`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 1, 2014

Warga emas disamun depan rumah di Besut


Che Mek Wok menunjukkan bagaimana suspek menolak kepalanya sebelum dia terjatuh di tempat kejadian.

BESUT – Seorang wanita warga emas rugi kira-kira RM12,000 disamun seorang lelaki yang berpura-pura bertanya suami wanita itu dalam kejadian di Kampung Amer, Kampung Raja, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu berlaku ketika Che Mek Wok Che Mat, 56, berada di kawasan pagar rumah adiknya sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki kereta Proton Waja berwarna kelabu.

Menurut mangsa, ketika menghampiri pintu pagar halaman rumah tiba-tiba kereta bercermin gelap itu berhenti.

“Kemudian keluar lelaki berbadan agak besar dan berambut pendek dari tempat duduk penumpang depan menuju ke arah saya.

“Dia tanya sama ada pak cik (suami) berada di rumah atau tidak, tapi terlintas dalam hati saya, lelaki itu berniat buruk.

“Belum sempat saya jawab, dia tiba-tiba menolak kepala kiri sehingga saya jatuh di atas tanah lalu suspek merentap seutas rantai dan gelang tangan emas milik saya,” katanya.

Suspek kemudian melarikan diri dengan kereta yang dipercayai dipandu rakannya yang menunggu di dalam kereta.

“Saya jerit meminta tolong dan didengari oleh jiran yang berada berdekatan, namun lelaki itu telah melarikan diri sebelum saya menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Che Mek Wok agak trauma dengan kejadian pertama kali berlaku dalam hidupnya itu, namun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius selain sakit pada bahagian rusuk kanan akibat terjatuh selepas ditolak suspek.

Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintendan Noor Halim Nordin yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, usaha mengenal pasti dan memburu suspek giat dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.-SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.