk memahami keunikan ajaran dan agama yang terdapat di negara bertuah ini.
Setiap kali mengunjungi kuil, pelbagai pertanyaan dikemukakan oleh peserta. Pertanyaan-pertanyaan itu juga menjadi asas kepada penulisan makalah ini. Bukan untuk “menyebarkan ajaran Hindu menggunakan Bahasa Malaysia” tetapi untuk membantu pemahaman sesiapa yang berminat untuk tahu.
Saya menulis beberapa makalah ringkas sejak 2012 dalam usaha menjawab pelbagai pertanyaan yang sering dikemukakan rakan-rakan Hindu dan Bukan Hindu. Anda boleh melayari www.uthayasb.blogspot.com untuk membaca makalah berkenaan.
Sebenarnya, tidak semua berhala (idol) boleh ditempatkan di kuil untuk disembah. Ada upacara khas yang perlu dilakukan mengikut peraturan agama dan teks Veda, iaitu kitab suci Hindu.
Upacara khas sebelum berhala disembah
Menerusi upacara jaladhivasa, berhala dibenamkan ke dalam air selama tiga hari tiga malam. Seterusnya, bagi upacara dhanyadhivasa, berhala itu diletakkan pula selama tiga hari tiga malam di atas timbunan bijirin. Dari hari ketujuh hingga kesembilan, berhala dibaringkan di atas katil yang dibuat khas bagi upacara sayyadhivasa.
Upacara seterusnya adalah nertonmilana di mana peralatan khas digunakan untuk melukis anak mata pada berhala berkenaan. Selepas upacara “membuka mata” ini maka berhala dianggap sudah “sempurna” untuk diletakkan di kuil bagi tujuan sembahyang.
Sementara itu, lapan bahan khas digaulkan menjadi pati yang kemudian dituangkan ke dalam ruang di mana berhala akan ditempatkan. Pati ini yang dinamakan astabandha akan bertindak sebagai bahan pelekat apabila berhala diletakkan pada tempatnya.
Untuk makluman, berhala di kuil bersifat kekal, iaitu tidak diubah-ubah kedudukan atau dibawa berarak ke mana-mana. Berhala berbentuk kekal ini dikategorikan sebagai acala atau dhruvabera dan biasanya diukir daripada batu.
Manakala berhala yang digunakan untuk tujuan perarakan dinamakan utsavamurti dan diperbuat daripada logam seperti emas dan perak. Contoh paling mudah adalah berhala Dewa Murugan yang dibawa berarak semasa sambutan Thaipusam.
Selepas itu, akan berlangsung pula upacara pranapratistha iaitu upacara paling penting untuk “menghidupkan” berhala berkenaan. Hal ini tidak bermakna berhala itu akan tiba-tiba hidup dan bergerak-gerak!
Sebaliknya, apa yang dimaksudkan adalah upacara bagi semacam mengiktiraf bahawa berhala yang ditempatkan di kuil itu bukanlah objek yang disembah per se. Sebaliknya, berhala itu menjadi semacam lambang kepada kewujudan Tuhan Yang Maha Esa.
Sekadar perbandingan, apabila kita memberikan tabik hormat kepada Jalur Gemilang, tindakan itu bukanlah ditujukan kepada bendera atau tiang; sebaliknya kepada negara berdaulat yang diwakili objek berkenaan.
Sistem Talamana jadi panduan pengukir
Hinduisme adalah agama Tauhid yang tertua di dunia. Sebagai agama Tauhid yang mengakui keesaan, tentulah hanya Tuhan yang disembah. Tuhan dalam ajaran Hindu sering disebut Ekan atau Esan – Tuhan Yang Maha Esa.
Kalau Hindusime mengakui Tuhan Yang Maha Esa, mengapa ada berhala yang pelbagai dan berbagai-bagai? Sebenarnya, kesemua berhala itu hanya mewakili sifat-sifat yang dimiliki oleh Tuhan. Jumlah sifat Tuhan adalah infiniti; sama seperti ditekankan dalam Islam.
Maka, apabila silpi (pengukir profesional) menghasilkan berhala berdasarkan dhyanasloka iaitu catatan berlagu oleh rishi (pendeta), setiap berhala itu menggambarkan (visualize) hanya satu daripada sifat-sifat Tuhan yang infiniti atau tidak terhingga.
Semasa mengukir berhala, Sistem Talamana dijadikan asas ikonografi oleh silpi. Jika anda ada pengalaman melukis potret manusia semasa di sekolah, anda tentu sudah tahu apa yang dimaksudkan dengan Sistem Talamana; walaupun mungkin istilah yang digunakan adalah berlainan.
Mengikut ilmu ikonografi, jarak dari dahi hingga dagu hampir sama panjang dengan jarak dari hujung jari hantu hingga bawah tapak tangan (pergelangan tangan). Ukuran ini dipanggil satu “tala”.
Setiap “tala” dibahagikan kepada 12 bahagian yang dipanggil sebagai satu “angula”. Ukuran “tala” dan “angula” inilah yang menjadi asas utama semasa silpi membuat kerja-kerja mengukir berhala.
Sistem Talamana membahagikan manusia, dewa-dewi, binatang dan sebagainya kepada 16 jenis mengikut ketinggian. Ganesha – dewa berkepala gajah – biasanya mempunyai ketinggian “pancatala” iaitu lima “tala”.
Ada kalanya berhala Ganesha dan Murugan diukir pada ketinggian “sattala” iaitu enam “tala”. Patung (bukan berhala) manusia pula biasanya berketinggian “astatala” (lapan “tala”).
Dewa Indra, golongan sura (dewa-dewi) dan asura (sepupu kepada sura) diukir pada ketinggian “navatala” (sembilan “tala”). Brahma, Vishnu, Shiva, Lakshmi dan Parvathi pula berketinggian “dasatala” (sepuluh “tala”).
Mengapa setiap berhala nampak berbeza?
Kesemua ukuran “tala” di atas adalah bagi berhala yang mahu ditempatkan di kuil bagi tujuan sembahyang dan pemujaan. Tentu sahaja syarat-syarat ini tidak terpakai bagi patung (statue) yang diukir atau dibina sekadar untuk hiasan. Contongnya patung besar Dewa Murugan di hadapan kuil Batu Caves.
Orang Hindu juga selalu menempatkan berhala di rumah untuk tujuan sembahyang seisi keluarga. Mengikut syarat dan peraturan ajaran Hindu, saiz berhala berkenaan hanyalah sebesar ibu jari tangan.
Walaupun terdapat pelbagai peraturan, syarat dan panduan ketat yang wajib dipatuhi oleh silpi semasa mengukir berhala untuk kuil, dia masih diberikan kebebasan dalam soal barangan perhiasan dan pakaian yang diukirkan pada berhala berkenaan.
Malah, ekspresi muka juga ditentukan oleh silpi berdasarkan pemahaman dan budhi sendiri. Sebab itulah tidak mungkin ada dua berhala yang seratus peratus sama walaupun kedua-duanya dihasilkan berdasarkan dhyanasloka yang sama.
Memandangkan ajaran Hindu sudah berusia lebih 5,000 tahun dan sudah melalui pelbagai zaman dengan setiap zaman membawakan cabaran tersendiri, tidak hairanlah terdapat begitu banyak berhala mewakili satu-satu dewa itu sendiri.
Namun, seperti yang sudah dimaklumkan tadi, walaupun wujud ratusan atau ribuan berhala dewa dan dewi, ajaran Hindu tetap merupakan agama Tauhid yang menyembah Tuhan Yang Maha Esa.
Setiap berhala itu tidak mewakili Tuhan yang berbeza; sebaliknya manifestasi sifat-sifat infiniti yang dimiliki oleh Ekan – Tuhan Yang Maha Esa. Mungkin selama ini anda tidak tahu, tetapi kini anda sudah tahu.
Maka jika ada sesiapa bertanya kepada anda, “Berapa Tuhan yang disembah orang Hindu?” jawapannya adalah “Satu”. Sekiranya dipersoalkan mengapa orang Hindu menyembah banyak berhala dan batu, katakan bahawa bukan berhala atau batu itu yang disembah, tetapi Tuhan Yang Maha Wujud.
Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan. Beliau kolumnis di FMT sejak Januari 2011.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.